Pegawai yang agak sibuk dimusim hujan sebegini adalah Inspektor Kesihatan. Nama perjawatan sebenar mereka adalah Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP). Kenapa mereka sibuk? Kerana bila tibanya musim hujan air akan bertakung di merata tempat. Apabila pecah panas sahaja telur nyamuk Aedes akan cepat menetas seterusnya menjadi larva-pupa dan nyamuk dewasa dalam tempoh 10 hari sahaja.

Masa ni lah nyamuk yang membawa kuman denggi akan berleluasa dan bebas mencari mangsa. Mereka akan ketik (hisap darah) siapa sahaja tanpa kenal pangkat. Dalam tempoh itu seseorang yang sudah dijangkiti kuman denggi akan merana demam, sakit-sakit sendi, loya, muntah, ruam seluruh badan hatta boleh berlaku perdarahan sehingga membawa maut.

Justeru tugas Inspektor Kesihatan (IK) adalah memastikan tiada tapak pembiakan nyamuk berlaku. Memang sukar untuk menjejaki seluruh bumi ini bagi menyiasat tapak-tapak pembiakan. Sekitar rumah kita sendiri pun tidak kita selongkar setiap 3 hari sekali. Apatah lagi IK yang terpaksa pergi ke setiap premis jika berlaku kes denggi dilaporkan, sudah tentu banyak isu yang akan diketengahkan.

Statistik setiap tahun dalam negara kita menunjukkan jumlah kes denggi meningkat sebaik sahaja hujan. Ditambahi pula dengan pergerakan manusia yang meningkat di musim cuti samada cuti perayaan atau cuti sekolah. Apabila terdapat pembiakan nyamuk selepas hujan dan interaksi manusia meningkat, jangkitan kes denggi akan bertambah.

Tiga perkara penting amat berguna bagi mengekang berlakunya wabak demam denggi.

1- Memastikan agen pembawa denggi dikawal dengan mengadakan siasatan dan denda jika terdapat tempat pembiakan nyamuk. Akta membenarkan pihak IK untuk mengeluarkan denda dan saman jika premis terbabit terbukti mempunyai nyamuk Aedes.

2- Memastikan rantaian pembiakan nyamuk wajib diputuskan dengan membuang semua bekas takungan air, melakukan semburan nyamuk, menasihati masyarakat juga menjaga kebersihan rumah masing-masing dan menasihati segera ke klinik jika mempunyai tanda-tanda demam denggi. Perubahan sikap masyarakat kepada kehidupan yang lebih bersih amat diperlukan. Oleh yang demikian KKM telah lama melancarkan program COMBI. COMBI merupakan satu pendekatan dinamik yang menggunakan strategi mobilisasi sosial dan komunikasi untuk mempengaruhi perubahan tingkahlaku dalam kalangan individu, keluarga dan komuniti kearah tingkahlaku yang sihat.

3- Memberi pendidikan kepada masyarakat agar senantiasa mengelakkan diri dari digigit nyamuk. Hadkan pergerakan ke tempat yang dikenali sebagai wabak. Kawasan-kawasan panas demam denggi boleh diperolehi disesawang iDenggi Remotesensing Malaysia (http://idengue.remotesensing.gov.my/idengue/). Tulisan ini bermakna bukan melarang pergi ke kawasan terbabit, tetapi mengambil langkah berjaga-jaga jika ke tempat berkenaan. Antara kaedah jimat yang boleh digunakan adalah dengan memakai seluar panjang dan baju lengan panjang apabila keluar rumah, menggunakan spray sembur nyamuk dalam rumah sebelum malam tiba dan menggunakan kelambu semasa tidur. Krim untuk mengelakkan gigitan nyamuk juga boleh digunakan tetapi kos agak tinggi untuk digunakan setiap malam.

Jika berlaku wabak sahaja disesatu lokaliti, pihak IK dan pejabat Kesihatan Daerah terbabit akan bersengkang mata membuat pemantauan, siasatan, pendidikan kesihatan, semburan kabus dan pelaporan kepada kementerian. Sesungguhnya usaha mereka jangan dipandang enteng oleh kita semua. Andai kata mereka terlena, nyamuk akan terus bermaharajalela.

Terima kasih IK dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

19.12.2018

Jerangau

Sketsa lawak tugas PPKP oleh Shiro. https://youtu.be/2yMRZfn6V98

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleWaktu Asid Perut Keluar
Next articleOrang Palestin Pun Cucuk Vaksin
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com