Isu menggugurkan bayi di dewan bedah secara cuci rahim menjadi topik hangat dalam media masa. Mereka menuduh doktor berlaku zalim kepada bayi dalam kandungan semasa proses pengguguran dijalankan. Saya lihat maklumat yang diberikan itu tidak lengkap dan ditulis oleh individu yang tidak tahu prosedur sebenar pengguguran dan cuci rahim berkenaan. Tulisan ringkas dalam media sosial itu hanya melihat kepada hasil cuci rahim sehinggakan nampak janin dan tebuninya hancur lebih. Lantas menuduh doktor yang menjalankan cucian rahim itu tidak berhati perut, tiada belas ehsan kepada janin dan menzalimi mayat. Sedangkan mereka tidak berada di posisi doktor yang merawat serta tidak mengetahui dengan tepat status janin sebelum prosedur cuci rahim dilakukan.

Masyarakat mesti faham perbezaan dua istilah yang digunakan dalam isu ini. Pertama, gugurkan janin secara terapeutik; dijalankan dengan membuang janin yang ada dalam rahim melalui cuci rahim. Samada janin itu masih hidup atau sudah mati, ianya bergantung kepada indikasi khusus prosedur itu dilakukan. Kebanyakan kes menggugurkan kaedah ini adalah janin cacat yang tidak memungkinkan hidup seperti tiada bentuk kepala atau keguguran secara fitrah. Cuci Rahim bagi kes keguguran ini dibuat bagi membuang sisa janin yang masih berbaki. Kedua, penamatan usia kandungan (TOP- Termination of Pregnancy); pengguguran jenis ini juga diakukan atas sebab musabbab yang khusus dan prosedur yang ketat. Kes-kes yang boleh menyebabkan mudarat besar kepada ibu jika penerusan kehamilan, maka TOP wajib dilakukan. Contohnya si ibu mengalami kegagalan injap jantung yang sekira-kira menurut pengamatan doktor pakar jika penerusan kehamilan boleh berisiko tinggi membawa maut. Bayi cacat yang tiada harapan hidup jika dilahirkan pun boleh dijalankan TOP. Penerusan kehamilan kepada si ibu akan menimbulkan banyak komplikasi lain seperti tumpah darah yang banyak.

Pengguguran bayi dilakukan berdasarkan pertimbangan tertentu mengikut garis panduan yang dibenarkan oleh undang-undang. Negara kita telah mengharamkan pengguguran bayi tanpa indikasi perubatan. Namun bayi harus digugurkan setelah pertimbangan yang hampir tepat kepada keyakinan (Dzan yang kuat dikalangan beberapa pakar sakit puan) demi menyelamatkan NYAWA si ibu. Setelah memenuhi kriteria ketat yang dibenarkan, perbincangan antara doktor dan pesakit akan dilakukan, baharulah para doktor akan dibenarkan menggugurkan bayi atau menamatkan kehamilan. Bukan semudah yang disangkakan.

Terdapat 2 kaedah pengguguran yang dilakukan.

1. Pil gugur. Kaedah ini diharamkan dalam negara kita. Pil haram ini dijual secara dalam talian oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

2. Dilatasi & Kuretaj (Dilatation & Curretage [D&C]- /Cuci Rahim). Di mana pesakit akan diberi bius separuh/penuh, bukaan pangkal rahim dilakukan, kemudian janin akan di keluarkan menggunakan alat kuretaj. D&C ini perlu dilakukan oleh doktor yang mahir. Kaedah D&C ini biasanya dilakukan ke atas kes keguguran (bukan sengaja dilakukan pengguguran). Jika masih terdapat lebihan sel janin berbaki atau uri yang masih tertinggal dalam peranakan ibu D&C akan dilaksanakan. Ianya perlu dikeluarkan bagi mengelakkan perdarahan dan jangkitan kuman akhirnya memberi mudharat kepada si ibu. Kaedah D&C ini akan dilakukan terhadap janin yang sudah mati dalam kandungan. Kebanyakan kes, janin yang berumur kurang dari 4 bulan usia kandungan.

