image

Masuk minggu ketiga serangan Israel ke atas Segenting Gaza menyaksikan kematian demi kematian, kemusnahan demi kemusnahan. Serangan Israel sebenarnya akan membunuh keseluruhan 1.8 juta rakyat Gaza yang naif. Justeru akan menjadikan Segenting Gaza bagai padang jarak padang tekukur dalam masa yang singkat. Dianggarkan jumlah kemusnahan terkini melibatkan 2655 buah rumah hancur secara total. Manakala 3175 buah rumah runtuh sebahagian besar darinya. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan 116 buah sekolah, 18 buah klinik, stadium, Masjid, jalan raya, pondok telefon, saluran paip air dan balai polis telah dibom oleh tentera Israel. Dengan ini menganggarkan kerugian RM2.64 bilion.
Laporan dari Pasukan Perubatan Gaza bahawa seramai 816 orang rakyat awam Gaza telah syahid dan lebih dari 5000 orang cedera. Berbanding dengan rakyat Israel hanya 32 orang tentera dan tiga orang awam terbunuh.
Disinilah memerlukan sokongan padu dari seluruh umat Islam dunia untuk membina semula Segenting Gaza yang hancur musnah. Bantuan kecemasan segera diperlukan walaupun di saat ini bantuan tidak dapat masuk dengan jumlah yang besar akibat dari sekatan di pintu Rafah. Banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seluruh dunia mempunyai kaedah-kaedah tertentu untuk menyampaikan saluran kepada pembangunan semula Gaza dalam masa terdekat.
Kawasan yang paling banyak terjejas adalah di sekitar 3 kilometer sempadan Gaza Israel. Laporan dari Badan Kebajikan Oxfam British melaporkan serangan ke atas Stesen Janaletrik menjadikan sistem elektrik di Gaza lumpuh. Begitu juga kemusnahan akibat bom ke atas sumber bekalan air mengakibatkan dua pertiga rakyat Gaza menderita ketiadaan bekalan air yang bersih.
Media Israel mendakwa bahawa 3000 tan telah dijatuhkan di Segenting Gaza dalam tempoh 2 minggu pertama perang. Ini termasuk 120 tan bom di bandar sempadan Shejaia, di mana 100,000 penduduk menjadi pelarian di tanah air mereka sendiri. Mereka hilang arah tuju untuk berselindung kerana semua sempadan keluar telah ditutup rapat. Menjadikan Gaza adalah penjara terbesar pada masa ini.
Jika perang berterusan, bekalan air bersih, makanan dan ubat-ubatan akan semakin berkurangan. Sekarang ini rakyat Gaza sudah merasai segala penderitaan. Di saat kita bergembira di hari raya, jangan lupa nasib mereka. Di saat kita menjamu selera di pagi raya, titipkan ingatan kita kepada mereka yang dijamu bom dan bedilan peluru. Di saat kita bergembira bersama keluarga, jangan lupa nasib mereka yang sekelip mata menjadi yatim piatu. Satukan doa kita terhadap mereka jua.

Dr Suhazeli Abdullah
Urusetia Isu Palestin
Yayasan Amal Malaysia
27hb Julai 2014
facebook.com/drsuhazeli
facebook.com/AmalTerengganu

=====LIKE & VISIT US======
facebook.com/AmalMalaysia
www.amalmalaysia.org
For latest news
=====EMERGENCY FUND======
Tabung Palestin Amal Malaysia
BIMB 1305-3010-0064-74
Amal Terengganu Dana Palestin
Maybank 5630-6413-1931
===========================

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleErti Tarbiyyah Lebih Bermakna Melalui Pengalaman Dan Peristiwa
Next articleEnam Musim Ramadhan Membantu Tabung Darah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com