Paling kurang tiga kali saya mendengar syarahan dari Sahibussamahah Dato Dr Zulkifly Muda, mufti Terengganu yang menegaskan bahawa perubatan moden itu adalah perubatan Islam. Istilah perubatan Islam yang hanya meletakkan bacaan doa syifa dan sebagainya itu sebagai penyalahgunaan istilah kerana ianya juga adalah salah satu cara berikhtiar melalui doa. Bahkan perubatan moden juga mempunyai asas dan sandaran yang kukuh bahawa diterima oleh Rasulullah SAW sebagai salah satu ruang ikhtiar. Rasulullah SAW sendiri merujuk kepada ahli perubatan semasa hidup baginda untuk berubat. Saya cukup ralat apabila sesetengah pihak yang menuduh bahawa perubatan moden yang diterima dalam sistem perubatan moden itu sebagai perubatan sekular, liberal dan diasaskan oleh orang kafir.

Doktor-doktor perubatan muslim seharusnya menguasai perubatan moden supaya ianya tidak dilihat dengan pandangan serong bahawa Islam itu hanya merawat penyakit spiritual semata-mata. Sebenarnya tiada dikotomi antara apa jua cabang perubatan samada Islam atau moden, kerana semuanya itu ilmu dari Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW «الكَلِمَةُ الحِكْمَةُ ضَالَّةُ المُؤْمِنِ، فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا». Bermaksud: “Kalimat hikmah itu adalah suatu yang hilang dari seorang mukmin, maka dimana saja ia mendapatkannya maka ia lebih berhak atasnya”* [1]

Perubatan saintifik kajian yang diistilahkan sebagai perubatan moden bukanlah sesuatu yang terpesong dari disiplin ilmu dalam Islam.[2] Malah Islam sendiri mengiktiraf kaedah perubatan menggunakan bahan-bahan yang disahihkan dari ujikaji (emperikal). Lihat sahaja sejarah perkembangan ilmu perubatan di zaman kegemilangan Islam. Nama-nama mashyur seperti Ibnu Al Haitham, Al Khawarizmi, Ibnu Sina dan ramai lagi telah mempelopori kaedah perubatan emperikal ini. Sebagai contohnya Muhammad ibn Zakariyyā al-Rāzī (meninggal dunia 925) adalah pemula kepada penemuan penyakit cacar dan campak sehinggakan beliau digelar pakar imuninologi. Disiplin ilmu perubatan moden ini sebenarnya mengambil asas sebab akibat sesuatu kejadian itu berlaku dan semuanya dicatat hasil dari ujikaji yang dijalankan. Jika bersesuaian dengan ubat bagi penyakit itu, maka ia dikira berjaya dan digunakpakai. Jika sebaliknya para pakar perubatan mencuba lagi dengan kaedah kajian lain sehingga lah kini banyak penemuan demi penemuan baharu dalam dunia perubatan. Justeru, kajian dan pembangunan dalam bidang ini sudah tentu memerlukan dana yang banyak. Ianya bukan dibancuh belakang rumah dan terus mendakwa bagai. Tidak hairanlah jika dunia habis bertrilion ringgit bagi membangunkan disiplin perubatan melalui ujikaji dan pengurusan pesakit ini.

Asas pembuktian (Evidence Based – EB) melalui kajian ini bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan. Ianya menjadi mata rantai dalam setiap sesi pergaulan kita sesama manusia. Begitu juga hidup beragama, EB ini menjadi pegangan utama dalam mengamalkan syariat. Segala bentuk ibadah dan syariat yang kita lalui itu perlu bersandarkan kepada bukti/dalil. Tidak boleh kita semberono melakukannya sesuka hati sedangkan Nabi telah lebih 1400 tahun lalu meletakkan asas dalil. Kemudian dihurai lanjut oleh para alim ulama yang menjadi mata rantai perjuangan sehinggalah ke hari akhir dunia ini.

Apabila ada orang persoal kita kenapa kita solat, jawabnya ada bukti al Quran dan hadis menyuruh kita solat. Begitulah juga dalil mengeluarkan zakat, tunai haji dan sebagainya. Semuanya ini perlu bukti dari Al Quran dan hadis ijmak ulama dan qias yang berwibawa.

