Orang Melayu memberikan nama kayu manis kerana ianya sejenis rempah ratus yang manis baunya. Kayu manis juga salah satu barang dagangan yang cukup bernilai zaman dahulu kala. Ianya juga menjadi salah satu bahan pengubatan herba sebelum masihi lagi. Popular dikalangan Mesir purba bahawa kayu manis digunakan untuk merawat batuk, sakit sendi dan sakit kerongkong. Bahkan rawatan turun temurun ini dikatakan boleh merawat kekejangan otot, muntah, cirit-birit, demam selsema, kurang selera makan dan mati pucuk.
.
Terdapat kajian bahawa cinnamon (nama saintifik bagi kayu manis) boleh membantu perawatan kencing manis, kurangkan kolesterol, elakkan nyanyuk dan sebagainya lagi. Kajian-kajian tersebut termuat dalam perpustakaan perubatan Amerika Syarikat dan UK. Namun kajian-kajian ini adalah kajian yang agak lama, sekitar tahun 2000 hingga 2006.[1]
.
Tiada halangan menjadikan kayu manis sebagai rempah ratus masakan. Aromanya pun semerbak wangi. Tetapi menjanjikan kayu manis ini sebagai ubat berkesan bagi menyembuhkan penyakit, adalah tidak tepat buat masa ini. Penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit buah pinggang dan beberapa penyakit kronik lain sehingga saat ini belum ditemui lagi ubat penyembuh. Ubat-ubatan moden diberikan bagi mengawal atau mencegah agar penyakit tersebut tidak terus merebak. Walaupun terdapat dakwaan dari pelbagai produk dalam pasaran, samada ianya “saintifik”, tradisional, alami dan seumpamanya, tiada pun satu bukti boleh menyembuhkan. Mungkin kelemahan dipihak pengeluar produk kerana tidak mengambil catatan yang kononnya mereka mendakwa pesakit sembuh dengan produk mereka. Tetapi apabila kita mahukan bukti berapa ramai atau peratusan yang berjaya, mereka tiada jawapan. Asas statistik ini mudah sahaja.
.
Cochrane.org, sebuah perpustakaan yang berstatus tinggi dalam dunia perubatan membuat penyelidikan berkaitan kayu manis (cinnamon). Mereka mendapati cinnamon memberikan kesan positif ke atas haiwan kajian. Akan tetapi kajian ke atas manusia masih lagi belum sahih pembuktiannya. Dalam 10 kajian Kawalan Rawak (Randomised Controlled Trial) seramai 577 pesakit, 2 gram cinnamon diberikan selama 16 minggu ke atas pesakit kencing manis jenis 1 dan 2; secara statistik kajian-kajian tersebut juga masih tidak mencukupi bukti keberkesanannya. Para pengkaji menyimpulkan kajian yang lebih besar perlu dibuat.[2]
.
Dalam satu dimensi lain, cinnamon ini mempunyai kesan negatif yang tersendiri. Sesetengah individu yang sensitif, cinnamon boleh meningkatkan risiko kerosakan hati. Bahan aktif yang terdapat dalam cinnamon adalah Coumarin. Menurut Jurnal Food & Chemical Toxicology, jumlah yang dibenarkan pengambilan seharian (Tolerable daily intake – TDI) coumarin ini sebanyak 0.07 mg/kg setiap individu sehari.[3] Campuran cinnamon ini ke dalam gulai, bubur atau teh dengan mudah boleh melepasi jumlah yang dibenarkan ini.
.
Contohnya; jika berat individu 72.1 kg, jumlah maksima TDI adalah 5 mg coumarin sehari. Sekilogram serbuk cinnamon mengandungi antara 2.1 hingga 4.4 g coumarin. Dengan anggaran sekilogram cinnamon boleh diceduk sebanyak 362.29 sudu teh, bermakna setiap sudu teh terkandung didalamnya antara 5.8 hingga 12.1 mg coumarin. Jumlah ini telah melebihi TDI setiap individu.
.
Kajian dari German mendapati perbezaan besar antara jenis-jenis kayu manis ini. Serbuk Cassia cinnamon lebih 63 kali ganda coumarin berbanding dengan jenis serbuk Ceylon cinnamon. Manakala kayu Cassia cinnamon mengandungi 18 kali ganda coumarin berbanding kayu Ceylon cinnamon.[4]
.
Justeru, berpada-pada lah mengambilnya. Samada semasa kita memasak di dapur rumah kita, ataupun membeli dari para penjual dalam apa bentuk sekalipun.
.
Sekali lagi… makanlah… tiada halangan. Jangan salah faham penulisan ini.
.
Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
19.10.2017
Abu Dhabi
.
Pautan:
[1] Benefit of Cinnamon.
[3] Food and Chemical Toxicology.
[4] Kesan Kesihatan makan Kayu Manis.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleManfaat Air Suam
Next articlePemakanan Sunnah 
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com