Bayi yang berumur bawah 4 bulan masih tidak sempurna sepenuhnya anggota badan. Pembentukan anggota sudah ada tetapi, tidak sempurna sifatnya. oleh yang demikian kita akan perhatikan janin akan kelihatan hancur atau tidak cukup sifatnya kerana janin masih belum matang sepenuhnya. Tetapi janin wajib dikeluarkan supaya si ibu tidak mengalami kesan bahaya jika dibiarkan begitu. Manakala janin yang melepasi umur 4 bulan, kebanyakannya sifat anggota sudah lengkap. TOP yang dijalankan lebih mudah setelah ubat melembutkan pangkal rahim diberi, janin akan keluar dalam tempoh masa tertentu.

Di negara kita, KKM juga menggunapakai hukum yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Berikut adalah petikan dari Majlis Fatwa Kebangsaan dalam hukum pengguguran bayi. Isu ini telah dibincangkan beberapa kali dan telah mendapat keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Berikut adalah beberapa pandangan ualama dan Fatwa berkaitan pengguguran bayi dan TOP;

1) Menurut ijmak fuqaha’

i) Haram menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.

ii) Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri; dan

iii) Ijmak fuqaha berpendapat pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.

2) Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 dalam membincangkan isu Menggugurkan Janin Pembawa atau Pengidap Penyakit Thalassemia ialah;

i) Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri;

ii) Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu;

iii) Pengguguran janin yang telah berumur 120 hari atau lebih adalah haram kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk.

3) Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 dalam membincangkan isuMenggugurkan Kandungan Yang Dirogol ialah:

i) Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.

ii) Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

4) Merujuk kepada kertas kerja Pandangan Syariah Berkenaan pengguguran dan Membekalkan Bahan Kontraseptif kepada Remaja Yang Berisiko Tinggi, hukum pengguguran dapat disimpulkan seperti berikut:

i) Hasil zina – kandungan zina adalah haram dalam semua keadaan kecuali mengekalkan kandungan akan memudaratkan nyawa ibu.

ii) Hasil rogol – harus menggugurkan kandungan yang berusia kurang daripada 120 hari. Haram menggugurkan kandungan yang berusia lebih daripada 120 hari.

ii) Pesakit Orang Kelainan Upaya (ujian akal di bawah paras 80) – harus mengugurkan kandungan yang berusia kurang daripada 120 hari. Haram menggugurkan kandungan yang berusia lebih daripada 120 hari kecuali jika memudaratkan nyawa ibu.

Kami mendapat maklumat bahawa terdapat pihak yan gtidak bertanggungjawab berleluasa menjalankan aktiviti pengguguran janin. Saya juga tidak menafikan terdapat doktor yang melanggari etika seperti melakukan pengguguran bayi tanpa melihat hukum dan undang-undang yang termaktub. Mereka wajib dibawa ke muka pengadilan dan dihukum setimpal dengan perbuatan terkutuk yang dilakukan.

Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga

Ketengah Jaya

25.4.2016

F: fb.com/drsuhazeli

W: www.suhazeli.com

Ahli #MedTweetMY

Link Rujukan

[1] Ustaz Zaharuddin. Hukum Gugurkan Anak 7 Minggu. http://zaharuddin.net/lelaki-&-wanita/255-hukum-gugurkan-anak-7-minggu.html

[2] Dr. Arieff Salleh bin Rosman.Pengguguran Janin Bagi Memelihara Kesihatan & Keselamatan Menurut Perundangan Islam. http://www.infosihat.gov.my/infosihat/media/powerpoint/S/pdf/03_pengguguran_janin_jakim.pdf

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleSaringan HIV Bakar Pengantin
Next articleCampuran Susu dengan Asam, Ikan Bahaya?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com