Surat Jaminan Vaksin COVID-19

Ada pihak mempertikaikan kenapa diborang persetujuan penerimaan vaksin itu diletakkan bahawa:

“1. Pengambilan vaksin COVID-19 ini mungkin akan menimbulkan reaksi serta kesan sampingan seperti yang dinyatakan di dalam Maklumat Vaksin COVID-19 Bagi Penerima Vaksin.”

“2. saya bertanggungjawab ke atas risiko yang mungkin berlaku akibat keputusan / tindakan saya ini kerana manfaat vaksin adalah jauh lebih baik daripada kesan sampingannya.”

Borang persetujuan vaksin ini adalah suatu perkara biasa. Bukan sahaja vaksin tetapi prosedur lain pun borang persetujuan akan dikeluarkan. Contohnya sebelum buat pembedahan, borang persetujuan bedah akan diberikan. Doktor akan menerangkan manfaat dan risiko. Setelah difahami, baharulah pesakit akan tandatangan disaksikan oleh doktor.

Adakah bermakna doktor ingin berlepas diri dari tanggungjawab jika berlaku komplikasi akibat sesuatu prosedur? Tidak! Doktor akan tetap menjalankan tanggungjawab semaksimum mungkin jika sesuatu perkara yang tidak diingini itu berlaku. Andai berlaku juga, doktor akan terus menguruskan rawatan terhadap pesakit. Bukannya membiarkan pesakit mereput. Jika berlaku pengurusan yang sub-standard, doktor wajib ditegur, kerana doktor juga manusia bukannya malaikat atau Tuhan yang Maha sempurna.

Jika doktor bersalahan dari konsep jumhur rawatan standard, negara kita mempunyai ruang undang-undang yang cukup luas untuk di bawa ke mahkamah pengadilan. Malaysia masih lagi subur dengan demokrasi bukannya negara “komunis”.

Kita perlu faham bahawa keyakinan kita vaksin itu selamat berdasarkan kepada kajian yang telah pun dibuat. Vaksin itu selamat dan berkesan dengan jumlah peratusan tinggi. Selebihnya kita bertawakallah kepada Allah s.w.t. Bukan wilayah kudrat dan kekuasaan doktor untuk mencegah sesuatu itu tidak berlaku 100% kepada setiap individu. Vaksin bukan passport untuk seseorang itu kebal atau mati.

Begitulah keyakinan dan jaminan yang diberikan terhadap vaksin COVID 19 ini. Ianya perlu bersandarkan fakta kajian dan rekod pemberian yang telah dan berjalan sekarang ini. Bahawa tidak ada sesuatu yang membimbangkan setelah program imunisasi COVID-19 ini dijalankan di seluruh dunia. Tidak ada satu pun negara yang memberhentikan program imunisasi ini akibat berlakunya sesuatu yang teruk dan serius. Jumlah manfaat vaksin jauh lebih bernilai dari risiko yang sedikit.

Program imunisasi seluruh dunia diteruskan dengan jumlah jutaan dos suntikan diberi setiap hari tanpa sebarang masalah pun.

Adakah terdapat laporan kesan sampingan? Ya, wujud tetapi majoritinya adalah kesan ringan yang boleh diuruskan. Manfaat vaksin yang mengurangkan kes kritikal di wad dan kematian lebih utama dari kesan sampingan ringan.

Kalau benar berlaku sesuatu yang serius dan boleh merosakkan masyarakat, sudah pasti program imunisasi ini wajib diberhentikan segera. Adalah tidak mungkin dan tidak logik jutaan doktor seluruh dunia berpakat untuk menutup keburukan vaksin (jika ada). Bahkan tuduhan pihak-pihak tertentu KKM membunuh rakyat juga satu tuduhan jahat dan tidak bertanggungjawab.

Bahkan kerajaan telah pun meluluskan akta pemberian pampasan kesan sampingan vaksin COVID-19 pada 22 March 2021. Jika benar kesan serius atau mati akibat vaksin COVID-19, kerajaan akan bayar pampasan. Inilah tanggungjawab dan komitmen yang kerajaan jamin.

Kami siang malam bertungkus lumus menguruskan COVID-19. Sudah lebih setahun setengah kita bergelumang dengan wabak COVID-19 ini. Berbagai kaedah dan cara telah pun digunakan semata-mata ingin melandaikan keluk jangkitan COVID-19 dan memutuskan rantaiannya. Adalah tidak munasabah hanya dengan wujudnya vaksin COVID-19 ini seluruh doktor pakar bergabung fikiran dan tenaga ingin membunuh rakyat dengan menyuntik vaksin – seperti mana yang di dakwa oleh segelintir pihak! Bahkan anggota kesihatan adalah antara barisan hadapan yang pertama diberikan vaksin COVID-19. Jika semua barisan hadapan ini cacat atau mati siapa lagi yang akan menjadi benteng negara? Hingga saat ini kami setia berada di depan untuk terus berjuang.

Atas keyakinan itulah kami semua sukarela di suntik vaksin COVID 19 kerana melihat manfaat yang lebih besar daripada mudarat yang sedikit itu.

Cuba fikirkan kembali apakah sumbangan kita di dalam memutuskan rantaian jangkitan dan melandaikan keluk wabak ini? Atau hanya pandai komen di media sosial tetapi usahanya tiada!

Suhazeli Abdullah

8.2.2022

Kuala Berang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleCampuran Kelapa Limau Garam dan Madu Hapuskan Covid-19?
Next articleJumlah Ujian Covid-19 Sehari
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com