Posts

Dr Riko Muranaka Pejuang Vaksinasi di Jepun

Oleh : Dr Amirul Amzar.

Kenal kah anda seorang doktor dari Jepun, Dr Riko Muranaka?

Beliau adalah pemenang hadiah global John Maddox Prize for Standing up for Science pada tahun 2017. Kemenangan beliau terhadap hadiah berprestij ini adalah disebabkan usaha beliau MEMBONGKAR PENIPUAN KAJIAN DI JEPUN yang mencetuskan pergerakan ANTIVAKSIN.

Pada tahun 2013, kadar vaksinasi HPV di Jepun menurun dengan mendadak. Ianya berpunca dari video viral yang tidak diketahui kesahihannya. Video itu adalah kompilasi gadis-gadis yang kononnya menerima vaksinasi HPV dan menjerit-jerit kesakitan. Video ini rupanya dibuat dan dikompilasikan oleh pergerakan antivaksin.

Dr Muranaka mengambil keputusan untuk menyelami punca sebenar video itu. Akhir siasatan beliau mendapati ianya bermula dari seorang doktor tidak beretika, Dr Shuichi Ikeda.

Dr Ikeda adalah dekan sebuah universiti di Jepun dan beliau mempunyai pangkat dalam Kementerian Kesihatan Jepun serta merupakan salah seorang pembuat polisi. Di samping itu, beliau juga mempunyai klinik yang merawat pesakit yang kononnya terkena kesan sampingan vaksin.

Dr Ikeda telah mengeluarkan satu keputusan kajian kononnya vaksin HPV telah menyebabkan masalah otak. Dan, pernyataan beliau ini mencetuskan pergerakan antivaksin serta menyebabkan kerajaan Jepun menarik kembali vaksinasi HPV.

Namun, hasil siasatan Dr Muranaka mendapati, Dr Ikeda telah mengeluarkan pernyataan tersebut berdasarkan satu kajian yang tidak boleh diterima sains!

Dr Ikeda menyuntik vaksin ke dalam seekor tikus dan mengkaji otak tikus tersebut. Dan tikus itu rupanya telah diubahsuai secara genetik. Hasil kajian lanjut menunjukkan bukan vaksin yang menyebabkan kerosakan otak tikus itu, tetapi hasil ubahsuai genetik tersebut. Dan lebih mengejutkan lagi, hanya SEEKOR TIKUS sahaja yang disuntik vaksin itu, tanpa ada kajian atau subjek lain. Walhal di negara-negara lain, vaksin HPV telah terbukti SELAMAT DAN BERKESAN!

Dek kerana pangkat dan reputasi Dr Ikeda, kerajaan dan masyarakat mudah mempercayai beliau. Dr Muranaka melaporkan keputusan kajian tidak beretika itu kepada Kementerian Kesihatan. Kementerian akhirnya memohon maaf atas tindakan tidak beretika Dr Ikeda. Namun, disebabkan ketakutan masyarakat masih tersisa, kerajaan Jepun juga tidak dapat membuat keputusan bagi memperkenalkan semula vaksinasi itu hingga kini.

Dr Ikeda, juga mempunyai hubungan baik dengan kakitangan media dan ahli politik, menggunakan hubungan itu bagi menjatuhkan Dr Muranaka. Dr Ikeda juga mengemukakan saman sivil kepada Dr Muranaka kerana telah menjatuhkan reputasi beliau. Akibatnya, Dr Muranaka dihalang dari bercakap di media dan diserang dengan pelbagai ugutan.

Namun beliau tidak berputus asa, beliau tetap menyampaikan maklumat sains yang sahih melalui facebook dan laman internet. Dan kesungguhan beliau ini menjayakan beliau dalam memenangi hadiah global tersebut.

Jepun dahulu telah membuat keputusan politik yang salah memberhentikan vaksinasi MMR kerana kesan sampingan yang tidak terbukti. Akibatnya wabak Rubella masih bersisa. Dan kini sekali lagi mereka tersalah langkah. Tatkala negara lain menikmati penurunan kanser pangkal rahim oleh sebab vaksinasi HPV, insiden kanser pangkal rahim di Jepun terus tinggi. Dijangka kan 3000 kematian berlaku dan 10 000 rahim hilang akibat kanser pangkal rahim selama setahun di Jepun. Dan akibat tekanan politik yang diterima kerajaan hanya disebabkan satu kajian tidak beretika, mereka kini sukar memperkenalkan semula vaksinasi itu.

