Friday, April 26, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Cuci Darah dengan Ulam Raja

Kita cukup skeptikal jika terdapat dakwaan sesuatu bahan yang baharu itu mengubati penyakit tertentu terutamanya penyakit kronik seperti darah tinggi, buah pinggang, kencing manis, jantung dan lain-lain. Tersebar video seorang jejaka yang mempromosi Ulam Raja sebagai herba yang mampu mencuci darah manusia. Walaupun ucapan dia masih ragu-ragu akan dakwaan tersebut, kepandaian beliau mempromosi itu menunjukkan bahawa Ulam Raja sudah terbukti secara sah mampu mencuci darah.

.

Amat menarik review yang dibuat oleh Dr Che Puteh Osman berkaitan Ulam Raja ini. Rajin pulak beliau mentelaah pelbagai jurnal kajian dalam tempoh sehari.[1] Kesimpulan yang boleh saya gali dari tulisan beliau beserta tambahan ulasan dari saya;

.

1) Ulam Raja enak dimakan. Ianya sejenis ulam yang tinggi anti-oksida. Kandungan sebatian Fenolik yang menjadikan ia sebagai anti-oksida mengklaskan ianya sebagai tumbuhan yang unik. Sesungguhnya banyak herba dalam negara kita kaya dengan kandungan anti-oksida. Anti-oksida ini penting bagi mengelakkan radikal bebas dalam tubuh manusia berkumpul seterusnya boleh berlaku radang kepada sel. Radikal bebas boleh menyebabkan kerosakan secara tidak langsung sel-sel tubuh sehinggalah penyakit menghinggapi. Pun begitu jangan salah faham, anti-oksida ini bukan anti kanser, bukan anti-diabetes, bukan anti-darah tinggi dan sebagainya.

.

2) Sudah terdapat beberapa pengkaji yang ingin membuktikan Ulam Raja ini ubat Kencing Manis, ubat Darah Tinggi, ubat pembunuh kuman, ubat tekanan oksidatif dan ubat meningkatkan tenaga batin. Semua kajian dilakukan ke atas tikus mengikut dos yang tertentu. Terdapat reaksi positif terhadap tikus-tikus tersebut. Tetapi sehingga kini kajian ke atas manusia tidak diteruskan kecuali satu kajian terbaharu untuk melihat kesan gula dalam darah pesakit Kencing Manis. Bacaan gula turun dalam tempoh 8 minggu dengan mengambil 15 gram Ulam Raja, 2 kali sehari. Walaubagaimana pun kawalan gula (paras HbA1c) tidak signifikan. Bermaksud, tidak boleh dikaitkan pengambilan Ulam Raja ini dengan kawalan Kencing Manis dalam tempoh 2 bulan. Lagi pun siapa sanggup makan Ulam Raja ini 2 pinggan sehari selama-lamanya? Jika ada pil yang direka, perlu dibuat kajian klinikal terlebih dahulu sebelum dipasarkan. Pandangan dari sudut ekonomi mungkin tidak berbaloi, kerana ubat Kencing Manis (ubat moden) yang sedia ada lebih menjanjikan penurunan gula yang signifikan.

.

3) Ulam Raja tidak boleh dianggap sebagai ubat pencuci darah kerana kajian ke atas tikus-tikus itu tidak menunjukkan kesan ketara ke atas buah pinggang. Lebih merungsingkan terdapat satu kajian, pengambilan Ulam Raja yang berlebihan boleh memberi kesan toksid kepada hati. Isu kedua akan timbul jika diambil berlebihan, iaitu kandungan pottasium yang terdapat dalam Ulam Raja boleh membahayakan kepada pesakit terutamanya pesakit buah pinggang.

.

Sekian ulasan selanjar dari suhazeli.com

Jika tak tepat kabo deh

Fb.Com/drsuhazeli

30.12.2017

Kuala Berang

.

Link

[1] Review Che Puteh Osman berkaitan Ulam Raja. https://www.facebook.com/cheputeh.osman/posts/1965189473508515

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

15 COMMENTS

Comments are closed.

Popular Articles