Sekurang-kurangnya dua badan berwibawa meletakkan status kenyataan maya berkaitan HUKUM mengambil vaksin.
Pernyataan awal oleh SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan dalam Bayan Linnas ke-166 yang menyatakan bahawa mengambil vaksin MENGIKUT JADUAL IMUNISASI KEBANGSAAN adalah WAJIB.[1]

Manakala Bahagian Dakwah, Jakim mengambil sumber yang sama Bayan Linnas SS Datuk Mufti Wilayah itu dengan membuat topik umum VAKSIN IMUNISASI ASALAH HARUS. Seolah-olah terdapat dua percanggahan pernyataan di sini dan golongan yang sengaja tidak mahu faham akan senantiasa menuduh golongan agamawan pun berbelah bahagi untuk menentukan hukum.
.
Ketika isu ini timbul sebelum ini, saya pernah menulis huraian panjang berkaitan istilah HARUS vaksin seperti yang dimaksudkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Suadah tentu ulasan saya itu tidak dibuat atas kapasiti individu, tetapi setelah bersemuka dengan para agamawan seluruh negara.
.
Istilah Harus yang digunakan menjadi hujah kepada pihak tertentu yang menolak pemberian vaksin kepada anak-anak mereka. Istilah HARUS ini bukan bermaksud “tidak berpahala jika dikerjakan dan tidak berdosa apabila ditinggalkannya”  seperti apa yang biasa dibahasakan dalam bab ibadah.
.
Penerangan isu ini telah di ulas oleh Ustaz Ahmad Tarmizi Taha, Pensyarah UniSZA. Rujukan beliau adalah Kitab Usul Fiqh karangan Muhd Abu Nur Zuhir Universiti Al Azhar. Pernyataan HARUS yang dinyatakan itu adalah merujuk kepada usul fikah hukum taklify yang merujuk kepada IBAHAH. Harus yang diterjemah dari ibahah ini pula membawa maksud hukum asalnya adalah harus. Tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib atau sunat atau makruh atau haram bergantung kepada perkara luaran yang berkaitan dengannya (ilah sesuatu perkara itu terbit).
.
Contohnya dalam situasi normal, minum air hukum adalah harus. Hukum ini boleh bertukar menjadi wajib jika kita tidak minum air menyebabkan mudharat seperti mati atau cacat. Begitulah ulama mengambil kaedah berhukum dengan memberi perumpamaan, jika sesuatu bahan itu tidak diambil, boleh menyebabkan seseorang berisiko mati, cacat atau banyak duit dihabiskan untuk merawat, maka harus secara taklify tadi sudah menjadi WAJIB.[2]
.
Berbalik kepada isu vaksinasi, jika hendak dikompromi antara FATWA dengan arahan KKM, ialah fatwa memutuskan hukum asal vaksinasi adalah harus, ianya perlu dikembalikan bertanya kepada golongan pakar dalam bab mengenalpasti penyakit, keseriusan wabak dan kaedah merawat dalam masyarakat. Majoriti pakar seluruh dunia memutuskan tanpa vaksinasi, mudharat samada maut, cacat anggota atau banyak duit digunakan untuk merawat akan berlaku secara pasti atau hampir pasti. Maka hukum HARUS tersebut bertukar menjadi WAJIB lighairih iaitu WAJIB kerana sebab luaran yang medesak sesuatu itu dilaksanakan.
.
Tiada percanggahan pernyataan antara Bahagian Dakwah Jakim dan SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan. Bahagian Dakwah Jakim mengambil pernyataan vaksin HARUS dari fatwa asal mengikut syariat Islam. Manakala SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan mengulas berkaitan kewajiban perlaksanaan mengambil vaksin mengikut jadual Imunisasi kebangsaan.
SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan juga menekankan: Memandang kajian mengenai vaksin sudah menempuh ratusan eksperimen dan puluhan tahun pengalaman, sehingga menghasilkan penawar dan pencegahan antara yang terbaik dalam sejarah perubatan manusia, maka tidak sepatutnya kita sebagai orang Islam menolak pemberian vaksin ini atas alasan yang tidak kukuh sehingga menyebabkan kerosakan dan penyakit kembali merebak dalam masyarakat kita.