Semoga Malaysia tidak terjebak dalam kesilapan seperti ini.

Sumber rujukan

https://allianceforscience.cornell.edu/blog/2017/11/japanese-doctor-wins-global-prize-for-standing-up-to-anti-vaccine-activists/

https://www.sciencemag.org/news/2017/11/qa-japanese-physician-snares-prize-battling-antivaccine-campaigners

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5557250/

Penjelasan Sdr Rahman Baco Isu Vaksin Haram

Terima kasih Sdr Rahman Baco yang buat penjelasan.

Buku beliau itu saya dapat hadiah dari seorang pesakit yang menolak semua kaedah perubatan moden termasuk vaksin. Apabila beliau hadir diklinik, hanya untuk buat pemeriksaan tekanan darah, gula dll sahaja. Namun saya beri cadangan untuk beliau makan ubat atas penyakit yang beliau hadapi, ditolak nya.

Berlaku beberapa kali sesi konsultasi saya dengan beliau dan selalu menjadikan buku Abd Rahman sebagai rujukan. Akhirnya beliau hadiahkan saya buku tersebut. Saya baca dan teliti satu persatu. Bab vaksin yang dipaparkan saya sudah pun buat penjelasan bahawa KKM tidak menggunakan jenis yang disebutkan itu. Tetapi seperti biasa, golongan yang liat dengan ubatan moden ini akan mencari seribu alasan.

Saya juga menjawab isu maqosid syariah dan kepentingan darurat dalam menjaga mashlahat ummat. Namun golongan yang fixed minded vaksin itu haram sudah tidak mahu terima hujah yang dikemukakan. Hatta tulisan para mufti pun mereka bakul sampahkan.

Hakikat yang mesti diterima bahawa Tiada seorang pun mufti di Malaysia yang menolak vaksin.

Hakikatnya juga semua persatuan pakar-pakar perubatan seluruh Malaysia mengesyorkan vaksin.

Hakikatnya juga ulama juga menyokong vaksin.

Sebaliknya pihak yang selalu menakutkan orang ramai dalam isu vaksin pula terdiri dari akaun palsu facebook atau individu yang tidak ada autoriti bercakap hal-hal perubatan dan hukum.

Boleh baca penjelasan Sdr Rahman:

PENJELASAN PENULIS MENGENAI ISU VAKSIN MMR II DAN VARIVAX MENGANDUNGI BAHAN HARAM

Penjelasan ini adalah berkaitan isu vaksin MMR II (Measles, Mumps, Rubella) yang tular di socmed dan menjadi perbincangan ramai netizen dan pengamal perubatan.

Buku “Halalkah UBAT ANDA” ini adalah versi kedua daripada buku pertama saya “Ubat Daripada Sumber Babi & Pilihan Alternatif” yang diterbitkan pada tahun 2010.

Tujuan penulisan dan penerbitan buku ini adalah untuk memberikan panduan dan rujukan kepada pengguna (pesakit) dan juga pengamal-pengamal perubatan mengenai kandungan ubat-ubatan yang kita ambil dan apa pilihan alternatif yang ada.

Selain itu, buku ini juga bertujuan untuk:

1. Memberi kesedaran kepada pengguna mengenai Hak Pengguna untuk membuat pilihan dan keputusan “Informed Choice” daripada maklumat yang lengkap dan tepat. Pengguna berhak tahu apa kandungan dalam ubat-ubatan yang diberikan kepada mereka dan apa pilihan ubat yang lain sekiranya mereka menolak ubat tersebut.

2. Memberi kesedaran kepada pengamal perubatan (doktor, ahli farmasi, jururawat dan yang lain) untuk mengambiltahu mengenai kandungan ubat-ubatan yang kita berikan dan apa jenama-jenama ubat pilihan yang kita ada.

