Genap usia 76 tahun yang dikasihi Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din (aTGHD) telah kembali kerahmatullah pada jam 7:02 Petang (15-Sep-2016 – Waktu San Francisco USA) bersamaan jam 10:02 Pagi (16-Sep-2016 – Waktu Malaysia). Seluruh rakyat Malaysia kehilangan sebutir mutiara ulama yang sukar dicari ganti. Ramai yang mengucapkan takziah dikalangan kawan dan lawan atas pemergian beliau.
Segelintir kecil pembenci beliau mencemuh, kenapa aTGHD mengambil kaedah moden bagi rawatan sakit jantung beliau? Sedangkan beliau begitu popular dengan kaedah pengubatan air jampi Darussyifa’?
Allahyarham aTGHD cukup sinonim dengan pengubatan Islam Darussyifa’. Satu kaedah perawatan rukyah yang diasaskan oleh beliau sejak 1977 lagi. Darussyifa’ telah diorganisasikan secara tersusun pada tahun 1988 setelah penubuhan Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa’) yang berpusat di Bangi.[1] Darussyifa’ merupakan sebuah klinik rawatan yang terkenal alternatif nusantara dalam usaha mencari kesembuhan penyakit selepas mendapatkan rawatan dari klinik dan hospital. Kebanyakan pesakit yang datang bukan hanya mengalami penyakit fizikal tetapi juga melibatkan penyakit rohani seperti terkena ganguan makhluk halus dan seumpamanya. Kaedah yang diamalkan oleh Darussyifa’ iaitu menggunakan konsep doa sebagaimana dianjurkan oleh syariat disaat kita mengalami musibah atau penyakit. Semua  rukyah tersebut diambil dari ayat-ayat al-Qur’an, Hadith dan Doa-doa sebagai salah satu ikhtiar selain mendapat khidmat kepakaran diarus perubatan moden. Kini, Darussyifa berkembang seluruh negara dengan ribuan para perawat yang menggunakan kaedah rukyah tersebut.
Asas yang dikemukakan oleh Darussyifa’ cukup jelas iaitu menerima perubatan moden kerana ianya salah satu dari disiplin dari ilmu-ilmu Islam disamping berikhtiar dengan ayat-ayat doa rukyah. Secara praktisnya, aTGHD tunjukkan sendiri bahawa beliau menggunakan kedua-dua kaedah ini dalam merawat diri. Selain dari bait-bait rukyah yang diamal, aTGHD juga berubat dengan hospital terkemuka negara, IJN. Anakanda dan menantu aTGHD juga doktor perubatan yang senantiasa memberi khidmat nasihat perubatan. Pendek kata mereka bukan ektrimis menggunakan air jampi semata-mata tanpa mengambil asas berubat dengan kecanggihan perubatan terkini.[2]
Pernah aTGHD menulis dalam buku masyhur beliau bertajuk Konsep Perubatan Islam Darussyifa’:
“Dan setiap penyakit, sama ada sakit fizikal, mental ataupun yang berkaitan dengan hati ada penawarnya. Rasulullah s.a.w. menyuruh agar setiap orang yang sakit berusaha untuk berubat dengan pertolongan orang lain yang pakar dalam bidang yang dimiliki, ataupun oleh diri sendiri. Jelas terbukti bahawa tugas manusia di sini ialah berusaha untuk mendapatkan kesembuhan menurut keupayaan dan kemajuan akal tanpa putus asa. Usaha dan ikhtiar adalah tugas manusia manakala kesembuhan adalah urusan Allah yang telah ditetapkan termaktub di Loh Mahfuz.”[3]
Justeru, jika ada yang mempelekeh aTGHD berubat di California untuk sakit jantung yang dihadapi, tidak guna air jampi semata-mata, mereka sebenarnya buta akan keindahan ilmu dan konsep berubat dalam Islam.
Al Faqir ilallah

Dr Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli
17 Sept 2016

Istanbul
Rujukan

[1] Sejarah Darussyifa. http://www.darussyifa.org/modules.php?name=Content&pa=showpage&pid=32

[2] Asas Pengubatan Darussyifa’. http://www.darussyifa.org/AsasPengubatanDS_Iss1%285-May-2006%29.php

[3] Harun Din. Konsep Perubatan Islam. DarulSyifa. Ms 7. http://www.darussyifa.org/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleVaksin Sebagai Tentera Badan 
Next articleAkta Perubatan Tradisional Dan Komplementari 2016 (Akta 775)
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com