Oleh: Asst. Prof Hamzah Mohd Nasir 

UIAM

Isu vaksin sangat hangat diperkatakan ketika ini. Apakah kita faham bagaimana vaksin berfungsi dan apakah objektif pengambilan vaksin di dalam program imunisasi?

Untuk mudah memahami situasi, saya suka menggunakan contoh mudah ini. Sel imun (sel darah putih) kita adalah sebagai barisan tentera manakala virus sebagai musuh, dan badan kita sebuah negara. Seperti mana-mana negara berdaulat, kesiapsiagaan barisan tentera dalam melawan musuh amat penting. Segala persiapan perlu dibuat dengan rapi dan teliti. Musuh ada dimana-mana dan boleh menceroboh negara melalui pelbagai tektik dan kaedah tipu muslihat. Semasa negara dalam keadaan aman, barisan tentera ini berada di pos-pos penting dan bilangan anggota yang aktif pada satu-satu masa adalah pada tahap mencukupi. Namun, semasa pencerobohan musuh, segala tenaga, prasarana dan pemusatan fikiran digunakan sebaik mungkin. Justeru, bala tentera yang ramai, pasukan tentera kompeten diperlukan dalam bilangan yang ramai serta pantas.

Bayangkan jika tentera ini tidak disiapsiagakan terlebih awal untuk mengecam musuh, apakah tahap keberkesanan untuk pasukan tentera ini menang pertempuran? Bayangkan pula jika kita punyai tentera yang sedikit, tapi perlu menghadapi bala tentera musuh yang ramai dan datang sekaligus. Apakah peratusan untuk menang pertempuran? Bayangkan lagi jika kita punyai ramai tentera, terlatih untuk mengecam musuh dengan cekap, dan kita juga punyai ramai tentera simpanan, juga terlatih, apakah peratusan untuk menang masih lagi sama seperti andaian kes-kes sebelumnya? Sebab itulah perlunya tentera menjalani latihan operasi dan aktiviti ketahanan, didalam konteks tulisan ini dikenali sebagai vaksin.

Itulah analogi mudah untuk menceritakan bagaimana sistem imun kita bekerja. Secara ringkas, badan kita mempunyai jaringan pertahanan yang bagus dan dinamik. Didalam keadaan sihat, sistem imun kita mampu untuk melawan jangkitan dengan syarat bilangan agen jangkitan pada jumlah yang rendah, tidak berganda dengan pantas, agen jangkitan tidak bersembunyi pada bahagian-bahagian yang sukar dan mempunyai taburan sel imun yang sedikit.

Jika ianya berkesan, mengapa perlu untuk kita mengambil vaksin? Ingat, kes yang saya sebutkan tadi ada terma dan syaratnya…..pertama, tubuh dan mental perlu pada kondisi yang sihat; kedua, agen jangkitan atau virus yang cuba menerobos tubuh pada kuantiti yang sedikit dan tidak agresif membahagi; ketiga, agen jangkitan tidak menyorok dan membahagi di kawasan-kawasan yang mempunyai taburan sel imun yang rendah. Sebenarnya, banyak lagi terma dan syaratnya, namun, apa yang disebutkan diatas adalah yang selalu kita terlepas pandang. Oleh sebab itulah sel dan komponen sistem imun kita perlu diajar untuk mengesan agen ini secara cekap dan tepat, diasuh untuk menghasilkan senjata antibodi yang tepat, serta acuan (sel memori) agar agen jangkitan tersebut dapat ditangkap, dibunuh dan diusir dengan kekuatan dan kecekapan yang maksimum. Untuk mengajar sel dan komponen sistem imun tersebut, pendedahan terhadap jangkitan diperlukan, namun jika menggunakan agen jangkitan secara melulu tanpa melemahkan atau membunuhnya, ia adalah satu tindakan yang bahaya.

Disinilah teknologi vaksin digunakan. Sel dan komponen imuniti badan diajar untuk mengecam dan menghasilkan senjata antibodi terhadap agen jangkitan walaupun hanya didedahkan pada virus yang dibunuh, dilemahkan atau difragmenkan (virus/antigen ini tidak mampu menyebabkan jangkitan, akan tetapi mampu mengaktifkan sistem imun kita). Bagaimana vaksin dihasilkan dan bagaimana vaksin mampu menjadi “jurulatih/cikgu” untuk melatih dan mengajar sel imun untuk mengahasilkan senjata antibodi dengan efisien? Kupasan selanjutnya pada tulisan akan datang. Dengan izin ALLAH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleHukum Qorban atas Orang Mati
Next article​Tuan Guru Dato’ Haron Din dan Perubatan Islam
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com