i.

PAPISMA diibaratkan seperti sebuah rumah.

ii.

Dibina dengan penuh insaf kira-kira 10 tahun lalu. Awalnya beratapkan rumbia berdindingkan buluh sasak dan berlantaikan tikar mengkuang. Kini sudah mula teguh dengan binaan batu bercampur papan. Tegap dipandang orang tapi masih goyah jika kita menilai diri sendiri. Di sini kami sekeluarga hidup bahagia. Majlis bandaran tak hiraukan CF atau bising pasal tidak masuk dalam bancian. Cuma kami sendiri rasa takut kerana anak-anak makin membesar dan rumah perlu diperluaskan. Sekali sekala takut dengan jentolak majlis bandaran yang sudah saban hari mengintai kami sekelurga. Dengan sedikit kekuatan kami anak beranak mula membina rumah baru ditapak yang sedia ada. Kami berpakat membubuh nama rasminya- PAPISMA. Abang-abang yang besar dan berani mula mendaftar nama itu supaya kehidupan kami terjamin dan dapat menjalankan kehidupan bermasyarakat tanpa rasa takut. Alhamdulillah, prosesnya berjalan lancar. Kami sekeluarga mula hidup dengan azam baru, wawasan baru, semangat baru dan kepimpinan baru.

iii.

Di pondok kecil

dipukul ombak

di tepi pantai

yang beralun

Wahai adikku…jangan bersedih [dengar lagu]

iv.

Anak-anak kami makin ramai. Yang sulong dengan halnya tersendiri. Yang tengah sibuk dengan program master. Yang bongsu masih manja-manja untuk beraktiviti. Tidak kurang juga ada yang demand ayah ibu. Biasalah ini lumrah hidup kami sekeluarga yang ditempuhi. Yang penting perjuangan untuk meneruskan kehidupan mesti diteruskan jua. Walau apa rintangan sekalipun. Kami merasakan sudah masak dan matang dalam karenah kehidupan ini. Aktiviti kami sekeluarga adalah biasa, seperti orang kebanyakan yang dahagakan ilmu dan ingin terus berbakti kepada masyarakat. Selalunya kami buat kerja kumpulan seperti masak-masak dan bahagikan kepada masyarakat setempat. Aktiviti masak-masak ini dijalankan oleh kami secara muafakat. Tanpa meminta ihsan dari orang ramai untuk menghulurkan bantuan. Walaupun sekali sekala kita menerima bantuan dari orang dermawan. Pendek kata aktiviti masak-masak kami dibiayai oleh poket-poket kami sendiri. Program masak-masak ini menjadi agenda utama kami sejak tiga tahun penubuhan rumah baru. Ini kerana ramai ahli keluarga kami berkelulusan masak-memasak dari dalam mahupun luar negeri. Terasa canggung untuk ahli keluarga yang sudah biasa dengan aktiviti masak-masak diganti dengan permainan congkak atau lastik burung. Walaupun ramai ahli masak-masak tadi pandai untuk main congkak dan lastik burung. Adik beradik lain yang berjurusan congkak dan lastik burung selalu merungut kerana ayah ibu tidak menyediakan prasarana untuk bermain congkak atau lastik burung. Walhal kalau diselidiki kembali aktiviti masak-masak pun tidak mendapat sambutan jitu dari adik beradik berjurusan itu. Biasanya angah dan achiklah yang selalu memeriahkan aktiviti masak-masak. Tiap-tiap minggu angah dan achik keluar untuk masak-masak. Sekarang ini aktiviti masak-masak ini bukan sahaja diatur oleh ayah ibu, malah bapa saudara kami pun sudah mula berminat dengan masakan kami. Tambahan pula menjelang hari raya, tempahan bertimbun-timbun. Angah dan achiklah selalu di’kerja’kan oleh Pakcik. Namun kami bangga, angah dan achik bermotivasi tinggi. ”Jika tidak sanggup menerima resiko, jangan sebut pasal perjuangan”, kata mereka.

v.

Puas memikirkan cara untuk mengajak along-along, anjang-anjang dan adik-adik su untuk turut serta main masak-masak. Kalau semua turun lagi seronok. Along Man selalu beralasan bahawa usia sudah menjadi penghalang untuk turun padang. Tetapi kenapa Along Umar boleh turun? Tidak nampak janggal pun. Kak Long Jah lain ceritanya. Dia rasa kekok dan takut jika bosnya tahu dia main masak-masak. Kerja mestilah kena jaga status diri. Kalau bosnya tahu pasti kena sound. Kak Long Jah akan turun kalau aktiviti masak-masak diadakan dikampung lain. Kurang sikit resiko orang nak report kepada bos dia.

Anjang Aziz selalu tak kena dengan jadual kerja. Aktiviti masak-masak diberitahu lewat. Dua tiga hari sebelum aktiviti baru ibu beritahu. Ayah ibu pun satu hal. Lambat inform. Aktiviti menjadi kelam kabut pabila pakcik masuk campur dan program sudah diatur katanya. Masak-masak berjalan juga tetapi tak sempurna. Kalau masak tomyam, rasanya macam sup. Kueh bengkang jadi koleh. Ayah ibu jua yang rasa aib kerna anak-anak buat tak sempurna.

vi.

Adik Su yang mahir lastik burung pun boleh bantu main masak-masak. Ayah kata keluarga kita buat masa ini sudah sinonim dengan masak-masak. Memang waktu kemuncak aktiviti masak-masak adalah sewaktu memasak. Akan tetapi persediaan bahan sebelum memasak amat penting. Mee kari tak akan sedap jika bahan mentah tak cukup. Bebola ikan perlu dipotong, ayam perlu disiat-siat, sayur perlu direbus. Udang dan kerang perlu ada untuk menambah selera. Siapa yang perlu sediakan semua itu? Takkan angah dan achik? Sentuhan adik Su perlu bagi menambah manis aktiviti masak-masak. Adik Su perlu proaktif bertanyakan angah, achik atau ayah mengenai bantuan apa-apa bagi melicinkan program. Jangan tunggu ayah bersungut atau ibu berleter panjang. Mungkin lepas musim raya ni kita hentikan sementara aktiviti masak-masak. Kita tumpukan pula permainan congkak dan lastik burung.

vii.

Mari mara menuju cita-cita

Menegakkan iman

Menjalinkan ukhuwwah

Membangunkan ummah

Dengar lagu seterusnya

Copyright Control by aljazli design (c) 2003 – 2008
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleHukum Peraduan SMS Menang CAMRY
Next articleBUKTI SAINTIFIK MENGENAI PERUBATAN BAHAN BERMAGNET
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com