Netizen bertanya, bagaimanakah antivaksin pergi ke Tanah Suci untuk menunaikan haji, sedangkan mereka menolak vaksin dan menuduh semua vaksin mengandungi babi?

Semoga Allah merahmati mereka dan kita dalam menyempurnakan ibadah. Vaksin meningokokal adalah dipolisikan wajib sebelum ke Tanah suci. Arahan mewajibkan vaksin meningokokal tersebut adalah sejak tahun 2001 lagi kerana berlaku peningkatan kes meningokokal yang berpunca dari kepulangan jemaah haji tahun-tahun sebelumnya.

.

Bakal haji dikehendaki menjalani suntikan wajib tersebut dipremis kesihatan kerajaan atau swasta. Sebelum dari itu, bakal jemaah akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan saring-saringan lain yang perlu bagi memastikan bakal haji sihat sebelum menunaikan haji.

.

Vaksin meningokokal diberikan jika pemeriksaan kesihatan lulus dan jemaah haji sihat cergas untuk ke Tanah Suci. Suntikan vaksin boleh diberikan paling minima 10 hari sebelum bertolak dan wajib dicatatkan dalam buku rekod kesihatan. Sahlaku vaksin meningokokal adalah 3 tahun.

.

Pun begitu terdapat segelintir kecil yang kita dapat kesan, mereka yang agak liat untuk menerima vaksin meningokokal. Mereka akan cuba mengelak dari dicucuk dek kerana mendapat maklumat yang salah. Pun begitu…

1. Ramai je cucuk walaupun hati tak rela.

2. Ada yang tipu sign doktor. Terdapat jemaah yang bayar doktor untuk sign. Kita dapat kesan beberapa kes yang berlaku sedemikian. Doktor pun ada yang berkomplot menipu tandatangan. Saya bukan tabur fitnah, tetapi pernah saya jumpa semasa buat siasatan jemaah haji semasa berkhidmat bersama rombongan perubatan dahulu.

3. Ada juga yang tolak tawaran haji dan umrah. Sanggup tak pergi haji kerana tak nak cucuk vaksin. Inilah dinamakan pilihan atau pro-choice oleh mereka. Minggu lepas meninggal seorang yang kuat kutuk doktor perubatan dalam sosial media. Beliau bukan sahaja menolak vaksin tetapi menolak juga dialysis dan ubat-ubatan moden. Semoga Allah meletakkan arwah bersama para solihin.

.

Padahal meningococal vaksin difatwakan harus dalam beberapa siri fatwa kebangsaan.

1. Vaksin Menomune adalah harus: Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-105 yang bersidang pada 3-5 Februari 2014.

2. Vaksin Menveo adalah harus: Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 17 Julai 2013.

3 Vaksin Mencevax ada harus: Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-53 yang bersidang pada 27 Nov 2002.

.

Tetapi mereka yang menentang vaksin tetap ketegak, tidak mahu menerima fatwa ayng dibuat oleh majlis fatwa. Malah masih lagi tidak berganjak dengan menuduh vaksin itu bersumberkan dari Babi. Kenapa mereka bertindak demikian? Sebabnya mereka DAPAT INFO dari sumber yang tidak autentik / berwibawa. Mereka membaca maklumat dari individu atau kumpulan yang sememangnya sudah skeptikal dengan vaksin. Apa sahaja yang berlaku semuanya nak salahkan vaksin.

Vaksin haji/umrah yang diperolehi dalam premis kesihatan, bukannya jenis bakteria hidup dilemahkan (live attenuated). Ianya sejenis vaksin konjugat/polisakarida. Bukan kuman betul tetapi sebahagian komponen dari bakteria N. Meningitidis digunakan bagi menghasilkan vaksin. Komponen bakteria ini tidak hidup dah. Ianya telah melalui proses pembuatan yang terperinci dan berkualiti. Disahkan keberkesanan, selamat dan suci sebelum dipasarkan.

Dr Suhazeli Abdullah

9.12.2020

Tengkawang

Rujukan

– Ministry of Health. Pembentangan Taklimat Pengurusan Jemaah Haji. 2019.

– JAKIM. Soal jawab imunisasi oleh jawatankuasa bersama JAKIM dan KKM. 2015.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleKisah Pendita Yahudi Tuduh WHO Nak Kawal Dunia
Next articleMAKANAN SUNNAH atau SUNNAH PEMAKANAN?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com