Thursday, April 25, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Ganja Perubatan vs Rekreasi?

Ganja untuk Perubatan?
.
Selain daripada ketagihan, penyalahgunaan ganja juga telah dibuktikan melalui kajian-kajian perubatan berupaya mendatangkan masalah psikologi dan mental terhadap penggunanya. Semakin lama penyalahgunaan itu berlaku, kesan kesihatan mental yang bakal diperolehi juga akan menjadi lebih teruk. Bukan setakat diri yang beroleh mudarat kesihatan, tetapi kajian-kajian menunjukkan penyalahgunaan tersebut bakal mendatangkan kesan terhadap institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat. Perkara sebeginilah yang menjadi kebimbangan di pihak ahli perubatan, ganja lebih banyak merosakkan nusa bangsa dari manfaat yang mungkin ada tetapi sedikit.
.
Kenyataan bersama yang telah dikeluarkan oleh National Academies of Sciences, Engineering and Medicine (NASEM USA) dari Centers of Disease Control and Prevention (CDC), Food and Drug Administration (FDA), dan beberapa badan terkemuka lain seperti the National Institute on Drug Abuse, the National Cancer Institute, the National Highway Traffic Safety Administration, the Alaska Mental Health Trust Authority, the Arizona Department of Health Services, the California Department of Public Health, the Oregon Health Authority, the Colorado Health Foundation dan the Washington State Department of Health. Semua badan-badan berautoriti ini telah menyimpulkan ganja hanya berguna dalam tiga keadaan sahaja:
.
i] Untuk mengawal sejenis sakit saraf yang dinamakan “Chronic Neuropathic Pain”. Dalam keadaan ini, ganja perubatan hanyalah sebagai rawatan tambahan (adjuvant therapy) kepada ubatan dan rawatan sedia ada yang telah pun terbukti berkesan. Ganja perubatan bukanlah sebagai rawatan pertama atau rawatan utama. Ini bermakna, hanya jika rawatan utama tidak boleh mengawal masalah ini, maka sebagai pilihan akhir, ganja ini boleh diberikan. Namun penggunaannya wajib dengan penyeliaan pakar perunding yang berpengalaman dalam rawatan ini. Pesakit mesti dipantau rapi, kerana jika timbulnya kesan sampingan seperti ketagihan atau penyalahgunaan dadah, maka rawatan ini hendaklah dihentikan.
.
ii] Untuk melegakan muntah-muntah yang disebabkan oleh rawatan kemoterapi. Premis kesihatan dan perubatan moden sudah pun terdapat banyak ubatan dan rawatan lain untuk masalah muntah ini. Sekali lagi, ganja perubatan hanyalah pilihan akhir sekiranya rawatan lainnya tidak berkesan.
.
iii] Untuk mengurangkan spastik atau ketegangan otot yang disebabkan oleh penyakit “Multiple Sclerosis” (MS). Dalam keadaan ini pun, rawatan utama bukanlah ganja.
.
Pihak berkuasa Makanan dan Dadah (FDA) juga meluluskan penggunaan ganja perubatan (Cecair CBD) berjenama Epidiolex® untuk rawatan penyakit sawan teruk kanak-kanak (Dravet syndrome dan Lennox-Gastaut syndrome). Manakala di United Kingdom, Canada, beberapa negara Eropah meluluskan ubat berasaskan minyak CBD bernama nabiximols (Sativex®). Kita menegaskan bahawa negara ini tidak perlu menanam ganja atas alasan ingin menjalankan kajian. Keputusan yang telah dibuat oleh badan berkuasa dunia (FDA) dari WHO itu sudah memadai. Perlu diingat bahawa kebenaran meluluskan ganja bagi kegunaan perubatan berbeza kebenaran halalkan bagi tujuan kajian perubatan.
.
Ganja Perubatan vs Ganja Rekreasi
.
Sesetengah pihak memperjuangkan ganja sebagai entiti perubatan dengan dalil bahawa ganja tersebut terdapat sedikit komponen kebaikan dari sudut perubatan. Tetapi perlu kita ambil pengajaran bersama bahawa kesan yang serius boleh berlaku jika negara kita menghalalkan penanaman, pemprosesan dan penjualan ganja. Kita boleh melihat sendiri kesan negatif yang besar kepada negara-negara yang telah menghalalkan ganja perubatan tersebut. Statistik dari penjualan ganja secara rekreasi di Amerika Syarikat telah meningkat dengan banyak melebihi daripada peningkatan penjualan kerana tujuan perubatan. Boleh lihat laporan dari Laman web rasmi Marijuana Business Daily, penjualan ganja rekreasi pada tahun 2017 ($2.6-$2.9 bilion) dan 2018 ($3.8-$5.0 bilion) melebihi dari penjualan kerana perubatan; tahun 2017 ($2.5-$3.2 bilion) dan tahun 2018 ($2.9-$3.8 bilion). Sedangkan pada tahun 2013 dipermulaan ganja perubatan diluluskan penanaman, pemprosesan dan penjualan adalah $0 bagi ganja rekreasi. Permintaan terhadap ganja untuk tujuan rekreasi semakin bertambah setiap tahun. Jangkaan jualan ganja rekreasi pada tahun 2019 dan mendatang melebihi berkali ganda daripada jualan ganja tujuan perubatan. Perkara ini amat membimbangkan kita kerana sebagaimana diketahui umum pengambilan ganja secara rekreasi akan merosakkan fizikal, mental dan sosial masyarakat.
.
Mengikut kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat pada tahun 2013, terdapat lebih 800,000 penduduknya yang berumur 12 tahun dan keatas telah mendapatkan rawatan disebabkan oleh ketagihan terhadap ganja. Didapati 10% daripada mereka yang menyalahguna dadah berunsur ganja mempunyai ketagihan yang teruk ke atas penggunaan tersebut. Kajian tersebut juga menunjukkan daripada 6.9 juta orang yang menyalahgunakan dadah, 4.2 juta daripadanya adalah penyalahgunaan dadah berunsur ganja.
.
Justeru, keadaan ini menunjukkan masalah ketagihan terhadap ganja merupakan masalah yang serius di peringkat global dan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Desakan dari kumpulan-kumpulan yang ingin menghalalkan penggunaan ganja bakal mendatangkan masalah serius yang akan menyebabkan kerugian terhadap negara. Masyarakat seharusnya menolak dakyah-dakyah begini bagi memastikan taraf kesihatan fizikal dan mental masyarakat dapat dilindungi daripada masalah ketagihan yang baru.
.
Dr Suhazeli bin Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles