Masih ada lagi masyarakat yang keliru berkenaan bahan makanan atau herba yang dijual di pasar malam atau jualan langsung itu boleh gantikan ubat atau tidak. Promosi yang disebarkan itu cukup mengujakan sehingga segelintir jurujual sanggup menipu demi dapatkan keuntungan. Sedangkan produk yang mereka pamirkan itu bukan kategori ubat pun. Mungkin ianya termasuk dalam kategori pemakanan tambahan atau herba tradisional. Mungkin juga ianya diluluskan oleh KKM pada peringkat awal, kemudian membuat pelbagai dakwaan selepas kelulusan. Malah ada terdapat produk yang tidak pun melalui proses pendaftaran KKM, tetapi menipu kod kelulusan. Yang merana adalah pengguna yang mengambil bahan yang tidak dikenal pasti selamat, berkesan atau berkualiti.

Orang ramai juga keliru sebab terdapat sebaran dari pihak-pihak tertentu yang kononnya mahir dalam perubatan, tetapi di hujung mesej yang diviralkan itu adalah menjual produk yang tidak pun konklusif dari sudut kajian perubatan.

Sesuatu bahan atau produk itu tidak dikira sebagai ubat yang sah kecuali mendapat pengiktirafan dari pihak berwajib ubat-ubatan KKM. Suka dinyatakan sekali lagi bahawa, apa sahaja bahan atau produk yang mendakwa boleh merawat sesuatu penyakit, pihak yang mendakwa tersebut wajib kemukakan kelulusan kepada Badan Berkuasa Regulatori Ubat (NPRA). Dari sini NPRA akan meneliti bukti-bukti kajian yang dikepilkan itu samada sahih atau tidak dan adakah mengikuti kaedah penyelidikan yang sebenar. Jika ianya diluluskan, baharulah pengeluar dan penjual produk tersebut boleh mendakwa mampu merawat penyakit seperti yang dinyatakan dalam borang permohonan. Jika sebaliknya, adalah menjadi kesalahan apabila membuat tuntutan atau dakwaan produk mereka boleh merawat penyakit.

Terdapat juga produk kategori makanan, NPRA akan membuat notifikasi kelulusan dengan kod makanan. Tetapi produk tersebut wajib mendaftarkan di bawah Biro Kawalan Keselamatan Makanan yang tertakluk kepada akta makanan 1983. Mana-mana produk makanan tidak boleh membuat dakwaan bahawa produk makanan mereka itu boleh merawat penyakit atau seumpamanya. Pengiklanan produk makanan mereka juga perlu telus dengan nutrisi yang diberikan. Jika tidak patuh, mereka melanggari akta pengiklanan ubat 1956.

Perkara kedua yang menyebabkan masyarakat bertambah keliru adalah apabila penjual mendakwa produk mereka berkesan kerana sudah pun melalui ujikaji saintifik. Memang benar jika diselidiki sesuatu bahan tersebut pernah menjalani proses ujikaji makmal samada terhadap tisu hidup atau haiwan. Namun ujikaji ini dikira pramatang dan tidak didakwa berkesan atas manusia. Bentuk badan dan struktur manusia berbeza dari haiwan. Justeru ujikaji ke atas manusia mesti dijalankan bagi menentusahkan sesuatu bahan tersebut berkualiti, selamat dan berkesan.

Jika hanya lulus fasa pra-klinikal makmal, pengeluar produk dan jurujual tidak boleh wewenang membuat dakwaan berlebihan (overclaim). Inilah punca kekeliruan jika tidak mendalami dan memahami metodologi kajian perubatan. Orang awan akan mudah terperangkap dalam pendakwaan yang macam-macam itu.

Contohnya dalam satu kajian farmakologi terhadap formulasi kunyit (nama sains: kurkumin) terhadap tikus, dos 10 mg/kg berat tikus dikenalpasti sebagai efektif mengecilkan saiz tumor/kanser yang ada dalam tikus tersebut. Kajian ke atas manusia masih belum lengkap.[1] Tetapi sudah ada pihak tertentu yang mengambil peluang ini untuk menjual produk kesihatan berasaskan kunyit. Dakwaan mereka seolah-olah pil kunyit yang mereka jual itu boleh merawat penyakit.

Cuba bayangkan untuk seorang dewasa yang mempunyai berat badan 50 kg, sebanyak 500 mg kurkumin diperlukan untuk memberikan kesan antikanser bagi sekali makan. Jika perlu makan dua kali sehari, sebanyak 1 g kurkumin diperlukan, bersamaan 1/2 kg kunyit sehari. Manusia mana sanggup menelan setengah kilogram kunyir sehari untuk merawat atau mencegah kanser, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain?[2] Kuning lah gigi dek kerana kunyit.

Tidak dinafikan bahawa kunyit mempunyai khasiat tertentu. Kunyit amat berguna dalam resepi masakan seluruh dunia. Zat kunyit mempunyai khasiat kesihatan secara umum seperti anti-oksida dan zat galian untuk kegunaan badan. Tetapi ianya bukan ubat khusus buat masa ini.

Masalahnya orang awam senang dikelentong oleh jurujual yang kononnya mendakwa ujikaji terhadap produk mereka itu telah pun berkesan secara saintifik.

Disinilah kita menyeru kepada orang awam agar celik dan faham dalam kaedah mengambil ubat. Pastikan dahulu ianya sah berkesan dan sahih dari sudut kaedah perubatan.

Sekian nasihat dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

8.1.2019

Kuala Berang

Pautan

[1] Curcumin Rawat Kanser. https://www.drcheputeh.com/blog/siri-14-benarkah-kunyit-curcuma-longa-merawat-dan-mencegah-kanser

[2] Review on Kunyit. https://www.hindawi.com/journals/ecam/2013/636053/

P/s: Jangan Sapu kunyit atas bengkak bisul!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleBuang Asid dalam Badan atau Bersedia untuk Mati???
Next articlePerubatan dari Al Quran
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com