Rekaan cerita dari penulis yang tidak diketahui sumber asal menjadi isu viral sehari dua ini. Tulisan itu mengambil “testimoni” sebuah klinik yang sepi kerana hebatnya penduduk di Makkah beramal dengan sunnah. Tajuk artikel itu menjadi tandatanya. Dengan meletakkan tajuk besar “DI MAKKAH HOSPITALNYA SEPI, BERBEZA DGN DI MALAYSIA. YANG MEMBEZAKAN ADALAH AQIDAH DAN SYARIATNYA.”, seolah-olah negara kita jatuh sesat kerana berlainan “aqidah” dan “syariat”.

Mungkin benar pengalaman yang diambil dari sebuah klinik tersebut, yang tidak dikenal pasti lokasinya samada strategik atau tidak. Kesepian klinik biasa berlaku bagi doktor yang tidak masyhur dan kedudukan klinik jauh dari kawasan tumpu. Saya pernah bertugas di klinik swasta sekitar Gong Badak 2002-2003 lalu. Kliniknya juga sepi, akhir nya klinik itu mati tanpa nesan. Adakah penduduk Gong Badak beramal dengan sunnah?

Saya merasakan “testimoni” klinik sepi itu tidak manis untuk dipadukan dengan penjagaan kesihatan termasuk mengamalkan sunnah. Sudah tentu pengamalan sunnah yang dianjurkan itu mempunyai hikmah tersendiri tanpa merujuk kepada status kesihatan penduduk setempat. Amalan sunnah yang disarankan itu baik bagi penjagaan hidup sihat secara umum. Akan tetapi penyakit-penyakit yang melanda dewasa-kini memerlukan pengamatan, pemeriksaan dan rawatan spesifik dari orang yang ahli seperti doktor perubatan. Dalam masa yang sama saya tidak nafikan bahawa cara hidup sihat seperti menjaga pemakanan (termasuk makanan sunnah), kurangkan berat badan, elakkan tekanan hidup (teknik solat dan bacaan quran salah satu terapi) boleh membantu-pulih lagi kesihatan manusia.


Saya pernah berkhidmat dengan rombongan perubatan tabung haji di dua tanah suci, menyaksikan kejadian penyakit di sana kurang lebih sama dengan negara kita. Hospital-hospital di sana senantiasa penuh dengan pesakit tempatan dan jemaah haji luar negara. Boleh kita buat rujukan sendiri dalam data Kementerian Kesihatan Arab Saudi, jumlah morbiditi (sakit akibat penyakit) dan mortaliti (kematian) tinggi saban tahun.[1] Sama jumlahnya dengan negara setara membangun lain seluruh dunia.
Sistem perubatan dan kesihatan di jazirah tanah arab itu pun canggih. Mereka menggunakan teknologi terkini dalam perawatan pesakit. Ubat-ubatan juga adalah diimport dari negara-negara pengeluar yang mempunyai bukti keberkesanannya. Andainya ulama mereka rigid dengan meneruskan dakwaan hanya perubatan “sunnah” sahaja yang wajib diterima, sudah barang tentu mereka tidak menggunakan kaedah perubatan moden. Akan tetapi konsep perubatan yang dipegang oleh mereka amat signifikan, mana-mana kaedah perubatan yang mendatangkan manfaat kepada manusia dari sudut berkesan, berkualiti (evidence based Medicine), mereka akan mengambilnya. Negara mereka juga bertungkus-lumus lumus memastikan kesihatan rakyat terjamin.
Saya amat teruja apabila melihat liputan vaksinasi negara mereka. Liputannya melebihi 98%. Ini sesuatu yang amat membuka mata kita semua. Di saat ramai penentang vaksin dalam negara kita melaungkan hak dan menuduh vaksin tidak halal, tetapi Arab Saudi sendiri lebih hebat liputan vaksinasi. Malah pemberian vaksin rotavirus (diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia 2008) diharuskan oleh ulama mereka sejak januari 2013.[2]

Sekian

Dr Suhazeli Abdullah 

Pakar Perubatan Keluarga 

Fb.com/drsuhazeli
#MedTweetMY 

#MedicalMythBustersMalaysia
P/s: Lepas ni mesti label saya wahabi sebab percaya ulama Saudi. He he he
Rujukan 

[1] Mortality and Morbidity Saudi Arabia. https://www.quandl.com/collections/saudi-arabia/saudi-arabia-mortality-and-disease

[2] Asas vaksinasi Arab Saudi. http://www.moh.gov.sa/en/HealthAwareness/EducationalContent/HealthTips/Pages/Tips-005.aspx

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleTerapi Bawa Maut 
Next articlePesanan Makanan Lemak Babi dari Dr Safurah Jaafar 
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com