Oleh: Ustaz Ahmad Tarmizi Taha

Pensyarah UniSZA

Penggunaan perkataan makanan sunnah belum ditemui dalam kitab-kitab yang dirujuk. Pengertian makanan sunnah dapat difahami setelah dijelaskan pengertian sunnah terlebih dahulu.

Sunnah mempunyai beberapa pengertian .
PENGERTIAN SUNNAH

1.  Sunnah menurut ulamak hadis dan sirah  ialah apa yang diriwayatkan atau diceritakan tentang nabi SAW sama ada perkataan atau perbuatan atau pengakuan atau keadaan fizikal atau akhlaq baginda sama ada sebelum sebelum menjadi rasul atau selepas menjadi rasul.
2.  Sunnah menurut ulamak usul fiqh pula ialah apa yang datang dari nabi SAW sama ada perkataan atau perbuatan atau pengakuan.
Dari dua definisi di atas, sunnah menurut ulamak hadis adalah lebih luas pengertiannya dari sunnah menurut ulamak usul fiqh. Definisi sunnah menurut  ulamak hadis sunnah merangkumi perbuatan, perkataan, pengakuan, kejadian fizikal, akhlaq baginda SAW dan peristiwa yang berkaitan baginda SAW (sirah).
Dari kenyataan di atas, makanan yang dimakan oleh nabi SAW dinamakan makanan sunnah menurut ulamak hadis. Tetapi menurut ulamak usul fiqh makanan yang baginda SAW tidak makan, tidak dinamakan makanan sunnah bahkan sunnahnya ialah cara baginda memakan makanan.
MAKANAN YANG BAGINDA MAKAN ATAU BAGINDA AKUI
Melalui penelitian dari hadis-hadis baginda SAW di antara makanan dan minuman yang dimakan atau diakui oleh baginda SAW ialah:
1. Roti yang dibuat daripada barli.

2. Kurma.

3. Daging kambing.

4. Daging burung.

5. Madu.

6. Buah Zaitun (baginda menyuruh menggunakan minyak zaitun sebagai minyak yang dilumur pada rambut).

7. Buah Tin.

8. Buah Timun (timun batang)

9. Cuka.

10. Ayam.

11. Delima.

12. Habbatussauda (bijirin hitam).

13. Air Zam Zam.

14. Pisang.

15. Anggur.

16. Susu.

17. Labu.

18. Tembikai

19. Rempah ratus.

20. Cendawan.

21. Susu masam (yogurt)

22. Mentega.

23. Kuah daging.

24. Bubur.

25. Sup daging.

26. Minuman manis yang sejuk.

27. Manisan.
ADAKAH SUNAT MEMAKAN APA YANG DIMAKAN OLEH BAGINDA SAW
Muslim diarah memakan makanan yang halal lagi berkhasiat. Adapun memakan makanan yang dimakan oleh nabi SAW untuk menunjukkan kecintaan kepada baginda SAW adalah perbuatan yang elok dan bagus.
Imam Muslim meriwayatkan
قَال أَنَسٌ: فَرَأَيتُ رَسُولَ الله صلى اللهُ عَلَيهِ وَسلمَ يَتَتَبَّعُ الدُّبَّاءَ مِنْ حَوَالي الصَّحْفَةِ. قَال: فَلَمْ أَزَلْ أُحِبُّ الدُّبَّاءَ مُنْذُ يَوْمَئِذٍ
Anas berkata, maka lihat nabi SAW mencari-cari sayur labu dalam bekas makanan (seperti talam). Maka sejak dari hari tersebut aku pun menyukai memakan labu.
Imam Nawawi menyatakan
فِي الْحَدِيثِ فَضِيلَةُ أَكْلِ الدُّبَّاءِ وَأَنَّهُ يُسْتَحَبُّ أَنْ يُحِبَّ الدُّبَّاءَ وَكَذَلِكَ كُلُّ شَيْءٍ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّهُ وَأَنَّهُ يَحْرِصُ عَلَى تَحْصِيلِ ذَلِكَ
Hadis di atas menunjukkan kelebihan memakan labu dan digalakkan memakan labu dan juga setiap apa yang disukai oleh Nabi SAW dan sunat berusaha melakukannya.
Walaubagaimanapun kaedah penyediaan makanan tersebut hendaklah dirujuk kepada pakar pemakanan terlebih dahulu.
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maka tanyalah golongan jika kamu tidak mengetahui. (Surah al Nahl 43)
Ibnu Majah meriwayatkan
عَنْ جَدِّهِ صُهَيْبٍ قَالَ

قَدِمْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبَيْنَ يَدَيْهِ خُبْزٌ وَتَمْرٌ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ادْنُ فَكُلْ فَأَخَذْتُ آكُلُ مِنْ التَّمْرِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَأْكُلُ تَمْرًا وَبِكَ رَمَدٌ قَالَ فَقُلْتُ إِنِّي أَمْضُغُ مِنْ نَاحِيَةٍ أُخْرَى فَتَبَسَّمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Daripada datuknya Suhaib katanya aku pernah datang menemui nabi SAW dan di hadapan baginda SAW terdapat roti dan tamar. Lalu baginda SAW bersabda sila duduk dekat makanan tersebut dan makanlah. Maka aku pun mengambil makanan tersebut dan memakan kurma. Nabi SAW bersabda engkau memakan tamar sedangkan engkau sakit mata? Lalu aku menjawab aku menguyah untuk mata yang satu lagi (mata yang tidak sakit). Maka tersenyumlah nabi SAW.’ (Riwayat Ibnu Majah).
Pengarang kitab al Fath al Rabbani menyatakan kemungkinan Nabi SAW berkata begitu dengan tujuan bergurau dan boleh jadi juga baginda bermaksud mereka yang mengalami sakit mata tidak elok memakan kurma.
Hadis ini secara tidak langsung menerangkan mereka yang mengalami penyakit tertentu tidak sesuai memakan makanan tertentu.
Oleh itu, mereka yang membuat makanan sunnah hendaklah merujuk kepada pakar pemakanan terlebih dahulu supaya makanan yang diedarkan benar-benar berkhasiat.
Dalam pada itu, satu perkara yang perlu difikirkan, adakah nama makanan menimbulkan kekeliruan atau tidak?
َصَلَّى اللَّهُ وَسَلَّمَ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَآلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
وَاللَّهُ أَعْلَمُ
كتبه

أحمد ترمذي طه حسن

خويدم طلبة العلم

عفا الله عنه

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleKayu Manis dan Kencing Manis?
Next articleKuliah Maghrib Antara Fakta atau Auta? 
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com