Sugul sekerat hari ni memikirkan nasib doktor yang ditohmah oleh seorang pendita dalam media maya.

.

Tulisannya meletakkan ciri-ciri doktor yang tidak masuk Syurga. Katanya pendapat ulama.

.

Saya terus bertanyakan sahabat-sahabat yang juga berstatus ulama, adakah benar apa yang ditulis itu?

.

Antara jawapan yang diberikan:

.

“Kenyataan tidak bertanggungjawab sehingga mengundang perspektif buruk kepada status agamawan”

.

“Tulisan itu bahaya”

.

“Tulisan rekaan dan palsu. Cuba tanya dia siapa saja yang masuk syurga tanpa hisab? Penulis tu ada dalam senarai tak? Profesion lain mana disebut lagi?”

.

Saya meneliti balik setiap patah perkataan yang ditulis. Memang benar jika sebab-sebab 1 hingga 7 itu dibuat oleh doktor, tidak layaklah masuk Syurga (tanpa hisab). Bukan sahaja jawatan doktor tetapi jawatan lain seperti ustaz, cikgu, tukang masak, jurutera dan lain-lain juga tidak layak masuk syurga tanpa hisab dengan mengamalkan ciri-ciri yang disebut dari 1 hingga 7 itu.

.

Namun sebagai doktor muslim, kesemua ciri itu adalah tohmahan yang tidak benar.

.

Ciri-ciri masuk Syurga tanpa hisab bukan terkait status kerja, tetapi ianya status amalan masing-masing. Sekurang-kurangnya 15 golongan yang masuk Syurga tanpa hisab, antaranya syahid, sahabat Rasulullah saw, mati dengan kalimah tauhid dan beberapa lagi. Tidak pun disebut jawatan tertentu.

.

Saya bimbang jika individu seperti penulis itu terus menerus menanam kebencian kepada para doktor, masyarakat akan terus memandang serong kepada institusi agamawan. Sepatutnya ulama dan doktor seiring dalam mengubati ummat. Seperti mana kata-kata Imam As Syafie:

“Ulama dan doktor adalah dua sahabat yang bergandingan.”

.

Imam Syafie juga pernah menabalkan dalam karyanya yang masyhur:

“Aku tidak pernah melihat ilmu yang mulia selepas ilmu syariah daripada ilmu perubatan.”

.

Menunjukkan betapa rapatnya kemuliaan ilmu yang para ulama pelajari dengan ilmu perubatan yang diceburi oleh doktor.

.

Maksud Surah Al Isra ayat 7:

“Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.”

.

Memasuki Syurga adalah satu anugerah yang Allah berikan kepada sesiapa sahaja tanpa mengenal jawatan. Syaratnya adalah bertakwa!

.

Semoga Allah ampuni kita semua dan dimasukkan ke Syurga dengan rahmatNya. Aameen

.

Dr Suhazeli Abdullah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleTolak lah, Benda tu Mudarat
Next articleJangan Pusing Kepala Baby
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com