ISU VAKSIN MMR II

Saya sertakan gambar mukasurat 118 dan 152 daripada buku asal “Ubat Daripada Sumber Babi & Pilihan Alternatif” sebelum diedit dan diterbitkan.

Pada asalnya, saya menyenaraikan jenama-jenama pilihan ubat alternatif lain yang ada di dalam buku ini. Tetapi sebelum buku ini dicetak dan diterbitkan, Pihak Syarikat Farmaseutikal telah meminta saya untuk mengeluarkan atau tidak menyebut jenama ubat alternatif mereka kerana ini akan memberikan gambaran seolah-olah saya mempromosikan jenama ubat syarikat mereka dan menidakkan jenama ubat syarikat yang lain.

Jadi, buku yang diterbitkan tidak menyebut secara spesifik jenama ubat pilihan alternatif yang ada dan saya tambahkan daripada mana saya perolehi sumber maklumat mengenai kandungan ubat-ubatan ini.

DI MANA NAK DAPATKAN BUKU NI ?

Buku “Halalkah UBAT ANDA” ini hanya dicetak sebanyak 10 000 naskah pada tahun 2010, telah habis dijual di kedai-kedai buku dan diedarkan secara percuma semasa Perbincangan Meja Bulat Ubat-Ubatan Dari Sumber Haram.

Sebelum ini, saya hentikan sementara cetakan semula buku ini kerana dapati Maklumat dan Buku ini banyak disalah gunakan oleh pihak tertentu dan menyimpang daripada tujuan asalnya seperti:

1. Buku ini digunakan untuk mempromosikan rawatan-rawatan alternatif tertentu dengan menolak perubatan konvensional (moden).

2. Buku ini digunakan untuk menjual dan mempromosikan produk kesihatan tertentu dengan menolak ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor dan ahli farmasi.

3. Buku ini juga digunakan oleh kumpulan yang menolak pemberian vaksin sepenuhnya dan menggunakan buku ini untuk mempengaruhi pengguna lain.

Saya sendiri mengambil vaksin, anak-anak saya semua diberikan vaksin. Isteri saya pun diberi vaksin dan juga mengambil vaksin tambahan kerana beliau juga merawat pesakit-pesakit yang dijangkiti penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin ini.

Sebagai tambahan maklumat di dalam buku “Halakah UBAT ANDA”. Saya petik tulisan daripada Mufti Wilayah Persekutuan di bawah mengenai Hukum Penggunaan Vaksin ini sebagai rujukan saya dan pembaca semua.

Penjelasan oleh,

Rahman Baco, Pharmacist

Penulis “Halalkah Ubat Anda”

Follow: www.fb.com/rahmanbaco.rx

.

.

.

HUKUM PENGGUNAAN VAKSIN

Dalam hal ini, jika diperbuat daripada bahan yang bersih dan suci, maka ia diharuskan

Jika diperbuat daripada bahan yang najis, ia terbahagi kepada dua:

Jika di sana ada alternatif lain, maka tidak boleh menggunakan vaksin yang najis. Ini kerana sabda Rasulullah SAW daripada Abu Darda’ R.Anhu yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram.”

Jika di sana tidak ada alternatif yang lain, ia dibolehkan kerana ia termasuk dalam perkara darurat.

Terdapat beberapa kaedah yang digunakan dalam hal ini.

Kaedah الضرورات تبيح المحظورات iaitu mudarat mengharuskan yang haram. Tetapi kaedah ini diikat dengan kaedah lain iaitu الضرورات تقدر بقدرها yang bermaksud mengambil darurat cukup yang perlu sahaja.

Dalam penetapan hukum yang melibatkan penggunaan konsep dharurah, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi sepertimana berikut:

Dharurah itu memang benar-benar berlaku, bukan lagi hanya sangkaan semata-mata ke atas kemusnahan nyawa atau pun harta benda.

Kalau kekhuatiran itu berdasarkan andaian, anadaian itu hendaklah andaian yang kuat seperti telah melalui proses pengalaman dan pemerhatian.

