Hipokrit sungguh geng antivaksin. Dulu, hujah mati-matian tolak vaksin atas pelbagai alasan. Vaksin ada kinzir la, AEFI vaksin serius la, vaksin ada logam merkuri la dan banyak lagi. Semua penulisan gavaks itu menolak total vaksin. Hatta termasuk vitamin K yang boleh mencegah perdarahan otak pun mereka phobia.
.
Kita sudah pun perjelaskan satu persatu semua persoalan yang gavaks sangsikan itu. Tetapi mereka masih tidak berganjak. Masih menggunakan hujah dangkal yang mereka sendiri pun tidak tahu konsep sebenar.
.
Apabila mengulas isu wabak Polio, terus menerus mereka tetap salahkan polisi pemberian imunisasi kebangsaan. Sedangkan isu sebenarnya sudah bersuluh kita terangkan [1]. Kes polio terbaharu itu terjadi akibat mutasi virus Polio (cVDPV)
dari Vaksin Oral Polio (OPV). Kemungkinan besar virus mutasi itu dari negara jiran kerana OPV (Virus yang dilemahkan) sudah pun tidak diberikan kepada anak-anak kita sejak 2008 lagi. Peralihan vaksin OPV ke jenis cucuk (IPV) berakhir 2016. Pun begitu, OPV bukan tidak selamat digunakan [2]. Ianya selamat dan amat berkesan.
.
Cuma dalam situasi yang amat jarang berlaku di sebuah negara membangun seperti Malaysia, kes Virus-Terbitan-Vaksin-Polio (Circulating Vaccine Derived Polio Virus – cVDPV). Punca paling besar kenapa berlaku mutasi tersebut adalah akibat liputan vaksinasi di lokaliti terbabit rendah. Buktinya kajian lapangan kita dapati liputan vaksinasi polio di lokasi berkenaan hanya 87.7%. Peratusan liputan yang tidak mencapai seperti disasarkan – 95%. Terdapat individu yang tidak diketahui status imunisasi terutamanya warganegara asing dan pendatang tanpa izin. Digalakkan lagi dengan sebaran maklumat yang mengelirukan dari gavaks. Keadaan inilah menyulitkan kita dalam menjalankan pemantauan dan pengawalan penyakit.
.
Apabila liputan rendah, kuman polio cVDPV akan bertahan, lebih-lebih lagi bila hygiene yang tidak memuaskan dan mampu menjangkiti dari satu individu ke individu lain yang tidak mempunyai imuniti. Kanak-kanak yang tidak menerima vaksin langsung atau tidak lengkap vaksin inilah yang menjadi mangsa penularan cVDPV.
.
Bagaimana ingin mengatasi rantaian jangkitan ini? Sudah tentu dengan terus menerus tingkatkan liputan pemberian vaksin kepada semua masyarakat. Inilah saranan WHO. Kajian sejak berapa dekad mendapati hanya pemberian liputan tinggi boleh mengekang dan menghentikan kehadiran Polio liar / cVDPV.
.
Saranan khusus kepada kawasan wabak, pemberian vaksin secara titis mulut (OPV) kepada anak-anak berumur kurang dari 5 tahun samada pernah mendapat vaksin polio semasa kecil atau tidak [3]. Ini adalah aktiviti tambahan yang dilakukan selain dari penerusan vaksin IPV seperti termaktub dalam jadual imunisasi kebangsaan.
.
Kenapa guna OPV? Gavaks cuba bersoal supaya masyarakat keliru. Mereka hanya membuat bising seolah-olah mereka juara pengambilan vaksin IPV. Sedangkan vaksin IPV pun mereka pertikai. Bahkan bukan sahaja IPV, tetapi semua vaksin dalam jadual imunisasi kebangsaan mereka ibarat tin kosong menyalahkan pihak doktor.
.
Bagi kami yang faham dalam isu ini, OPV diberikan tanpa sangsi kerana manfaat pertahanan (imuniti) yang akan diperolehi oleh anak-anak kita semakin mantap. Dalam situasi wabak, tindakbalas imuniti dalam perut melalui vaksin OPV amat penting selain dari IPV (dalam darah) [4]. Apabila vaksin OPV diberikan kepada majoriti kelompok anak-anak, cVDPV yang berlegar di persekitaran akan semakin pupus. Akhirnya jangkitan dari individu ke individu tidak berlaku. Inilah kerberhasilan kaedah yang telah dilakukan dikebanyakan negara dunia yang mengalami wabak.
.
Satu kes polio berlaku sudah bermakna wabak. Risiko kes-kes lain yang mungkin dijangkiti adalah tinggi. Memutuskan rangkaian jangkitan dalam tempoh 120 hari amat penting! [5] Jangan perlekehkan usaha KKM dalam mengatasi isu ini agar manfaat kesihatan optima masyarakat tercapai.


.
Sekian dari suhazeli.com
fb.com/Suhazeli.abdullah
28.12.2019
Panji Kuala Terengganu
.
Pautan
[1] Kenyataan KP Kesihatan Situasi di Tuaran. https://kpkesihatan.com/…/kenyataan-akhbar-kpk-15-disember…/
[2] Safety of OPV. https://www.who.int/…/qa_production_control_pq_11july2012.p…
[3] Kenyataan Rasmi WHO isu Polio di Negara berkaitan. https://www.who.int/…/20-12-2019-statement-o-the-twenty-thi…
[4] Saranan WHO pemberian OPV. http://polioeradication.org/…/GPEI-cVDPV-Fact-Sheet-2019111…
[5] Polio End Game Strategy. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/25608050/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book