Tidak kurang dari dua orang ulama yang saya thiqah (percaya dan yakin dengan keilmuan mereka) menyebut hal yang sama, iaitu penggunaan ayat Quran dalam berubat adalah dikira sebagai doa. Ianya adalah salah satu kaedah ikhtiar yang dibenarkan oleh syarak. Dengan syarat, pengamalnya yakin akan mukjizat al Quran sebagai merawat penyakit batin dan fizikal. Doa adalah juga sebagai ibadah. Justeru memohon doa akan berpahala dan jika salah guna boleh membuahkan dosa.

Diriwayatkan kisah seorang sahabat yang menggunakan surah al fatihah semasa merawat penyakit gigitan binatang.[1] Setelah dilaporkan kejadian itu kepada Rasulullah SAW dan Baginda mengiyakan bahawa surah al Fatihah itu adalah ayat rukyah, yang sebelum ini mereka tidak mengetahui akan fadhilatnya. Atas keyakinan mereka bahawa ayat Al Fatihah mempunyai fadhilat, digunakan sebagai doa dan dengan izin Allah termakbul.

Amalan bacaan ayat-ayat al Quran yang lain sudah tentu mempunyai fadhilat yang tersendiri, tetapi bacaan tersebut tertakluk kepada meniatkan ianya sebagai kaedah doa dalam berikhtiar merawat. Dalam masa yang sama tidak menafikan kaedah lain boleh digunakan dalam merawat penyakit diri atau orang lain.

Begitu juga doa yang dijampikan ke atas air, ia juga merupakan konsep berdoa. Semoga dengan doa itu dimakbulkan oleh Allah Azzawajalla. Jika bertepatan dengan ketentuan dan iradat Allah maka, sembuhlah ia. Ibnul Qayyim al-Jauziah Rahimahullah menggunakan air zamzam dalam berubat. Namun tidak semua jenis penyakit beliau menggunakan air zamzam. Konsep sebenar yang perlu ada bagi seorang muslim adalah, air zamzam itu adalah salah satu ikhtiar dalam berubat. Cuba perhatikan betul-betul tulisan Ibnul Qayyim:

…Telah berlaku kepada diri saya sewaktu di Mekah, saya jatuh sakit, dan pada masa itu benar-benar ketiadaan ubat dan doktor. Maka saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil air Zamzam, dan saya bacakan di atasnya berulang kali……[2]

Maksudnya beliau telah berusaha mencari ubat dan doktor serta sudah tiada ikhtiar lain dalam menyembuhkan penyakit yang dialami. Air Zamzam menjadi alat untuk berubat pada saat itu. Ianya juga perlu di sertai dengan niat dan keyakinan yang tinggi akan janji Rasulullah tersebut.[3]

Suhazeli Abdullah
Insan Dhaif
fb.com/drsuhazeli

14.3.2017
Bukit Besi

Pautan
[1] Kisah khasiat surah Al fatihah. http://detikislam.blogspot.my/2013/01/kisah-sahabat-nabi-merawat-dengan-surah.html#
[2] Doa Air Zamzam Ibnul Qayyim. Tahzibul Asma Wal~Lughat 3/139
[3] Air Zamzam sebagai Ubat. https://suhazeli.com/wp/?p=722

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleKenapa Ujian Minum Air Gula dibuat? 
Next articlePendapat Minoriti
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com