Dewan Muslimat PAS Malaysia memandang serius terhadap kewujudan kumpulan ‘’doula ekstrim‘’ yang mempengaruhi para ibu hamil dengan kefahaman songsang. Ia seterusnya berlarutan dengan isu kes saman sivil yang kelihatan berat sebelah terhadap seorang Pakar Perubatan Keluarga yang berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut definisi American Pregnancy Organization, doula adalah seorang yang terlatih dalam membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan) kepada para ibu hamil [1]. Berbeza dengan bidan, doula tidak dilatih untuk menyambut kelahiran. Fungsi mereka hanya untuk memberi sokongan emosi, pendidikan serta fizikal sebelum, semasa dan selepas bersalin. Mereka juga tidak bertauliah merawat atau mengendalikan sebarang kecemasan berkaitan proses kelahiran.

Kajian menunjukkan bahawa kadar kematian ibu yang bersalin di rumah adalah lebih 15 kali ganda berbanding kadar kematian ibu yang bersalin di hospital-hospital di Malaysia [2].

Namun begitu, di Malaysia, masih terdapat kelompok “doula ekstrim” yang melakukan tugas di luar daripada peranan mereka. Mereka meracuni pemikiran para ibu hamil dengan keburukan bersalin di fasiliti hospital, di samping menjanjikan proses bersalin yang ideal di rumah. Ibu-ibu hamil ini juga dimomokkan dengan keburukan pembedahan Caesarean.

Pakar Perubatan Keluarga tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab telah mendedahkan perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh “doula” dalam proses kelahiran sehingga telah memberi kesan yang parah iaitu kematian bayi. Namun sekali lagi kita melihat kumpulan-kumpulan yang tidak memahami situasi sebenar sanggup menyerang individu yang cuba memberi peringatan kepada mereka mengenai kelahiran secara selamat.

Oleh yang demikian, Dewan Muslimat PAS Malaysia berpendapat bahawa pakar berkenaan perlu diberikan bantuan dan pembelaan yang sewajarnya. Hal ini kerana beliau hanya melaksanakan tanggung jawab sebagai seorang pakar dalam bidang perubatan untuk menasihati masyarakat dalam ruang lingkup jaringan media sosial yang begitu mencabar.

Di dalam era The 4th Industrial Revolution (4.0 IR), perkembangan teknologi maklumat yang begitu pesat mengakibatkan masyarakat menghadapi lambakan informasi tanpa sempadan. Maklumat yang begitu mudah diperolehi hanya di hujung jari menyebabkan masyarakat menjadi keliru serta mudah dieksploitasi. Oleh itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia berpandangan bahawa adalah penting untuk kerajaan membanteras segala bentuk penyelewengan terutamanya dari sudut ilmu kesihatan kerana ianya melibatkan nyawa yang tidak berdosa. Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah, menyelamatkan nyawa daripada sebarang kemudharatan adalah wajib [3].

Justeru, Dewan Muslimat PAS Malaysia bersama barisan Muslimat Medical Team (MusMedik) Malaysia dengan ini menggesa Kementerian Kesihatan agar :

i. Mewujudkan akta / peraturan yang ketat dalam mengawal kegiatan “doula”, atau kegiatan lain yang seumpama dengannya daripada terus menular tanpa kawalan.

ii. Mewujudkan serta mengiktiraf peranan para doktor pakar sebagai “advocators of contemporary medical practice” di media sosial, agar mampu berlari seiring dengan revolusi teknologi maklumat yang sememangnya memberi kesan (positif, juga negatif) terhadap perkembangan bidang perubatan.

iii. Cakna akan kebajikan para doktor yang menghadapi kes-kes saman dalam rangka menjalankan tugas, sebagai pengiktirafan terhadap jasa mereka yang setia berkhidmat kepada masyarakat, walaupun terdedah kepada pelbagai risiko dalam melaksanakan tanggungjawab berat tersebut.

Dewan Muslimat PAS Malaysia sekali lagi menyeru semua pihak agar bersama-sama berganding bahu dalam membanteras gejala yang tidak sihat ini daripada terus merebak umpama virus di dalam masyarakat.

Dr Rosni Adam
Timbalan Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
20 Januari 2019 bersamaan 14 Jamadil Awal 1440

————————

Rujukan :

[1] Having A Doula: Is A Doula For Me? http://americanpregnancy.org/labor-and-birth/having-a-doula/
[2] Prof Imelda Balchin. Maternal Mortality Risk at Home Delivery. https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=2104755969614890&id=1040952502661914
[3] SS Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri. Hukum Menggunakan Khidmat Doula. http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2292-bayan-linnas-siri-ke-125-hukum-menggunakan-khidmat-doula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleBahaya Aluminium dalam Vaksin?
Next articleDapatkan Maklumat Sahih dalam Perubatan
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com