Orang yang berada dalam keadaan dharurah itu tidak ada jalan yang lain dibenarkan oleh syarak untuk mengelakkan kemudharatan itu. contohnya seseorang yang amat perlu untuk meminjam wang, maka ia measti memilih pinjaman tanpa riba’ kerana zaman ini sudah ada alternatif untuk melakukan pinjaman dengan tidak menggunakan sistem riba’.

Orang yang dalam keadaan dharurah (terpaksa) itu mestilah berusaha jangan memilih perkara ang terang-terang melanggar prinsip-prinsip asasi syariat Islam dan usul akidah Islam, seperti tidak halalnya ia memilih untuk berzina, membunuh, memilih kufur dan mengambil hak orang lain kerana perkara-perkara berkenaan pada hakikatnya adalah mafsadah (kerosakan).

Ini bererti jika melepaskan keadaan terpaksa itu tiada jalan yang halal, Cuma yang ada beberapa jalan yang haram, maka ia mesti memilih mudharat yang lebih ringkas dan tidak terang-terang melanggar perkara-perkara asasi dalam Islam.

Ketika melepaskan keadaan dharurahnya seseorang itu mestilah sekadar melakukannya kadar yang perlu sahaja, bukan untuk berselesa melakukan perkara yang terlarang berkenaan berdasarkan kaedah keadaan dharurah diukur dengan tingkatannya.

Dalam isu tepaksa memakan ubat dari produk haram untuk menjaga kepentingan nyawa, syarat tambahan yang perlu dipenuhi ialah pengambilan ubat berkenaan hendaklah disyorkan oleh doktor yang dipercayai pegangan dan amalan agamanya serta mempunyai kepakaran di samping terbukti tiada ubat lain yang halal untuk diambil. Lihat Penentuan Produk Halal-Haram dan Fatwa Vaksin di Malaysia oleh Prof. Madya Dr. Nurdeng Deuraseh, UPM.

.

.

Penutup

Antara bukti yang menunjukkan Islam amat menitik beratkan penjagaan kesihatan adalah seperti berikut:

Meletakkan kesihatan adalah sebaik-baik nikmat selepas nikmat iman.

Meletakkan konsep mudah dan menolak kesukaran di dalam syariat Islam.

Nas-nas yang banyak mengenai pencegahan penyakit.

Perintah untuk mendapatkan rawatan dan keharusan berubat dengan menggunakan benda haram.

Al-‘Aili Abdul Hakim dalam buku Mausu‘ah Huquq al-Insan fi al-Islam, menyifatkan kesihatan individu merupakan tuntutan agama dan kehidupan, di mana ia akan memberi manfaat kepada kehidupan seluruh umat manusia.

Dalam isu ini, vaksin bukan lagi merupakan kehendak seseorang, tetapi bahan pencegah ini kini menjadi keperluan kepada masyarakat secara umumnya.

Fenomema ibubapa enggan memberikan suntikan vaksin kepada anak-anak mereka di klinik-klinik adalah amat membimbangkan. Perbuatan ini bukan sahaja merbahaya kepada anak-anak yang merupakan generasi masa depan kita, tetapi juga boleh menjadi punca merebaknya jangkitan penyakit-penyakit merbahaya tersebut.

Dalam hal ini Islam amat menitikberatkan keselamatan umat manusia. Sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan untuk maslahah ummah hanya diperakukan oleh syarak sekiranya tidak bercanggah dengan Maqasid Syar’iyyah iaitu menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta.

Menurut fuqaha’, sebarang penyakit perlu dihindari, dirawat dan diubati. Dalam konteks ini pencegahan daripada sebarang bentuk gejala yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa adalah menjadi pegangan dan keutamaan ajaran Islam.

Semoga dengan pencerahan ini kita tidak ragu lagi dalam mengizinkan penggunaan vaksin oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk maslahat dalam kalangan kita.

Sumber tulisan:

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

Baca artikel penuh mengenai isu vaksin ini melalui link di bawah:

http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2069-30

P.S. Mohon SHARE artikel dan post ni kepada kawan-kawan lain untuk rujukan bersama.

Vaksin MR Haram?

Isu yang sengaja dibangkitkan oleh golongan penentang vaksin MR (Measles dan Rubella) di Indonesia mula merebak ke negara Malaysia.

