Posts

Perubatan dari Al Quran

Saat sedih sebagai doktor muslim adalah ketika pesakit menolak rawatan perubatan moden kerana percaya bahawa al Quran/pemakanan sunnah dan Perubatan alternatif boleh menyembuhkan penyakit yang mereka alami. Biasanya pesakit jenis ini mengalami penyakit yang tidak nampak jelas secara zahir seperti kencing manis, darah tinggi, kanser dan beberapa penyakit kronik yang lain.

Sebagai doktor muslim, kita pun percayai bahawa al Quran itu kalam Allah yang membawa sejuta kemukjizatan dan boleh menyembuhkan penyakit melalui Kudrat dan IradatNya. Namun kefahaman dan pegangan doktor muslim bukan semata-mata ruang kepercayaan kepada syariat yang dinyatakan dalam Al Quran dan Hadis, tetapi juga bersandarkan kepada hukum alat /akal dan hukum adat. Ianya juga salah satu dari kaedah berikhtiar yang dianjurkan dalam Islam.

Apabila para doktor muslim cuba mengemukakan hujah, akan berlaku pertembungan dalam isu perubatan moden vs Islam / tradisional. Seperti biasa jawapan pesakit begini diberikan. “Ilmu Allah itu luas, terimalah pandangan orang lain.” Dengan kata lain bahawa ilmu yang doktor ada itu tidak mencapai tahap makrifat yang membolehkan satara dengan kaedah perubatan dalam Islam.

Sedangkan apa yang cuba kami bentangkan dari perubatan moden ini adalah dari ilmu Allah juga. Atas keluasan rahmat dan ilmu Nya lah kami belajar dan menjalankan khidmat rawatan kepada pesakit. Dengan kelebihan ilmu Allah yang luas inilah juga banyak kajian dijalankan ke atas ubat-ubatan termasuk tumbuh-tumbuhan. Contohnya, dari pelbagai sudut dan review kajian-kajian perubatan, ganja tiada kelebihan positif, ianya hanya sebagai penahan muntah untuk pesakit terminal kanser. Rawatan-rawatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan pelbagai lagi itu semuanya tidak menunjukan keberkesanan. Jumlah pesakit yang perlu dirawat (NNT – Number Need to Treat) adalah rendah berbanding dengan rawatan utama kanser di hospital-hospital moden. Sehingga sekarang tiada pun diberikan kajian yang boleh meyakinkan bahawa ganja mempunyai kelebihan berbanding dengan ubatan lain. Begitu juga dengan ubat-ubatan lain yang disandarkan kepada pemakanan sunnah ataupun bahan yang disebut dalam Al Quran.

Atas dasar ilmu Allah jugalah ilmu sains dalam perubatan ini berkembang. Sains adalah penjelasan kepada hukum alam/tabii, hukum akal dan hukum adat yang ditentukan Allah. Setelah dilakukan kajian, sains telah membenarkan hukum Allah itu. Minum boleh menghilangkan dahaga, itu hukum adat. Tetapi tidak semua jenis air boleh menghilangkan dahaga. Ianya dibuktikan dengan sains. Begitulah luasnya ilmu Allah ini dalam dunia perubatan. Pening kepala, setelah sains moden menemui panadol adalah ubatnya, itulah hukum adat. Walaupun tidak semua panadol boleh menghilangkan pening, tidak dinafikan. Maka perlu sains perubatan untuk terus mengkaji kenapa pening boleh berlaku dan apa puncanya. Jika pening itu akibat kanser otak, melalui luasnya ilmu Allah para pakar mengesyorkan pembedahan. Walau tidak dinafikan pembedahan itu pun bukan 100% boleh menghilangkan pening, malah akan timbul komplikasi lain. Tetapi itulah ikhtiar yang diusahakan oleh para anggota yang pakar/ahli dalam bidangnya.

