*#Bahayakah_Ultrasound_Bayi*
Sehari dua ni gegak gempita dalam dunia perubatan mengenai satu dapatan jurnal yang menyatakan ultrasound boleh membahayakan bayi. Kajian ke atas 22 ekor species arnab itu dilaporkan oleh pelajar UiTM.[1] Mereka mendapati bayi-bayi arnab yang didedahkan kepada ultrasound semasa hamil boleh menyebabkan tulang poros (osteoporosis).[2]
Agak pelik dapatan dari kajian ini. Pengsampelan beberapa ekor arnab yang hamil dan didedahkan kepada ultrasound selama 30, 60 dan 90 minit menunjukkan komplikasi negatif sehinggakan tulang temulang bayi-bayi arnab menjadi poros/rapuh.
Pemeriksaan doktor ke atas ibu hamil menggunakan ultrasound tidak lah mengambil masa yang lama sehingga setengah jam dalam sesatu sesi. Paling ringkas 5 minit siap.
Apa yang pelik hasil kajian berkenaan? Penulis yang membuat ulasan kepada kajian itu terus membuat konklusi bahawa jika ultrasound yang serupa didedahkan kepada janin manusia, hal yang sama akan terjadi, tulang poros. Sedangkan anatomi dan fisiologi arnab tidak sama dengan manusia. Jangkahayat arnab pun berbeza. Bayangkan prob ultrasound yang sama diguna ke atas sekecil arnab. Sudah pasti ianya mungkin memberi kesan yang berbeza. Janin arnab 10 kali lebih kecil berbanding dengan janin manusia.
Dari satu sudut, kaedah kajian seperti ini ada sisi benarnya. Kajian seumpama ini diberi nama kajian fasa pra-klinikal makmal. Ia boleh diterima sebagai salah satu kaedah ujikaji. Menggunakan haiwan sebagai subjek kajian ini adalah kaedah biasa dan digunapakai serata dunia. Bukan sahaja arnab, malah tikus, kambing, kuda, monyet, kinzir dan lain-lain. Pemilihan haiwan ujikaji makmal ini dikawal ketat dan perlu mematuhi etikanya tersendiri.
Kajian tersebut sepatutnya disusuli pula dengan kajian klinikal ke atas manusia samada dapatan dari kajian berkenaan memberikan impak yang besar samada sudut negatif atau positif. Ini kerana kajian ke atas haiwan masih dianggap pra matang untuk digeneralisasikan kepada makhluk manusia. Tindakbalas sesuatu ubat atau alat yang sedang dikaji mungkin menghasilkan natijah berbeza dari sudut fizikal serta fisiologi manusia. Jika ianya negatif seperti kajian arnab di atas, perlulah dibuat kajian fasa klinikal ke atas manusia. Jika benar berlaku perkara yang sama ka atas manusia, baharulah kita boleh mendakwa sesuatu ubat atau alat berkenaan mempunyai kesan negatif.
Namun, adakah ianya perlu? Sesetengah kajian ke atas haiwan tidak perlu diteruskan kajian susulan ke atas  manusia atas sebab-sebab tertentu. Ia tertakluk kepada etika dan kesusuaian kaedah kajian berkenaan.
Jika dilihat laporan asal kajian tersebut, termuat dalam jurnal Sciencedirect.com. Interpretasi yang diberikan amat berbeza.[3] Penyelidik mendapati ultrasound meningkatkan kepadatan tulang. Bukannya semakin poros.
Namun diperhatikan bahawa sudah banyak kajian saintifik yang lebih besar sebelum ini menyatakan sebaliknya. Ultrasound adalah selamat dan realiti pengalaman sebahagian besar doktor perubatan pun sebegitu. Ultrasound adalah selamat tanpa mendatangkan mudarat. Boleh lihat meta-analisis kajian yang berkaitan dengan penggunaan utrasound ini sejak lebih dari 3 dekad yang lalu. Sejumlah 61 penulisan diterbitkan dari 41 pelbagai jenis kajian: 16 kajian terkawal (controlled trials), 13 kohort (cohort) dan 12 kajian kawalan kes (case-control studies). Mendapati Ultrasound semasa hamil tidak dikaitkan dengan kesan negatif kepada ibu dan bayi seperti kegagalan fizikal, saraf, kejadian kanser dikalangan kanak-kanak, lemah daya intelektual dan penyakit mental.[4]
Semoga pencerahan ini dapat menghilangkan rasa risau dan takut dikalangan ibu hamil untuk bertemu dengan doktor dan seterusnya bersedia menjalani pemeriksaan ultrasound jika perlu. Tidak perlu terpengaruh dengan para penghasut yang senantiasa tegar memesongkan fikiran masyarakat ke dearah yang semakin jumud.
Suhazeli Abdullah
fb.com/drsuhazeli
#MedTweetMY
#MedicalMysthBustersMalaysia
17.4.2017
Felda Jerangau
Pautan:
[3] Effect of B Mode Diagnostic Ultrasound by UiTM (Original Article). http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S1078817411001489
[4] Meta-analysis of Safety using Ultrasound in Pregnancy. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/19291813
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleKonsep Tawakkal Dalam Perubatan
Next articleGadis Yahudi yang Cantik 
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com