Posts

Guna Pil Hormon Semasa Haji & Umrah

Atur Haid Ketika Haji dan Umrah

“Doktor, boleh tak saya atur haid saya semasa saya nak kerjakan haji nanti?” Soal seorang jemaah haji yang hadir ke klinik bagi dapatkan rawatan ubat darah tinggi beliau. Umurnya baru masuk 40-an. Rezeki beliau kerana dapat tawaran laksanakan haji diusia yang muda. Kitaran haid beliau masih seperti biasa. Anak paling kecil pun baru 3 tahun. Tetapi size badan agak obese dan darah tinggi agak terkawal dengan satu jenis ubat. 

“Kak Hajah dah kira ke kitaran haid? Maksud saya, adakah haid normal akak jatuh pada hari-hari penting ibadah haji?” Soalku semula bagi memastikan beliau cukup yakin dengan kiraan hari haid semasa berada di Tanah Suci.

Hari-hari penting ibadah haji adalah 8 – 13 Zulhijjah. Hari-hari tersebut jemaah haji akan melakukan rukun dan wajib haji bagi melengkapkan ibadah dengan sempurna. Jika jemaah haji didatangi haid tanpa sempat melaksanakan ibadah rukun terutama sekali tawaf, bermakna ibadah haji tidak lengkap. Jemaah haji akan menunggu berada dalam ihram lebih lama sehingga haid berhenti. Terdapat sesetengah jemaah haji, jadual perjalanan balik agak suntuk, justeru jiwa akan menjadi gundah gulana kerana haid masih belum suci. 

Beberapa pilihan boleh diambil oleh jemaah haji wanita yang masih subur ini. Jika dah menopos tidak perlu risau. 

1) Jika risau haid akan jatuh pada hari-hari penting, samada haid sebelumnya tidak teratur atau mengikut kiraan haid beliau tepat jatuh pada hari-hari tersebut, diharuskan mengambil pil hormon bagi menghalang kehadiran haid. Hukum mengambil pil hormon ini dibenarkan oleh syarak. Namun adalah dinasihatkan beliau mengambil pil hormon tersebut minima 3 bulan sebelum berlepas ke tanah suci. Cara ini penting bagi menyesuaikan diri dengan hormon tambahan yang diberikan. Ini kerana terdapat segelintir wanita tidak sekun (sesuai) dengan pil hormon. Mengakibatkan haid beliau beronar terus. Doktor pun pening untuk uruskan supaya kembali ke sifat haid normal. Jika fenomena ini berlaku, adalah dinasihatkan anda berhenti memakan pil hormon tersebut. Walaubagaimanapun, majoriti dikalangan wanita akan mudah serasi dengan kitaran haid “aturan baru” melalui pil ini. Syarat yang paling utama bagi jemaah yang ambil kaedah ini adalah istiqomah. Maksudnya beliau wajib memakan pil hormon itu tetap pada masa yang sama setiap hari. Jangan sesekali tertinggal pil walau sehari. Boleh berbincang lanjut dengan doktor keluarga anda, apakah jenis pil hormon yang paling sesuai, bila waktu makan dan sebagainya lagi. Setiap individu mungkin berbeza jenisnya. 

.

2) Jika lupa untuk mendapatkan pil hormon lebih awal (3 bulan dari tarikh ibadah haji), jemaah haji wanita masih boleh mengambil pil hormon. Jenis pil hormon ini diberikan kepada wanita yang biasanya kitaran haid sebelum ini normal. Akan tetapi dos pil hormon ini agak tinggi berbanding dengan jenis yang pertama. Kesan sampingan pengambilan pil hormon seperti mual, muntah, pening sering terjadi. Terdapat juga haid dikalangan mereka akan menjadi tidak menentu. Keadaan ini lagi merumitkan keadaan. Doktor keluarga anda akan berbincang lanjut bagaimana pil hormon jenis ini digunakan. 

.

3) Saya lebih suka mengambil pilihan ketiga ini, iaitu tidak mengambil apa-apa bahan pil, makjun, suplemen atau seumpamanya bagi tujuan mengatur kitaran haid. Biarkan kitaran haid anda berlaku seperti fitrah seorang wanita. Jemaah haji wanita masih boleh melaksanakan rukun dan wajib haji kecuali tawaf. Sayugia berbincang dengan pihak tabung haji jika haid anda masih lagi tidak kering untuk melewatkan sedikit jadual penerbangan anda. Pihak tabung haji juga menyediakan guru-guru pembimbing bagi menyelesaikan masalah anda sebaiknya.

Sekian semoga bermanfaat. 

Suhazeli Abdullah 

Fb.com/drsuhazeli 

#RakanMedicalFiqh Anda. 

11.8.2017

Alor Setar, Kedah

Nota kepada Doktor

1) Pil jenis pertama adalah Combined Oral Contraceptive Pill. Dimakan setiap hari tanpa ingkar. 

2) Jenis kedua adalah pil progesterone diberi 3 kali sehari. Sebaiknya 3 hari sebelum jangkaan haid tiba dan berhenti setelah sekembali ke tanah air. Jika penerbangan sejurus selepas hari-hari tasyrik. 

