#PelajariAdab
Kelas kami pelajar medik tahun 90-an dulu sering kali diingatkan supaya tidak kutuk sesama profesion. Lebih-lebih lagi depan pesakit. Jika ada doktor lain yang salah kaedah perawatan, sila tegur secara personal atau dalam kumpulan sesama profesional. Tujuan untuk dia belajar supaya lain kali tidak lagi buat silap. Begitu juga kami yang masih mentah ini pun belajar. Apabila jadi doktor nanti, jangan ulangi perkara yang sama. Kami semat benar adab ini.
Semasa alam pekerjaan senior kami dan pakar pun pesan hal yang sama. Jangan sesekali merendahkan sesama doktor lain semasa sesi ward round. Isu sebegini perlu diselesaikan dengan perbincangan berdepan atau melalui telefon. Pengajaran perlu diberikan agar kesilapan itu tidak diulangi lagi masa depan. Pantang marah atau memperlecehkan doktor lain depan pesakit. Aib benar. Lebih membimbangkan pesakit akan berpersepsi negatif atas seluruh perawatan yang sudah diterimanya.
Namun, ada juga para doktor yang sudah terlepas geram dengan memperlekehkan doktor unit lain depan pesakit. Sifat manusia kekadang tidak dapat dibendung. Tetapi ianya tidak tersebar luas. Terhenti setakat pintu wad hospital sahaja. Apabila diperdebatkan semula antara dua pihak yang terlibat, isu selesai. Paling penting adalah perawatan pesakit adalah optimum. Pesakit akan dapat manfaat. Kedua-dua profesion perubatan tersebut tidak melepasi batas kemahiran masing-masing. Mereka memahami bahawa mereka saling memerlukan. Setiap kepakaran ada kelebihannya dan mereka menjurus kepada kesejahteraan pesakit jua.
Era kini seolah diluar kawalan apabila sesi memperleceh doktor/profesion lain di alam maya oleh doktor sendiri. Mungkin status dihantar ke facebook bertujuan murni. Tetapi ia mengintai peluang kepada manusia lain yang sudah lama berdendam dengan anggota kesihatan. Ruang negatif itu di ambil secerap mungkin bagi melaga-lagakan sesama doktor yang berteguran tadi. Lantas menjadi sesi umpatan dan kutukan yang tidak bernoktah.
Kami masih mengharapkan pesanan selama 20 tahun dulu masih utuh dalam benak kami dan juga guru-guru kami. Jangan pula terpeliung dari adab ini.
Follow fb.com/drsuhazeli
