Semoga Penjagaan Kesihatan Negara Lebih terjamin dengan Akta Perubatan Tradisional Dan Komplementari 2016 (Akta 775)*

Kesihatan negara memasuki dimensi baru dengan penguatkuasaan Akta Perubatan Tradisional Dan Komplementari 2016 (Akta 775) yang telah diwartakan pada 10 Mac 2016 yang lalu. Mungkin ramai yang tidak sedar akta ini telah diluluskan dan diwartakan.

Akta 775 ini akan terpakai kepada Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplimentari (PPTK) yang mendakwa mereka mencegah, merawat dan mengurus penyakit manusia atau sakit atau memelihara kesejahteraan fizikal dan mental individu. Ianya termasuk amalan seperti:

(1) Perubatan tradisional Melayu,

(2) Perubatan tradisional Cina,

(3) Perubatan tradisional India,

(4) Pengubatan Islam,

(5) Homeopati, dan

(6) Terapi komplementari,

Pengecualian; Akta ini tidak termasuk amalan perubatan dan pergigian yang masing-masing digunakan oleh pengamal perubatan dan pengamal pergigian (Akta Perubatan termasuk pergigian sudah sedia ada sejak 1971).

Pendaftaran telah dibuka sehingga 1 Ogos lalu. Pun begitu, rayuan pendaftaran masih dibuka dan perlulah dilakukan mengikut prosedur yang akan ditetapkan oleh Majlis Perubatan Tradisional Dan Komplementari berlandaskan Akta Perubatan Tradisional Dan Komplementari 2016.

Pengamal perubatan yang tersebut itu wajib mendaftarkan diri melalui mana-mana Badan Pengamal yang diiktiraf dan dilantik oleh KKM.

Apa yang menarik dari akta ini adalah:

(1) mana-mana pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang tidak berdaftar dengan KKM boleh dikenakan denda.

(2) Pengamal Perubatan tradisional dan komplimentari ini mesti mengamalkan perubatan yang diiktiraf oleh majlis.

(3) Tidak boleh meletakkan gelaran-gelaran sepertimana termaktub dalam Akta Perubatan 1971.

Beberapa syarat lain yang dimasukkan adalah, PPTK juga tertakluk kepada:

(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), di mana wajib membuat pelaporan setiap penyakit berjangkit kepada KKM.

(2) Akta Peranti Perubatan 2012.

(3) Akta Pengiklanan produk. Di mana tidak boleh membuat iklan palsu, kenyataan mengelirukan berkaitan khasiat penyembuhan perubatan dan kesihatan.

Perlanggaran mana-mana klausa dari Akta ini akan didenda tidak melebihi RM 30,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.

Adalah diharapkan dengan penguakuasaan akta ini, tiada lagi pelakuan sumbang bomoh biji kelapa dan teropong ajaib. Begitu juga semoga sistem kesihatan dan perubatan negara lebih terjamin dari sudut pengsahihan sesuatu kaedah berubat dan bahan² yang yang digunakan.

Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga

Fb.com/drsuhazeli

#MedTweetMY

#MedicalMythBustersMalaysia

23 Sept 2016

KL Sentral

Rujukan

Akta 775. http://www.federalgazette.agc.gov.my/outputaktap/aktaBM_20160310_WJW006216Akta775-BM.pdf

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous article​Tuan Guru Dato’ Haron Din dan Perubatan Islam
Next articleAgenda Jahat dalam Industri Perubatan Moden?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com