Kisahnya, Kerajaan Indonesia telah memulakan pemberian vaksin MR terhadap anak-anak mereka sejak sekian lama.[1] Sebanyak 57.8 juta dos vaksin itu telah berjaya diberikan di 7 wilayah Tanah Jawa. pengumuman terbaharu kerajaan untuk meluaskan imunisasi terhadap lebih dari 31.9 juta penduduk luar Tanah Jawa september lalu menjadi polimik penentangan.[2] Walaupun pihak kerajaan telah membuat kenyataan keharusan menggunakan vaksin MR tersebut, masyarakat masih lagi tidak memahami kepentingan pemberian vaksin kerana masih stigma dengan isu vaksin haram. Penentangan dikatakan ramai dikalangan masyarakat muslim yang mendakwa vaksin MR yang di import dari Bio Pharma India itu mengandungi gelatin babi. Di atas kekangan ekonomi dan politik tertentu, kerajaan Indonesia mengambil langkah meneruskan pemberian vaksin MR ini. Bahkan pihak berkuasa Indonesia sendiri telah merujuk kepada para ulama dalam isu yang dibangkitkan itu.[3] Para ulama sepakat dalam mengharuskan pemberian vaksin MR tersebut atas dasar menghalang mudarat yang lebih serius. Kenyataan telah dibuat oleh Majlis Ulama Indonesia bahawa harus penggunaannya.[4]

Penentang tegar vaksin di Malaysia pula mengambil kesempatan ini untuk terus menaruh kekeliruan vaksin yang digunakan dalam negara kita. Mereka juga sengaja beralasan anak mereka sihat afiat tanpa pemberian vaksin dan mula mendabik dada bahawa vaksin itu hanya omongan para doktor dan pihak berkuasa sahaja. Sedangkan kita pun semua tahu bahawa vaksin MMR (Measles, Mumps, Rubella) di Malaysia adalah halal.[5] Negara kita tidak menggunakan vaksin MR ke atas bayi berumur 9 dan 12 bulan di premis kesihatan. Sebaliknya KKM menggunakan MMR berjenama Priorix.

Kita pun tahu bahawa golongan antivaksin biasanya sengaja beralasan, walaupun sudah banyak fakta diberikan kepada mereka. Antivaksin hanya mendakwa menolak satu jenis vaksin yang dimomokkan haram itu, sedangkan vaksin lain yang sudah jelas dinyatakan dalam fatwa kebangsaan pun mereka menolaknya. Ini adalah alasan kurang cerdik, berselindung disebalik ilmu fekah agama semata-mata takut dicucuk jarum. Seolah-olah mereka lebih hebat dari para alim ulama yang berada dalam majlis fatwa itu sendiri.

Konsep vaksin adalah pelindung kepada anak-anak yang cenderung (vulnerable) dijangkiti kuman berbahaya. Tidak dinafikan vaksin itu bukan 100% mencegah, tetapi anak-anak yang tidak diberikan vaksin, mereka terdiri dalam kelompok 5% terlindung. Jika liputan pemberian vaksin meluas, peluang untuk kuman berbahaya masuk menyerang akan berkurangan. Inilah pertimbangan risiko-manfaat (risk-benefit) yang selalu para doktor bincangkan dengan para ibubapa semasa pemberian vaksin. Sama juga dengan larangan para doktor supaya tidak merokok. Antara risiko merokok adalah kanser paru-paru dan banyak penyakit lain lagi. Tetapi ada manusia yang kurang cerdik membandingkan bahawa terdapat orang tua dikampung mereka yang hisap rokok sejak belasan tahun hingga umur mencecah 80-an, tapi tidak kena kanser atau mati awal pun!

Saya mengharapkan masyarakat lebih cerdik dengan mengambil maklumat tepat dari pihak yang bewibawa dalam isu sebegini. Bukannya membaca tulisan dari pihak yang tidak bertanggungjawab untuk terus mengelirukan masyarakat. Jika mereka sendiri tidak tidak melihat mashlahat umat ini penting bagi menjamin kesejahteraan kesihatan, bagaimana ini memandu umat?

