Seorang doktor senior kami pernah mencabar agar Pakar Perubatan Keluarga buat KPI kawalan DM (Kencing Manis) >80%. Indikatornya paras HbA1c kurang dari 6.5%. Kami agak cuak dan menggerutu juga dengan cadangan KPI ini. Tetapi telan ajelah. Setuju untuk tidak setuju. Selama ni nak dapat lepaskan 30% pun ssakit tayar.
Alasan valid yang diberikan adalah beliau sendiri yang sebelum ini HbA1c tinggi. Setelah beliau mengamalkan pemakanan ketat, kehidupan sihat dan ubat yang teratur, HbA1c berjaya diturunkan dalam tempoh 3 bulan. Bangga beliau kerana berjaya berbuat demikian.
“Apa kiranya para pesakit yang mendapat rawatan pakar di klinik kesihatan juga seperti saya?”
“Jika saya dapat buat tanpa jumpa pakar pun boleh control, kenapa pesakit tidak boleh? Sedangkan sudah dibawah seliaan pakar?”
“(Awak tu doktor, senanglah nak kawal. Cuba mari klinik ni. Ambik dua tiga sesi kaunseling pesakit DM. Baru tahu denyut nadi sebenar seorang doktor dilapangan)” Cakap ku dalam hati.
⚪⚪⚪
wp-1481444625724.jpgAnda mungkin pernah terbaca satu artikel dari jurnal Diabetic Care yang meletakkan tagline mereka “Kencing Manis sembuh dengan penjagaan makanan kalori rendah”. Mereka menamakan “Crash Diet” untuk DM jenis 2. Kajian tersebut dibuat oleh para pengkaji dari Universiti Newcastle, Universiti Glasgow, dan Universiti Lagos.[1] Cuba bayangkan bahawa semua sampel kajian diberi makan burger sebiji sekali sehari. Jika dalam negara kita disamakan dengan 2 keping roti canai sehari. Itu sahaja. Haramkan teh tarik, biskut dan apa sahaja tambahan lain. Boleh bayangkan juga  bagaimana memek muka pesakit kita apabila nasihat sedemikan diberikan? Mungkin ada doktor yang kena tampar….kerana menyekat hak asasi pemakanan mereka. Suasana pesakit kita berbeza…
Malangnya juga kajian tersebut dibuat kepada sampel kajian 30 orang sahaja, dan mendapati kejayaan menurunkan kandungan gula dalam darah selama tempoh 6 bulan seramai 12 orang (40%). Memanglah jika ditukar dalam bentuk peratus, 40% itu sudah amat memberangsangkan. Tetapi kaedah pengsampelan kajian dan penelitian analisa data agak kasar. Tidak boleh disamaratakan (generalisation) kepada masyarakat umum seluruh dunia. Sampel yang lebih besar amat perlu dalam kajian yang menakjubkan seperti ini.
Kami yang sudah bertahun lamanya di klinik-klinik kesihatan saban hari memberikan pelan perawatan yang terbaik kepada pesakit. Bukan sahaja lebih 250 pakar perubatan keluarga seluruh negara berkhidmat dalam sektor ini, tetapi dibantu pula oleh paramedik yang belajar khusus bab pendidikan pesakit (diabetic educator). Begitu juga nilai tambah yang diberikan oleh ahli farmasi, terus-menerus memberikan kekuatan kefahaman kepada pesakit akan peri pentingnya penjagaan penyakit mereka. Semuanya mendambakan komitmen dan ketekunan dalam merawat pesakit secara holistik. Selain nasihat supaya kekal gaya hidup sihat, kurangkan stres, kurang berat badan, patuh dengan ubatan yang dibekalkan, pesakit sekali sekala diberi insentif tertentu semasa sambutan hari DM sedunia. KKM tidak terlepas setiap tahun merayakan hari tersebut. Sarat dengan program setempat demi memberi motivasi kepada mereka.
⚪⚪⚪
Pesakit seolah-olah sudah menjadi saudara mara kita. Cara pergaulan dan percakapan sudah mencapai tahap adik beradik. Cuit dan gurauan pun begitu, sudah masak dan faham celoteh doktor yang merawat mereka. Jika sesekali kita bertegas atau marah bukan bermakna kita benci. Tetapi tandanya kasih dan sayang. Moto KKM pun ada menyebut “Penyayang, Profesionalism dan Kerja Berpasukan adalah Budaya kerja Kita.” Adalah normal bagi kita melepaskan “geram” kepada “saudara/pesakit” kita yang tidak langsung menghiraukan nasihat yang diberikan sepanjang bertahun kita merawat. Lagi “geram” jika dia pulangkan balik selori pen insulin yang beribu harga setelah luput tarikh. “Geram” marah ini juga tanda sayang. Sayang kepada beliau yang masih tidak masuk minda segala pendidikan kesihatan yang diberikan. Sayang juga kepada ubat yang telah dibazirkan bertahun lamanya. Jika sedari awal diberitahu dia tak guna, senang…..kita akan gunakan alternatif lain demi merawat. Hakikatnya adalah kesihatan dan kesejahteraan pesakit itu diutamakan.
Tambah “geram” sayang lagi, jika doktor senior kata kita “kufur nikmat” kerana tiada perasaan terhadap pesakit itu……alahai
Maafkan daku….
Rujuk
Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
11.12.2016
Ketengah Jaya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleLetupan Terbaru Turki Ragut Puluhan Nyawa
Next articleCocktail Durjana Pemutih Wajah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com