.
Beliau juga telah membuat kesimpulan yang seimbang dalam isu ini:
  • Menjadi tanggungjawab dan kewajiban kita sebagai rakyat Malaysia dan umat Islam untuk memastikan persekitaran kita bebas daripada penyakit berjangkit.
  • Bahawa pengambilan vaksin berjadual mengikut Program Imunisasi Kebangsaan adalah wajib ke atas ibu bapa untuk anak-anak mereka. Ibu bapa dan penjaga yang lalai daripada kewajiban ini adalah berdosa apabila anak-anak mereka dijangkiti penyakit berjangkit yang boleh dielakkan. Sekiranya penyakit berkenaan membawa mudarat kepada orang lain kerana kecuaian ibu bapa, atau penjaga tersebut, maka mereka mendapat dosa yang lain.
  • Kami mengesyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia mewajibkan pengambilan vaksin bagi kanak-kanak pada peringkat Kerajaan Persekutuan.
  • Warga dewasa juga disarankan untuk mengambil vaksin-vaksin alternatif seperti kata Presiden Malaysian Society of Infectious Diseases and Chemotherapy (MSIDC).
  • Dalam masa yang sama, Jadual Imunisasi Kebangsaan itu perlulah sentiasa disemak disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanan, kandungan bahannya dan kesannya kepada kemampuan ekonomi negara.
.
Melihat balik beberapa kenyataan dari para agamawan sebelum dari ini, nada dan syor mereka adalah selari.
  1. Kenyataan dari Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang juga ahli Majlis fatwa Kebangsaan. Ibu bapa yang sengaja menolak untuk bayi mereka disuntik vaksin sehingga menyebabkan anak menghadapi risiko penyakit adalah berdosa.[3- Berita Harian 26 April 2016]
  2. Kenyataan dari Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin: Ibu bapa yang memilih untuk tidak membenarkan anak mereka diberikan vaksin tanpa langkah pencegahan lain yang terbukti lebih efektif, juga berdosa kerana meletakkan anak mereka dalam keadaan bahaya.[4- New Strait Times 24 Jun 2016]
  3. Kenyataan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad: Vaksin wajib diambil demi memastikan kesihatan ummah berada dalam keadaan yang baik dan terkawal kerana penularan pe­nyakit boleh dielakkan menerusi pengambilan imunisasi sesuatu penyakit.[5- Utusan Online 27 Jun 2016].
  4. Kenyataan Jawatankuasa Fatwa negeri yang dipengerusikan oleh Mufti Datuk Dr Zulkifly Muda, pada 29 Jun 2019 telah membuat keputusan bahawa kanak-kanak di negeri ini wajib mendapatkan suntikan vaksin untuk membendung serangan penyakit dan menyebabkan masalah kesihatan yang teruk termasuk kematian.[6- MStar Online 5 Julai 2016].
.
Cuma dalam negara kita, akta mewajibkan (Mandatory Vaccination) pemberian vaksin masih belum ada secara rasmi kecuali Akta 342 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Namun Akta 342 itu terakluk kepada program seliaan semasa wabak berlaku. Begitu juga dengan akta perlindungan kanak-kanak 2015 masih tidak kemas untuk memastikan anak-anak kita terlindung dari penyakit-penyakit yang mendatangkan bahaya.
Beberapa negara di serantau Asia ini telah pun mewujudkan akta yang sedemikain, seperti Brunei Darus Salam, Singapura dan Autralia. Walaupun terdapat pertentangan antara baik dan buruk mewujudkan akta khusus imunisasi kebangksaan ini, kita yang berada di bidang perubatan ini merasakan sudah sampai masanya kerajaaan mengambil serius cadangan dan syor dari para pakar perubatan dan agamawan di atas.
.
Sekian dari suhazeli.com
26.2.2019
Kuala Berang
.
Pautan
[2] Hukum Vaksin Harus atau Wajib. http://suhazeli.com/wp/?p=1210
[3] Berdosa dedah anak bahaya penyakit tanpa vaksin. https://www.bharian.com.my/node/147522
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleProf Imelda Sedih
Next articlePetisyen Wajibkan Akta Vaksin
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com