“Arakian disebut dalam kitab facebook bahawasanya pesakit jantung tersumbat 3 salur yang bernama Khairil dari Sg Besi itu telah sembuh sepenuhnya setelah bertemu dengan Mak Cik Tina. Diberitakan bahawa produk Mak Cik Tina ni boleh membantu mencuci saluran darah tersumbat sehingga ke kapilari halus. Akhirnya Encik Khairil bebas dari sakit jantung saluran tersumbat 3 yang sekira-kira sebelum ini doktor pakar syorkan stent di IJN. Encik Khairil sudah tidak perlu makan ubat kerana sembuh seperti umur 35 tahun kembali! Doktor pakar pun terkezut dengan keajaiban ini.”
“Ini adalah ikhtiar, yang menentukan hidup-ajal, sakit sembuh, rezeki-jodoh adalah Allah jua. Makhluk tiada kuasa”
◾◾◾◾◾
Ayat-ayat di atas adalah contoh tipikal dalam melariskan jualan sesuatu produk. Malangnya ramai juga yang terpengaruh. Jawapan tipikal juga diberi oleh pesakit saya adalah, kita ikhtiar doc, takkan lah makan produk herba alami ini boleh bawa maut?
Menyandarkan sesuatu ikhtiar bagi mencari kesembuhan atas nama Allah amat tidak kena. Kita bukannya Nabi yang mempunyai mukjizat, lalu boleh mengesyorkan kaedah berubat sebagaimana Rasulullah mengesyorkan pengambilan habbatussauda, air kencing unta dan sebagainya. Malah arahan Rasulullah SAW tersebut juga berdasarkan kebolehcapaian kaedah berubat sezaman itu.
Dengan peredaran zaman, kaedah berubat juga berubah berdasarkan pengkajian yang dilakukan oleh para ilmuan. Ianya telah diteroka oleh cendekiawan muslim dan sebaliknya. Kemudian dicatat sebagai bahan rujukan untuk ditambah baik pada masa depan. Kaedah perubatan itu dinamik, bukannya statik.
Jika kita terus meletakkan ikhtiar tanpa bukti sahih dari para pengkaji, ianya sama dengan tidak berikhtiar. Kecualilah produk tersebut telah dibuktikan secara langsung atau tidak langsung melalui pemerhatian dan kajian.
Andai kata sesuatu produk itu terbukti membantu mencuci saluran darah jantung yang tersumbat, sepatutnya penulisan penemuan ini dibuat. Catatlah ia mengikut kaedah penulisan yang berobjektif. Jadikan ia sebagai kajian kes (case series). Tentukan siapa yang sembuh sepenuhnya seperti yang didakwa. Bawa mereka untuk tampil beri keterangan dalam kajian kes, berapa dos diambil, berapa lama, dan adakah mempunyai kesan positif atau negatif. Catatkan kesemuanya. Telus!
Hakikatnya Encik bernama Khairil ini tidak pernah timbul…. berapa ramai yang bernama Khairil pun susah nak cari. Sebab ianya hanyalah lakonan maya bagi melariskan jualan.
Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli
#MedicalMythBustersMalaysia

#MedTweetMY
3.4.2017

Kuala Dungun

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleRaja Satung
Next articleKonsep Tawakkal Dalam Perubatan
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com