Perubatan moden tiada percanggahan dengan mana-mana petua / perubatan alternatif yang tidak membawa mudarat diri, mencarik adat dan syariat. Begitu juga mana-mana adat, petua, mujarobat, ubatan herba, nasihat kesihatan yang mendakwa boleh menyembuhkan sesuatu penyakit, kami akan bertanya dahulu samada ianya pernah disahkan atau tidak. Jika tiada bukti, atau si pembawa berita hanya salin tampal dari mana-mana sumber yang beliau sendiri tidak kenali, ianya boleh diabaikan. Pun begitu, jika rawatan berkenaan melibatkan nyawa, akal atau kecederaaan anggota jika mengamalkan adat atau petua tersebut, kami akan lakukan penyelidikan serta merujuk kepada orang yang ahli dalam sesuatu bidang itu samada ianya pernah dibuat kajian atau tidak.

Sebagai contohnya, ditularkan satu tulisan ilmu dari al marhum Tuan Guru Dr Harun Din (aTGHD) yang menyatakan penawar bisa ular dengan memakan sisik ekor ular berbisa tersebut. Disengat ikan sembilang atau keli, penawarnya otak ikan berkenaan dan beberapa lagi ilmu/petua lain. Sekali imbas baca ilmu ini mungkin diperturunkan oleh aTGHD dalam mana-mana penulisan atau ceramah di Darul Syifa (DS) yang beliau terajui. Setelah diselidiki dari perawat DS, mereka agak terkejut dengan penyebaran tulisan yang sedemikian. Nama masyhur aTGHD telah disandarkan bagi menyebarkan ilmu/petua yang mendatangkan bahaya pada diri ini. Mana mungkin setelah kita dipatuk ular senduk, kemudian mengejar ular tersebut pula untuk dapatkan ekornya? Sedangkan tiada lagi terbukti bahawa ekor ular tersebut sebagai penawar. Ianya hanya cakap-cakap petua perbomohan melayu sahaja di zaman dahulu yang agak sukar mendapat akses kesihatan. Apa pun, mungkin petua memakan otak ikan setelah disengat ikan sembilang atau ikan keli, boleh diterima dari segi adatnya kerana tidak melibatkan risiko nyawa atau anggota badan yang binasa. Hatta sengat ikan sembilang tidak pernah membawa maut berbanding dengan sengatan ular senduk.

Terdapat juga ilmu atau petua silam yang diamalkan oleh masyarakat sebelum kelahiran Rasulullah SAW, kemudian ianya dibenarkan oleh Nabi SAW sebagai salah satu kaedah berubat. Ianya bukan arahan wajib sebagaimana wajib melaksanakan aktiviti syarak yang lain. Sheikh Yusuf al-Qaradawi berpendapat kaedah perubatan yang pernah dipraktikkan Nabi SAW adalah budaya perubatan orang Arab dan tidak termasuk dalam sunnah yang disyariatkan Baginda SAW.[1] Begitu juga kaedah-kaedah Yunani atau dari tamadun Cina yang lain, sesetengahnya dibenarkan oleh Rasulullah dan ada juga yang dilarang. Kesemua kaedah tersebut adalah bersesuaian dengan perkiraan zaman di masa berkenaan.

Tidak salah mengamalkannya selagi tidak mendatang mudarat yang boleh bawa maut, anggota menjadi cacat atau akal menjadi bengong. Masalah timbul zaman kini, pesakit cuba mendikotomikan perubatan moden dan perubatan Islam. Lebih menyedihkan apabila para pengamal perubatan Islam / alternatif tersebut terlalu rigid minda, sehinggakan menolak kaedah perubatan lain termasuk perubatan moden. Hal sebegini sepatutnya diperbetulkan oleh para ilmuwan yang sedar berkaitan salah guna kaedah merawat ini. Banyak insiden yang kami temui, pesakit akan berakhir dikatil hospital akibat kesan mudarat. Lihat pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh doktor pakar dan ulama.[2][3]

Terlalu amat malang jika ada golongan yang terus menyandarkan kaedah perubatan itu adalah Perubatan Islam yang datang dari Rasulullah SAW. Kecualilah ianya dinyatakan secara jelas disebut oleh Rasulullah SAW seperti berbekam, madu dan beberapa kaedah lain lagi. Itupun perlu dilihat secara tafsiran yang jelas oleh para alim ulama, bukan menafsirnya secara literal.[4]

An Nadwi ada memberikan garis panduan melalui kitabnya Al Qawaid al Fiqhiyyah berkaitan pengambilan hukum adat atau petua ini. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

1-Tidak bercanggah dengan Quran dan Hadis.

