Bermula 1 April untuk penerima Vaksin Sinovac dan warga emas wajib ambil 3 dose. Jika tidak, ianya dikira berstatus tidak lengkap.

Kenapa? Kajian mendapati penerima vaksin Sinovac dan warga emas lebih mudah dijangkiti COVID-19.

Jadi, menjadi tanggungjawab kerajaan bagi memastikan mereka yang berisiko tinggi ini dapatkan vaksin booster. Bahkan menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan mereka yang tidak lengkap vaksin tidak berada di tempat awam (3C). Sebagaimana kita semua maklum dari kajian-kajian, tidak lengkap vaksin 20 – 26 kali ganda risiko mudah dijangkiti.

Betul, hak individu untuk beliau nak pergi ke tempat awam. Tetapi hak kerajaan dan masyarakat umum juga menghindarkan mereka itu terus dijangkiti. Kenapa kita sanggup merisikokan diri sedangkan kita boleh berusaha untuk hindari?

Ibarat seorang ibu yang berusaha menghindarkan anak-anak mereka dari dekati api yang marak menyala. Kalau nak pergi juga, kenalah pakai baju kalis api. Itupun bukan jaminan selamat, kerana baju kalis api pun pelbagai jenama. Ada yang sudah tak berkesan pada satu keadaan tertentu. Maka kenalah pakai baju yang lebih meningkatkan jaminannya walaupun bukan 100%. Setidak-tidaknya satu jaminan yang lebih meyakinkan melalui kajian-kajian yang telah dilakukan. Walaupun si anak berteriak dan melompat nak terjun dalam api, tetapi atas dasar tanggungjawab dan amanah, si ibu akan bertegas melarang.

Ada beralasan, siapa yang lengkap vaksin juga boleh dijangkiti COVID-19. Ya benar, tetapi gejala mereka yang positif itu adalah ringan. Kami yang berada di klinik-klinik dan hospital menyaksikan sendiri fenomena itu.

Tuan-tuan ada hak untuk luahkan perasaan kerana kerajaan mengenakan polisi 3C, 3W dan mengenakan larangan individu tidak divaksinkan ke tempat-tempat awam. Tetapi kena ingat bahawa sifat marah itu ada batasannya. Andaikata mengutuk, mencaci dan memfitnah dengan ucapan yang diluar dari adab serta syariat, ianya adalah HARAM.

Keputusan kerajaan adalah berdasarkan mashlahah ummah. Boleh rujuk tulisan yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan dan Irsyad Fatwa siri ke-457:

“sekiranya sebarang arahan yang dikeluarkan oleh pemerintah itu merupakan suatu kemakrufan, kebaikan, serta mendatangkan maslahah kepada rakyat, sama ada arahan tersebut disukai oleh kita atau tidak, namun sekiranya ia bukan maksiat maka wajib hukumnya arahan tersebut untuk dipatuhi. Ini bertepatan dengan kaedah fekah yang masyhur:

تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة
Maksudnya : Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.

“Syaikh Syihabuddin Al-Qasthallani dalam syarahan beliau ke atas hadis Ibn Umar tersebut menyatakan : ‘’Ketaatan terhadap arahan-arahan mereka (pemerintah) adalah wajib, dan ini meliputi para pemerintah umat Islam sama ada di zaman Rasulullah S.A.W dan juga selepas baginda selama mana suruhan tersebut bukan terhadap perkara maksiat’’. Rujuk Irsyad al-Sari li Syarh al-Bukhari, Al-Qasthallani (5/119).

“Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa arahan yang dikeluarkan oleh pemerintah untuk menangguhkan aktiviti solat berjemaah dan juga solat Jumaat tidak ada unsur maksiat padanya. Ia merupakan arahan yang terbina demi menjaga maslahah masyarakat serta menghalang kemudharatan berlaku kepada rakyat. Arahan ini setelah berlakunya perbincangan demi perbincangan dengan badan-badan berautoriti serta pakar-pakar dalam bidang masing-masing.

DrS
27.2.2022
-/Pergi masjid tu bahaya ke? Kan tempat itu suci dan tempat meminta pertolongan! Waaluaklam, tiada siapa tahu tempat awam termasuk masjid itu tidak ada virus COVID-19. Sebab virus tak nampak. Minta doa dan pertolongan di mana-mana pun boleh termasuk rumah sendiri.

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4332-irsyad-al-fatwa-siri-ke-457-wajibkah-mengikut-arahan-pemerintah-untuk-tidak-pergi-ke-masjid
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleBerita Palsu Kesan Vaksin
Next articleVaksin COVID-19 mRNA bertukar menjadi DNA?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com