#Air_Kangen

Saya menerima mesej dari rakan berkaitan dengan air kangen. Isu ini sudah berkali² diterangkan samada kenyataan rasmi dari Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia sendiri dan juga majoriti rakan² media seperti MedicalMythBustersMalaysia, MedTweetMY dan RootOfScience. Jawapan secara tegas pun dibincangkan dalam Psuedoscience Watch.

.

Perbincangan saya dengan sahabat tersebut saya salin semula di sini untuk tatapan umum.

.

(1)

R: Mesin air alkali yang ada di rumah doc bagus tak? Doc guna utk apa?

S: Saya tiada mesin alkali rumah saya. Sebagaimana tulisan saya dalam blog, nak minum silakan tetapi jangan claim mempunyai tuntutan perubatan seperti merawat darah tinggi, kencing manis, kanser dll (20 jenis penyakit yang dilarang pengiklanan). Saya lihat iklan oleh para penjual air alkali ini sudah melebihi akta yang ditetapkan. Di sini akan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Mereka akan menolak kaedah perubatan asas kerana percaya dengan iklan yang digembar-gemburkan itu.

.

(2)

R: Pada doc, apa kebaikan air kangen, apa keburukannya pada sudut kedoktoran?

Cara pengamalan sepatutnya?

S: Air kangen atau air beralkali seumpamanya tidak memberikan kesan perubatan. Tetapi mungkin ia boleh menyegarkan badan secara umum. Minum lah tiada sekatan. Jika air beralkali masuk perut, asid perut akan meneutralkan bahan beralkali. Itulah fisiologi badan kita yang tidak boleh disangkal. Kemudian air tadi akan diserap melalui usus. Tidak sesekali darah kita akan beralkali. Ini kerana keseimbangan asid-alkali (acid base balance) darah kita akan diregulasikan secara fitrah. Jika badan kita beralkali melebihi paras pH yang sepatutnya, boleh membawa penyakit badan (boleh baca penyakit metabolik alkalosis). Begitu juga dengan darah yang terlalu berasid, boleh membawa bahaya. Dakwaan para penjual bahawa air alkali produk mereka berpH 11.0, perlu disemak semula. Jangan menipu atas kelemahan masyarakat yang tidak rajin membaca. Jika pH melebihi 11.0, ianya sudah sama pH dengan air sabun. Tembus perut tu nanti.

.

(3)

R: Air Kangen ini pH 11.0, sama taraf dengan air Zamzam. Betul ke?

S: Dakwaan beginilah merisaukan saya. Terdapat juga penjual produk mesin air alkali ini dakwa air mereka sama taraf dengan air Zamzam. Jika tiada air Zamzam, air alkali produk mereka boleh dijadikan alternatif. Perlu diingatkan bahawa kealkalian air Zamzam sekitar pH 8.0, bukan kerana kehadiran ion hidroksida (OH-). Air alkali yang dihasilkan melalui mesin alkali sebenarnya hanyalah mengandungi ion hidroksida (OH-) yang menyebabkannya bersifat alkali. Manakala kealkalian air Zamzam adalah disebabkan kewujudan mineral penting yang seperti Ion kalsium (Ca²+) dan Ion magnesium (Mg2+).

.

(4)

R: Berkenaan bisnes air kangen menurut islam?

S: Sekali lagi saya tegaskan nak jual, silakan. Bukannya air haram pun. Sudut hukum sudah jelas. Saya boleh sifatkan air alkali ini sebagai air yang baik (jika pH tidak melampau). Air ini sudah terproses dan diambil dari sumber yang elok. Jauh lebih Cuma jangan membuat tuntutan perubatan berlebihan (overclaim). Samalah dengan ubat hospital, ubat kencing manis diberikan khusus untuk kencing manis, bukannya untuk rawat kanser, gout stroke dan sebagainya. Lihat sahaja poster yang ditampal merata ceruk.. banyak yang membuat tuntutan berlebihan (overclaim).

.

(5)

R: Saya lihat ramai orang tersohor seperti Dr Mahathir, Tok Guru Hj Hadi pun guna air Alkali ni. Kiranya mereka iktiraflah kelebihan air alkali?

S: Pembesar negara guna air itu bukan bermakna air berkenaan merawat penyakit yang mereka hadapi. Saya pun menggunakan filter kat rumah kerana inginkan air yang bertapis sebaik mungkin, tidak berkeladak. Kita nak minum air yang bersih, bukannya keruh seperti air longkang. Itu hak kita untuk jaga kesihatan umum melalui meminum air bersih. Para pembesar berkenaan pun berkesudahan dengan hospital untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan. Bukan pun hendak merawat kanser, kencing manis, darah tunggi, buah pinggang, jantung dan sebagainya (jika ada seperti yang didakwa oleh produk alkali).

.

Masalahnya timbul apabila jurujual akan terus menjual nama para pembesar berkenaan kerana juga pengguna air alkali. Adakah ini betul dari segi pasaran?

.

Sebagai analogi, jika ada pembesar hisap rokok Dunhill.. boleh ke kita kata pembesar berkenaan hisap rokok demi kesihatan?