Begitu juga penglibatan dalam perhubungan manusia. Jika sesorang itu dituduh mencuri, pihak yang mendakwa wajib kemukakan bukti. Bukti itu mesti kukuh dan bukan direka-reka. Berapa jumlah curian, di mana, bila waktunya dan siapa saksi? Dakwaan mesti lengkap. Jika sekadar dakwaan di ambil dari tulisan blog, akhbar-akhbar tabloid, dengar-dengar percakapan orang, pengakuan yang berat sebelah atau individu yang tidak thiqah (diragui kebolehpercayaannya), maka sesuatu dakwaan itu boleh dengan mudah dibuang oleh mahkamah. Tiada asas prima untuk didakwa. Asasnya adalah evidence based. Jual beli ada EB, nikah kahwin cerai ada EB, nak tunai haji ada EB, nak buat qurban lembu kambing kena ada EB dan sebagainya lagi.

Dunia perubatan pun begitu. Evidence Based Medicine (EBM) akan menjadi asas kepada setiap penentuan untuk memeriksa, merawat, berubat dan memberi khidmat nasihat konsultasi. Hatta kelahiran bayi itu satu proses yang natural sekalipun, jika terdapat indikasi perlu dibedah berdasarkan EBM, carta bayi berkeadaan demikian, maka pembedahan adalah mandatori. EBM bukan bermakna 100% tepat, tetapi majoritinya melepasi tahap keyakinan para pengamal perubatan bertindak demikian.

EBM bukan juga muncul lepas perang dunia kedua, atau selepas Renaissance (kebangkitan Barat) kurun ke 15, tetapi ianya telah dipelopori semasa kegemilangan zaman pertengahan Islam (Abad ke 5 hingga 15) lagi. Pada abad ke-10, Al Razi (Rhazes) memperkenalkan eksperimen berkawal dan pemerhatian klinik ke dalam bidang ubat, dan menolak pelbagai teori-teori Galen yang belum disahihkan melalui ekperimen. Eksperimen terawal perubatan dijalankan oleh Razi supaya dapat mencari tempat yang terbersih untuk membina sebuah hospital. Dia menggantung ketulan daging di tempat-tempat sepanjang Baghdad dan memerhatikan di mana daging mereput secara kurang cepat, di situlah hospital terbina. Al Razi juga yang menemui serta mengkaji sistem imunisasi setelah ekperimen beliau menemui kuman campak dan kuman cacar. Sejarah ini tercatat dalam dunia EBM hasil penciptaan mikroskop yang pertama oleh Ibnu Al Haytham. Aparatus ini tercipta hasil dari penggalian ilmu yang Allah kurniakan ke atas manusia yang berfikir.

Ibnu Sina dianggapkan bapa perubatan moden, dengan pengenalan eksperimentasi teratur dan kuantifikasi ke dalam kajian fisiologi, pengenalan ubat bereksperimen, percubaan klinikal, analisis faktor risiko, dan gagasan suatu sindrom dalam diagnosis pada penyakit. Ensiklopedia perubatannya, Kanun Perubatan (Tahun1025), yang juga adalah buku pertama yang menguruskan dengan ubat berasas-bukti (EBM), kajian kawalan random, dan ujian-ujian keberkesaan sesuatu bahan. Walaupun ia boleh diperhujahkan lagi hasil kajian Ibnu Sina tersebut pada zaman ini, tetapi beliau telah meletakkan satu disiplin ilmu yang kukuh. Itulah ‘the best science’ pada masa tersebut dan perlu dikembangkan pada masa sekarang.

Serta ramai lagi tokoh-tokoh sarjana perubatan yang memodenkan ilmu dalam Islam.

Oleh yang demikian, selalu kami titipkan dalam setiap tulisan bahawa pendakwaan sesuatu bahan, konsep atau kaedah berubat itu perlu lah dibawa bukti jelas terlebih dahulu. Bukan bermakna kami ego, sombong atau angkuh, tetapi inilah budaya ilmu yang dibawa sejak zaman kegemilangan Islam zaman pertengahan lagi. Rantaian ilmu ini tidak berakhir. Ianya akan diteruskan dengan para pengkaji muslim yang semakin bertambah saban tahun. Sekaligus menolak bahawa perubatan moden yang menjadi kaedah perubatan utama seluruh dunia termasuk negara-negara umat Islam itu bukanlah perubatan kafir, liberal atau sekular.

Dr Suhazeli bin Abdullah

Pautan:

[1] Takhrij Hadis adalah lemah tetapi maksudnya disahihkan oleh Lajnah Ad Daimah. http://umar-arrahimy.blogspot.my/2015/03/takhrij-hadits-hikmah-milik-orang.html

[2] Perubatan Moden dalam Islam. http://dribnusina.blogspot.my/2016/03/perubatan-islam-dari-pandangan-pengamal.html?m=1

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book