Sekian

suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

Kuala Berang

10.9.2018

Pautan

[1] MUI bolehkan kegunaan MR kerana darurat. https://www.bbc.com/indonesia/indonesia-45248643

[2] Biopharma MR Vaccine diharuskan oleh Majlis Fatwa. https://en.tempo.co/read/news/2018/08/02/055920455/Bio-Farma-MR-Vaccine-Used-in-Muslim-Countries

[3] Kesatuan ulama haruskan penggunaan vaksin. http://www.vaccinesafety.edu/Porcine-vaccineapproval.htm

[4] Fatwa MUI isu MR. http://m.kbr.id/berita/08-2017/kemenkes__vaksin_mr_tidak_haram__tapi_sertifikasi_halal_butuh_proses/91882.html

[5] Vaksin Halal di Malaysia. https://today.mims.com/moh-vaccines-in-malaysia-are-halal-and-must-be-administered-to-children

Demam Campak Boleh Bawa Maut

Pastikan jika anak anda demam, tidak mempunyai tanda-tanda penyakit campak (Measles). Tanda-tanda klasikal bagi kanak-kanak yang diserang demam campak adalah:

1- Demam sehingga mencecah 38.0 C

2- Batuk

3- Selsema / hidung berair

4- Mata merah (radang konjuntivitis)

5- Ruam merah bermula di bahagian muka kemudian merebak ke seluruh badan. Biasanya ruam itu terjadi pada hari ke 3 demam.[1]

6- Pengidap penyakit campak akan juga mengalami gatal mata, pening, sakit urat, kerengsaan kerongkong dan pembengkakan kelenjar.

Demam campak adalah sejenis jangkitan virus yang boleh merebak dengan cepat terutamanya di pusat asuhan kanak-kanak. Tempoh minggu pertama serangan campak ini amat mencabar ibubapa yang menjaganya. Kanak-kanak akan merengek, kurang selera makan dan tidak dapat tidur malam.

Kesan serius yang menakutkan akibat penyakit campak ini adalah kematian. Dicatatkan pada tahun 2013, terdapat 145700 kematian akibat campak seluruh dunia.[2] Pecahan ini mencatatkan 400 kematian bagi setiap hari dan 16 kematian setiap jam. Satu angka yang amat menggerunkan.

Empat perkara penting yang wajib anda tahu mengenai keseriusan demam campak.

1- Ianya boleh membawa maut jika tidak bertindak dan diuruskan dengan baik. Fakta mendapati komplikasi serius boleh berlaku terhadap kanak-kanak yang berumur kurang dari 5 tahun. Satu dari empat kanak-kanak yang diserang campak akan dimasukkan ke wad akibat keterukan penyakit. Satu dalam seribu kes demam campak mempunyai risiko bengkak otak dijangkiti virus dan satu atau dua kes dari seribu meninggal dunia. Menunjukkan pengesanan dan pengurusan kes demam campak perlu dijalankan sebaik mungkin. Jangan sesekali memandang enteng pemeriksaan para doktor dan rawatan yang dijalankan.

2- Virus campak paling senang merebak. Hanya dengan batuk, bersin atau pernafasan pesakit yang sudah dijangkiti di tempat yang tertutup boleh menjadi wabak. Sembilan dari sepuluh orang lain berisiko dijangkiti dalam sesatu kes yang positif. Pembawa yang dijangkiti mungkin boleh timbul tanda-tanda serangan atau menjadi pembawa virus sahaja. Ianya bergantung kepada tahap imuniti badan masing-masing.

3- Peningkatan kes penyakit Campak sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan. Sebagaimana laporan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada bulan Jun 2015 bahawa kes penyakit Campak (measles) di WP Kuala Lumpur sebanyak 73 kes. Kes berkenaan disahkan positif dihinggapi kuman Campak melalui ujian darah. Julat umur kes tersebut antara sebulan sehingga 43 tahun. Lebih menyedihkan majoriti (79%) daripada kes tersebut didapati tiada suntikan vaksin Campak (measles).[3] Begitu juga kes wabak penyakit Campak ini di Kuantan Pahang yang melibatkan sebuah sekolah agama, didapati liputan pemberian imunisasi Campak tidak mencapai 85% di lokalliti terbabit. Dengan ertikata lain, tiada lindungan Imuniti Berkumpulan (Herd Immunity) ke atas kanak-kanak di lokaliti berkenaan. Menyebabkan wabak penyakit berjangkit berbahaya seperti penyakit Campak ini senang merebak.

