Atur Haid Ketika Haji dan Umrah

.

“Doktor, boleh tak saya atur haid saya semasa saya nak kerjakan haji nanti?” Soal seorang jemaah haji yang hadir ke klinik bagi dapatkan rawatan ubat darah tinggi beliau. Umurnya baru masuk 40-an. Rezeki beliau kerana dapat tawaran laksanakan haji diusia yang muda. Kitaran haid beliau masih seperti biasa. Anak paling kecil pun baru 3 tahun. Tetapi size badan agak obese dan darah tinggi agak terkawal dengan satu jenis ubat.

.

“Kak Hajah dah kira ke kitaran haid? Maksud saya, adakah haid normal akak jatuh pada hari-hari penting ibadah haji?” Soalku semula bagi memastikan beliau cukup yakin dengan kiraan hari haid semasa berada di Tanah Suci.

Hari-hari penting ibadah haji adalah 8 – 13 Zulhijjah. Hari-hari tersebut jemaah haji akan melakukan rukun dan wajib haji bagi melengkapkan ibadah dengan sempurna. Jika jemaah haji didatangi haid tanpa sempat melaksanakan ibadah rukun terutama sekali tawaf, bermakna ibadah haji tidak lengkap. Jemaah haji akan menunggu berada dalam ihram lebih lama sehingga haid berhenti. Terdapat sesetengah jemaah haji, jadual perjalanan balik agak suntuk, justeru jiwa akan menjadi gundah gulana kerana haid masih belum suci.

.

Beberapa pilihan boleh diambil oleh jemaah haji wanita yang masih subur ini. Jika dah menopos tidak perlu risau.

.

1) Jika risau haid akan jatuh pada hari-hari penting, samada haid sebelumnya tidak teratur atau mengikut kiraan haid beliau tepat jatuh pada hari-hari tersebut, diharuskan mengambil pil hormon bagi menghalang kehadiran haid. Hukum mengambil pil hormon ini dibenarkan oleh syarak. Namun adalah dinasihatkan beliau mengambil pil hormon tersebut minima 3 bulan sebelum berlepas ke tanah suci. Cara ini penting bagi menyesuaikan diri dengan hormon tambahan yang diberikan. Ini kerana terdapat segelintir wanita tidak sekun (sesuai) dengan pil hormon. Mengakibatkan haid beliau beronar terus. Doktor pun pening untuk uruskan supaya kembali ke sifat haid normal. Jika fenomena ini berlaku, adalah dinasihatkan anda berhenti memakan pil hormon tersebut. Walaubagaimanapun, majoriti dikalangan wanita akan mudah serasi dengan kitaran haid “aturan baru” melalui pil ini. Syarat yang paling utama bagi jemaah yang ambil kaedah ini adalah istiqomah. Maksudnya beliau wajib memakan pil hormon itu tetap pada masa yang sama setiap hari. Jangan sesekali tertinggal pil walau sehari. Boleh berbincang lanjut dengan doktor keluarga anda, apakah jenis pil hormon yang paling sesuai, bila waktu makan dan sebagainya lagi. Setiap individu mungkin berbeza jenisnya.

.

2) Jika lupa untuk mendapatkan pil hormon lebih awal (3 bulan dari tarikh ibadah haji), jemaah haji wanita masih boleh mengambil pil hormon. Jenis pil hormon ini diberikan kepada wanita yang biasanya kitaran haid sebelum ini normal. Akan tetapi dos pil hormon ini agak tinggi berbanding dengan jenis yang pertama. Kesan sampingan pengambilan pil hormon seperti mual, muntah, pening sering terjadi. Terdapat juga haid dikalangan mereka akan menjadi tidak menentu. Keadaan ini lagi merumitkan keadaan. Doktor keluarga anda akan berbincang lanjut bagaimana pil hormon jenis ini digunakan.

.

3) Saya lebih suka mengambil pilihan ketiga ini, iaitu tidak mengambil apa-apa bahan pil, makjun, suplemen atau seumpamanya bagi tujuan mengatur kitaran haid. Biarkan kitaran haid anda berlaku seperti fitrah seorang wanita. Jemaah haji wanita masih boleh melaksanakan rukun dan wajib haji kecuali tawaf. Sayugia berbincang dengan pihak tabung haji jika haid anda masih lagi tidak kering untuk melewatkan sedikit jadual penerbangan anda. Pihak tabung haji juga menyediakan guru-guru pembimbing bagi menyelesaikan masalah anda sebaiknya.

.

Sekian semoga bermanfaat.

.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

#RakanMedicalFiqh Anda.

11.8.2017

Alor Setar, Kedah

Nota kepada Doktor

1) Pil jenis pertama adalah Combined Oral Contraceptive Pill. Dimakan setiap hari tanpa ingkar.

2) Jenis kedua adalah pil progesterone diberi 3 kali sehari. Sebaiknya 3 hari sebelum jangkaan haid tiba dan berhenti setelah sekembali ke tanah air. Jika penerbangan sejurus selepas hari-hari tasyrik.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleBulan Tawaf Kaabah? 
Next articleBahaya Strok / Angin Ahmar
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com