Boleh ke jurujual Dunhill ambik foto pembesar negara untuk membuat promosi? Sebab pembesar itu sihat afiat kerana hisap Dunhill?

.

(6)

R: Ada testimoni dari seorang pengguna air alkali, berat badan beliau turun mendadak. Adakah air alkali boleh mengurangkan berat badan?

S: Sekali lagi saya kesian tengok para pembeli air alkali ini. Dengan mudahnya terpedaya dengan testimoni sebegini. Sesiapa sahaja boleh menjadi kurus tanpa menggunakan air alkali pun. Kajian telah membuktikan dengan pengurangan kalori dalam pemakanan sebanyak paling minima 500 kalori dari keperluan seharian boleh mengurangkan berat badan. Kaedah ini perlu dibuat secara disiplin yang ketat. Dengan meletakkan target minina 10% penurunan berat badan selama enam bulan, anda sudah dikira berjaya. Air alkali atau air sejuk dan setarafnya adalah 0 kalori. Sudah pasti jika hanya meminum air semata-mata dengan menghadkan pengambilan kalori, siapa sahaja boleh kurus. Konsultasi kesihatan yang biasa saya berikan kepada pesakit yang bermotivasi untuk menurunkan berat badan ini adalah senantiasa mengamalkan cara hidup sihat dan cergas. Dengan sendiri berat badan anda menjadi anggun.

.

(7)

R: Terdapat kajian saintifik yang menyokong keberkesanan air alkali ini. Boleh buat carian sendiri di Google. Nama lain adalah electrolyzed reduced water. Ada link mengatakan mampu protect DNA/protein damage, end stage renal disease. Boleh doc komen?

S: Terima kasih bekalkan link rujukan tersebut. Saya akan baca.

.

(8)

R: Terdapat satu kajian (2004) oleh pengkaji dari Autralia (link diberikan). Keputusan kajian mendapati kemoterapi kurang berkesan, 2-3 % sahaja. Justeru kemoterapi ini sebenarnya konspirasi dari perubatan moden untuk kepentingan diri dan mengaut keuntungan.

S: Saya telah membaca tulisan kajian tersebut. Sekali lagi saya menggelengkan kepala. Kajian berbentuk review sedemikian telah disalah tafsir oleh para penjual air alkali. Malah para penentang kemoterapi juga menggunakan hujah kajian ini. Mereka terus melabel doktor sebagai pengaut keuntungan dan menjadi agenda konspirasi barat. Adakah mereka faham apa kehendak dari kajian tersebut? Apa objektifnya? Apa metodologinya? Apakah keputusan dan interpretasinya?

.

Kajian berkenaan mengkaji sumbangan penggunaan kaedah kemoterapi ke atas pesakit kanser yang tempoh kematian dalam lingkungan 5 tahun. Modaliti rawatan kanser bergantung kepada tahap-tahap kanser itu sendiri seperti pembedahan, radioterapi, kemoterapi atau paliatif terapi. Kajian tersebut telah dengan jelas membuktikan 60% pesakit kanser selamat dari kematian dalam masa 5 tahun. Cuma mereka mendapati dari jumlah 154,971 pesakit yang dikaji, hanya 3306 pesakit sahaja menggunakan kaedah kemoterapi. Jumlah ini bersamaan 2.13%.

.

Jika kita tanya kembali para penjual air alkali, berapa peratuskah pesakit mereka selamat dengan menggunakan semata-mata air produk mereka? Mungkin tergagap-gagap menjawab, sebab tiada kajian pun..

.

(9)

R: Air kangen ini boleh merawat hypertension dan diabetes.

S: Sila rujuk semula jawapan saya pada awal perbualan ini. Tiada bukti, malah tidak dikaji. Hanya testimoni yang sudah bias dan cenderung. Pesakit yang nampak terkawal darah akan dipaparkan, manakala pesakit yang mempunyai kesan negatif tidak diberitahu.

.

Paras gula pesakit kencing manis yang diberikan itu masih tidak terkawal (gambar). Paras yang ideal adalah 4.0 hingga 6.0 mmol. Merawat kencing manis dan darah tinggi ni bukan sekadar tekanan darah atau paras glukosa, tetapi melebihi penjagaannya dari bacaan-bacaan berkenaan. Kajian mendapati pesakit kencing manis yang didiagnosa sudah 50% mempunyai kegagalan pankreas. Status keadaan pesakit kencing manis sudah sama taraf dengan pesakit serangan jantung (IHD). Mengelakkan komplikasi-komplikasi seperti angin ahmar, kegagalan buah pinggang dan sebagainya amat penting.

.

(10)

R: Apakah keburukan air bergas.

S: Saya bersetuju air bergas mempunyai kesan negatif kepada kesihatan dalam tahap tertentu. Selalu doktor nasihatkan pesakit meminum air kosong paling minima 8 gelas sehari bagi mengembalikan kekurangan air dari tubuh yang sudah terperuap. Nak minum air alkali.. silakan. Tapi jangan pH 11.0 sudah. Lagi bahaya dari air gas.
Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli
18.7.2017

Bandar Seri Iskandar

Perak

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleVaksin Untuk Jemaah Haji 
Next articleKod E Babi 
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com