4- Pemberian vaksin khusus bagi pencegahan penyakit Campak semasa umur 9 bulan dan setahun kanak-kanak telah berjaya menyelamatkan 15.6 juta kematian dari tahun 2000 hingga 2013. Sebelum era vaksinasi (1980), jumlah kematian kanak-kanak dianggarkan 2.6 juta setiap tahun seluruh dunia akibat wabak penyakit Campak ini. Membuktikan vaksinasi memainkan peranan penting dalam kehidupan sejagat manusia.

Sasaran penyakit campak sifar 2010 musnah kerana jumlah yang menolak pemberian vaksin kepada anak-anak semakin bertambah. Sasaran terbaharu pihak berkuasa untuk menjadikan negara kita sifar campak 2015 juga tidak tercapai kerana jumlahlah semakin maningkat. Jika semua pihak tidak memainkan peranan bagi penghapusan deman campak ini, tidak mustahil sasaran sifar campak tahun 2020 juga akan gagal. Apa yang kita perhatikan punca yang boleh dikaitkan secara tidak langsung adalah wujudnya golongan yang menolak vaksin. Ibubapa yang menolak pemberian vaksin semakin meningkat setiap tahun. Sejajar dengan peningkatan kes campak yang juga bertambah.

Seruan saya agar setiap pihak mainkan peranan samada masyarakat awam mahupun ahli politik dan sebagainya agar virus campak ini pupus. Kita tidak boleh menyalahkan takdir jika usaha dan ikhtiar kita tidak dijalankan secara optimum.

Sekian dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

9.9.2018

Langkawi

Pautan

[1] CDC. Measles (Rubeola). https://www.cdc.gov/measles/index.html

[2] World Health Organization. Measles Facts Sheet. February 2015. Accessed online http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs286/en/known

[3] Dato Dr Noor Hisham. Kenyataan Akbar 28 Julai 2015. Capaian online di http://www.mmgazette.com/peningkatan-kes-measles-di-wpkl-terutama-di-kalangan-yang-tidak-divaksinasi-kkm/