10 Isu Penting mengenai Haid Wanita (Wajib Baca) 

Oleh: Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak


10 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Haid Tidak Teratur 
Apabila sepatutnya datang haid pada bulan itu, anda menjadi tidak keruan apabila haid anda tidak muncul pada ketika itu dan berfikir segala macam masalah atau penyakit yang mungkin melanda diri anda. Anda mula berasa risau dan gundah gulana memikirkan haid yang tidak teratur dan tidak berkunjung tiba pada bulan itu. Untuk artikel pada kali ini akan menyentuh mengenai perkara-perkara yang anda perlu tahu berkaitan dengan haid yang tidak teratur.
Pertama-tamanya, anda perlu tahu corak haid yang dikatakan ‘normal’ untuk diri anda.
Setiap wanita adalah unik dan mempunyai corak haid yang berlainan , dan mungkin adalah normal bagi wanita itu sendiri. Untuk mengetahui apa yang normal buat anda, anda perlu mencatat hari-hari anda datang haid pada kalendar dan juga tarikh bilanya haid berhenti. Ambil masa untuk kenal pasti corak haid anda, berapa hari haid dan juga pendarahan yang berlaku ditengah-tengah bulan sementara anda menanti haid yang berikutnya.
40% wanita didapati gagal mengingati tarikh hari pertama haid mereka. Jumlah hari dalam kitaran mereka juga mungkin tidak tepat antara 28-35 hari. Ini boleh memanjangkan lagi kitaran untuk sampai ke ‘hari subur’ dan kesilapan menjangka kedatangan haid yang seterusnya.
Jangan malu atau segan untuk bertanya doktor
Jika anda mengalami perubahan yang anda rasakan tidak normal untuk kitaran haid pada bulan itu, terus bertanya pada doktor anda. Haid yang tidak teratur mungkin menandakan tanda-tanda anda akan mencapai umur menopos, ataupun ada sesuatu yang tidak kena pada perubahan hormon badan yang memerlukan penyiasatan dan penilaian para doktor.
Hamil – sebab biasa haid tidak datang
Sebab ini mungkin tidak memeranjatkan anda atau sebaliknya. Walaupun begitu, pada awal kehamilan sesetengah wanita mengalami pendarahan yang boleh menyebabkan pendarahan juga yang selalu mengelirukan sama ada ianya darah haid atau tidak, tanpa anda sedari anda sebenarnya sudah pun hamil. Ujian air kencing untuk mengesahkan kehamilan boleh membantu.
Penyusuan badan
Sekiranya anda menyusukan bayi secara eksklusif, hormon di dalam badan anda lebih menyediakan badan anda untuk menghasilkan susu untuk si bayi. Terdapat sesetengah ibu menyusu yg langsung tidak didatangi haid sehingga 1 atau 2 tahun lamanya!
Menopos?
Menopos atau Putus haid adalah keadaan di mana seseorang wanita itu tidak lagi didatangi haid, umur purata mencecah dalam 50 tahun. Walaupun begitu tempoh peralihan daripada umur boleh melahirkan anak ke menopos ini boleh berlaku untuk beberapa tahun dan dikenali sebagai perimenopos. Dalam tempoh peralihan ini, perubahan hormon yang berlaku menyebabkan haid menjadi tidak teratur, pendek atau tidak datang langsung. Haid mungkin berhenti buat seketika, dan boleh muncul semula selepas beberapa bulan.
Anda mempunyai masalah-masalah kesihatan yang berkaitan?
Haid yang tidak teratur mungkin adalah tanda-tanda anda mempunyai masalah perubatan yang tidak anda sedari seperti Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS), masalah kelenjar tiroid, Kencing manis yang tidak terkawal , ketumbuhan yang merembeskan hormon prolaktin Pemeriksaan doktor akan dibuat untuk memastikan anda tidak mengalami mana-mana masalah kesihatan.
Berat badan berlebihan ataupun obesiti boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon estrogen di dalam badan wanita seterusnya menyebabkan gangguan kepada kitaran haid.
Tekanan Emosi
Masalah emosi atau tekanan perasaan boleh menyebabkan haid terhenti. Kegiatan fizikal yang berlebihan seperti senaman yang berlebihan, kehilangan berat badan yang banyak, menghadapi masalah permakanan turut menyumbang kepada perkara ini. Berbincang dan luahkan masalah anda pada doktor jika anda berasakan menghadapi tekanan emosi di sekolah, rumah mahupun tempat kerja
Ubat-ubatan
Ada sesetengah ubat-ubatan yang anda makan untuk masalah perubatan tertentu boleh menganggu kitaran haid. Ubat sawan, ubat penenang, pil perancang kehamilan, pil-pil hormon bole menyebabkan kitaran haid terganggu. Berbincang dengan doktor anda, sebelum memberhentikan ubat-ubatan ini. Mungkin doktor akan mengubah dos, mengubah ubat bergantung kepada masalah perubatan itu.
Jamu tradisional, ubat kurus ataupun ubat-ubatan penyakit kronik yang lain boleh menyebabkan gangguan kitaran haid wanita. Jangan lupa bagi tahu doktor yang merawat anda nanti.
Anda tetap subur walaupun haid tidak teratur
Walaupun anda tidak datang haid, tidak bermakna anda tidak subur dan tidak boleh mengandung. Jika anda ingin menjarakkan kelahiran atau merancang keluarga anda perlu menggunakan cara perancangan yang efektif dan berkesan walaupun tidak datang haid. Dapatkan nasihat doktor anda untuk ini.
Ingin hamil mungkin menjadi masalah dengan haid yang tidak teratur
Walaupun telah saya nyatakan, tidak datang haid tak bermakna anda tidak subur, tetapi kejayaan untuk hamil itu kadang-kadang adalah sukar. Rawatan sentiasa ada untuk mereka yang menghadapi masalah ini. Jangan risau, sila berbincang dengan doktor anda.
Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak

Pegawai Perubatan

Obstetrik & Ginekologi

Kementerian Kesihatan Malaysia

#MedTweetMY

#MedicalMythbustersMalaysia