image

Tuberkulosis (TB) adalah jangkitan kuman TB yang boleh membawa maut. Dianggarkan sepertiga penduduk dunia dijangkiti TB. Tahun 2014, 9.6 juta orang menderita akibat TB dan menakutkan, 1.5 juta orang mati akibat TB dan kaitan darinya [1].

Pencegahan yang paling ampuh jangkitan TB dikalangan kanak-kanak adalah melalui vaksin BCG. Vaksin BCG yang diberi seawal jam pertama kepada bayi yang sudah tentu mempunyai matlamat dan manfaat yang jelas. Vaksin BCG akan membina sistem pertahanan badan (Sistem imun) bagi mencegah jangkitan kuman tuberkulosis. Ia diberikan kepada bayi bagi mencegah jangkitan Tuberkulosis selaput otak (TB meningitis)  dan TB sistemik (Milliary TB) semasa usia kanak-kanak [2].

Vaksin BCG ditemui sejak tahun 1921 dan Malaysia melaksanakan program imunusasi kebangsaan pada tahun 1961. Kemudian mewajibkan Perluasan Program Imunisasi (EPI) WHO 1974. Ia memberi manfaat dengan mengurangkan resiko jangkitan TB kepada berjuta kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah [3]. Perlindungan ini penting bagi mengelakkan jangkitan TB pada usia yang sedang membesar ini. Kajian dari Hashimoto (1997) juga menyarankan pemberian vaksin optima kepada kanak-kanak berusia 15 tahun dan ke bawah [4]. Ia tidak memberi perlindungan sepenuhnya setelah mereka meningkat dewasa.

Malaysia telah memberhentikan pemberian vaksin BCG kepada murid sekolah darjah 6 sejak tahun 2002. Begitu juga didapati dengan pemberian semula (revaccination) vaksin BCG pada murid tahun 1 (7 tahun), tidak memberi perlindungan tambahan. Kajian ini dari Unit Penilaian Teknologi Kesihatan (HTA) tahun 2011. Polisi perberhentian vaksin BCG kepada murid darjah 1 telah dikeluarkan pada tahun 2015 [3]. Akan tetapi, perlu difahamkan bahawa bukan memberhentikan terus vaksin BCG semasa lahir. Justeru langkah yang dibuat oleh KKM adalah terus dengan polisi memberi vaksin kepada semua bayi yang baru lahir. Dalam masa yang sama usaha gigih dilakukan agar liputan vaksinasi BCG mencapai 100%. Tujuannya adalah menjamin keberkesanan perlindungan optima. Kemudian setiap bayi akan dinilai semula parut semasa umur 3 bulan. Jika parut tiada atau kurang dari 2 mm menunjukkan tiada antibodi pertahanan badan terbentuk. Bayi tersebut akan disuntik semula. Kajian HTA menunjukkan kaedah ini sudah mencukupi kerana statistik kes TB dikalangan kanak-kanak sudah menurun sejak kebelakangan ini. Antara faktor utama adalah liputan imunisasi amat membanggakan.

Saya kesian melihat setengah pihak memperlekehkan polisi yang dikemukakan oleh pihak KKM ini. Ada juga antara mereka menuduh KKM lembab dalam membuat polisi sedangkan kajian sudah sekian lama. Sebenarnya hasrat mereka adalah menghasut masyarakat supaya tidak memberi vaksin. Saya yakin mereka yang memperlekehkan polisi tersebut tidak pun mevaksinkan anak-anak mereka sejak dari awal kelahiran lagi. Hatta vitamin K untuk mengelakkan perdarahan [5] kepada bayi pun mereka menolaknya. Semoga niat fasad mereka diberi keluasan oleh Allah agar kembali kejalan sebenar.

Membuat polisi kesihatan bukan seperti buat roti canai. Malam diuli, paginya ditebar dan makan! Mudahkan?

Tetapi para pembuat polisi sudah tentu mengambil pertimbangan yang banyak dari pelbagai sudut. Perbincangan demi perbincangan dengan semua pihak terlibat. Kajian demi kajian berskala kecil dan besar. Epidimiologi survey, penyediaan prasarana dan sebagainya. Setiap keputusan polisi yang dibuat sudah tentu akan memberi impak yang besar dalam polar penjagaan kesihatan negara. Setelah polisi terlaksana pun KKM akan terus membuat pemantauan, bukan dibiarkan lepas tangan.

Timbul kerungsingan saya apabila makin ramai yang menentang vaksin. Ini akan menyebabkan liputan pemberian vaksin akan semakin rendah. Sekaligus resiko penyakit TB selaput otak dan TB sistemik ini akan kembali bermaharajalela [6]. Sudikah anakanda tercinta menerima bahana ini? Siapa patut dipersalahkan?

Pautan rujukan:
[1] Data and Statistic TB from CDC. http://www.cdc.gov/tb/statistics/default.htm
[2] Factsheet BCG. http://www.cdc.gov/tb/publications/factsheets/prevention/bcg.htm
[3] Pekeliling perberhentian Vaksin BCG. http://www.moh.gov.my/index.php/database_stores/attach_download/312/272
[4] Hashimoto. BCG vaccines for the prevention of tuberculosis in the world. Kekkaku. 1997 Nov;72(11):629-37. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/9423301
[5] Evidence for the Vitamin K Shot in Newborns. http://evidencebasedbirth.com/evidence-for-the-vitamin-k-shot-in-newborns/
[6] Lihat bahana TB Selaput otak. https://www.youtube.com/watch?v=ldR8Ye14O4o

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
F: Fb.com/drsuhazeli
T: Twitter.com/suhazeli
W: www.suhazeli.com

5.5.2016

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi, tidak mewakli mana-mana persatuan atau pihak berwajib.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articlePotong Kuku Semasa Hadas Besar
Next articleHukum Cairan dari Kemaluan Wanita
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com