Vaksin Bukan Penyebab Autism

Selamat menyambut minggu imunisasi kebangsaan bermula 23 April sehingga 29 April 2016. Bulan April dipilih mungkin kerana penemuan pertama vaksin Polio oleh John Edward Salk 12 April 1955.
Berikut adalah kenyataan rasmi dari badan berautoriti dunia (CDC – Center of Disease Control bawah seliaan WHO) berkaitan isu autisma dan vaksin.
Ganguan Spektrum Autisme (ASD – Austisme Spectrum Disorder) adalah kecacatan perkembangan yang disebabkan oleh perbezaan dalam bagaimana fungsi otak. Orang yang mempunyai ASD boleh berkomunikasi, berinteraksi, berkelakuan, dan belajar dengan cara yang berbeza. Anggaran terkini dari CDC mendapati kira-kira 1 dalam 68 kanak-kanak telah dikenal pasti dengan ASD dalam masyarakat di seluruh Amerika Syarikat. CDC komited untuk menyediakan data penting mengenai ASD, mencari punca-punca dan faktor-faktor yang meningkatkan risiko untuk ASD, dan membangunkan sumber-sumber yang membantu mengenal pasti kanak-kanak dengan ASD seawal yang mungkin.
TIDAK ADA KAITAN ANTARA VAKSIN dan AUTISME
Sesetengah orang mempunyai kebimbangan bahawa ASD mungkin dikaitkan dengan vaksin kanak-kanak menerima, tetapi kajian telah menunjukkan bahawa tidak ada hubungan antara menerima vaksin dan membangunkan ASD. Pada tahun 2011, Institut Perubatan (IOM) mengenai lapan vaksin diberikan kepada kanak-kanak dan orang dewasa mendapati bahawa dengan hubungkait vaksin dan autism ini adalah sangat selamat.[1]
Tahun 2013 kajian CDC juga menunjukkan penyelidikan yang vaksin tidak menyebabkan ASD. Kajian ini melihat bilangan antigen (bahan-bahan dalam vaksin yang menyebabkan sistem imun badan untuk menghasilkan antibodi melawan penyakit) dari vaksin dalam tempoh dua tahun pertama kehidupan. Hasil kajian menunjukkan bahawa jumlah antigen dari vaksin yang diterima adalah sama antara kanak-kanak dengan ASD dan orang-orang yang tidak mempunyai ASD.
BAHAN yang terdapat dalam VAKSIN TIDAK menyebabkan AUTISME
Antara kandungan vaksin yang telah dikaji secara khusus adalah thimerosal, pengawet berasaskan merkuri yang digunakan untuk mencegah pencemaran botol multidose vaksin. Kajian menunjukkan bahawa thimerosal tidak menyebabkan ASD. Malah, kajian saintifik 2004 oleh IOM membuat kesimpulan bahawa “keputusan kajian yang dijalankan tidak menyokong dakwaan vaksin menyebabkan autism”. Sejak tahun 2003, terdapat sembilan lagi kajian CDC yang mendapati tiada hubungan antara vaksin berThimerosal dan ASD, dan juga tiada hubungan antara campak, beguk dan rubella vaksin (MMR) dengan ASD ke atas kanak-kanak.
Sebelum itu, antara 1999 dan 2001, vaksin berthimerosal telah ditarik balik atau dikurangkan jumlahnya dalam semua vaksin kanak-kanak kecuali sesetengah vaksin selesema (vaksin Influeza dalam bentuk multidose – vaksin pilihan bukan wajib). Ia dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga kerana dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan vaksin dengan autism pada tahun berkenaan. Pada masa ini, satu-satunya vaksin kanak-kanak yang mengandungi thimerosal vaksin selsema dibungkus dalam botol multidose vaksin pilihan influenza. Pun begitu disediakan alternatif bebas-THIMEROSAL untuk vaksin selsema.
Kajian di Yokohama Jepun juga membuktikan bahawa tiada kaitan vaksin MMR (yang mengandungi Thimerosal pada masa itu) dengan Autisma. Kerajaan Jepun telah memberhentikan vaksin MMR tahun 1993, namun Autism masih tetap wujud dalam populasi di Jepun [8].
CICIPAN DARI WEB TAK BERWIBAWA
Saya membaca satu website yang mengumpulkan 250 bukti kukuh pemberian vaksin dikaitkan dengan autisma. Ia adalah sambungan dari 30 bukti kukuh yang mengaitkan vaksin dan autisme. Saya membacanya dengan penuh minat abstrak kajian tersebut. Seperti biasa saya akan melihat dari sudut metodologi kajian, samada tepat atau tidak dan hasil kajian samada disimpulkan sesuai dengan tajuk setiap kajian. Saya perhatikan setiap penulisan, pasti terdapat kecenderungan tertentu yang ingin dicapai oleh pengkaji. Saya baca kajian nombor 1 dan 2, semuanya “out of context” sepertimana tajuk web yang mengujakan itu. Saya buat bacaan rawak beberapa artikel lain, tidak dapat disimpulkan pembuktian sahih. Kajian yang dijalankan lemah metodologi dan terdapat data yang disimpulkan tidak seperti  hasil kajian. Mungkin ulasan dari kajian-kajian tersebut mempunyai niat tertentu dan terdapat bias (cenderung) kepada golongan anti vaksin.
Rujukan
6. Temuramah dgn Anderson Cooper (Pengakaji bersama Wakefield pada asalnya tetapi mendedahkan penipuan kajian yang dijalankan oleh Wakefield). https://youtu.be/6dX4JTS4FoQ
(Jika kajian lemah, kena rujuk kajian lebih sahih la – macam takhrij hadis juga)
Wallahuaklam.
SELAMAT SAMBUT HARI AUTISM
Dr suhazeli Abdullah
Insan Dhaif
Pakar Perubatan Keluarga
29.4.2016