2-Adat itu tersebut dilakukan berulang kali.

3-Adat tersebut telah diamalkan dan sedang diamalkan, bukannya akan diamalkan.

4-Tidak berlawanan dengan persetujuan antara dua pihak.

Ini kerana hukum adat ini mempunyai peranan tertentu yang boleh mendatangkan manfaat hukum tersendiri dalam menyelesaikan masalah ummah. Adat menjadi rujukan kepada ahli hukum sebagai:

1-Menafsirkan nas-nas syarak yang umum seperti kadar mas kahwin dan cara menafkah keluarga.

2-Rujukan kepada kajian semula fatwa yang bersumberkan adat yang diputuskan sebelumnya, jika adat sudah berubah, maka fatwa juga akan berubah, sebaliknya jika adat kekal seperti sebelumnya, fatwa tidak boleh dipinda.[5]

Sekian

Suhazeli Abdullah

fb.com/drsuhazeli

suhazeli.com

Rujukan

[1] Ceramah Syeikh Yusof Qordawi. https://www.youtube.com/watch?v=BILrge3HDlU

[2] Petua daun rerama. https://www.facebook.com/rafidah72/posts/10210600218174816

[3] Sakit kronik ubat ajaib. http://suhazeli.com/wp/?p=2174

[4] Hadis-hadis perubatan bercanggah dengan Perubatan moden? http://suhazeli.com/wp/?p=2046

[5] al Qawaid al Fiqhiyyah oleh al Nadwi ( 1994 ), cetakan Darul Qalam, Syiria.

-القواعد الفقهية لعلي أحمد الندوي ( 1994م ) دار القلم دمشق.

Tuntutan Palsu dan Auta

Jabatan Kesihatan Pulau Pinang berjaya merampas produk kesihatan yang mendakwa penyembuh pelbagai penyakit termasuk kanser.

Atas slogan madu itu ubat segala penyakit kecuali mati, peniaga sanggup menggunakan agama demi melariskan jualan.

Mendakwa sesuatu produk boleh menyembuh penyakit adalah salah dari sudut perundangan kerana bahan tersebut tidak pun terbukti secara saintifik menyembuhkan segala penyakit.

Baca lanjut: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/01/408292/penawar-segala-penyakit-konon

Pati Lemon, Halia, Bawang Putih, Cuka Epal Ubat Jantung Tersumbat?

*#Ramuan_Jantung_Tersumbat*

Sekali lagi ruang maya diterjah dengan petua pati jus bagi mengubati penyakit-penyakit kritikal seperti sakit jantung, kanser, kencing manis, bauh pinggang dan sebagainya. Terbaharu adalah mesej tular yang menceritakan seorang pendakwah dari Malaysia yang katanya mengalami sakit jantung ketika menjalankan aktiviti dakwah beliau di Sahiwaal Pakistan.

Tulisan beliau agak kurang jelas bentuk rawatan dari awal setelah bertemu doktor, tetapi menceritakan bahawa penyakit jantung tersumbat (3 vessel disease) pulih sepenuhnya setelah mengamalkan ramuan herba yang disarankan oleh rakan sejemaah.

Sebaran tulisan yang hampir sama dengan cerita di atas bermula dengan tulisan blog serta email sekitar tahun 2011 lagi. Terdapat pautan yang mendakwa Prof Dr S. Vikineswary yang menyebarkan khasiat ramuan herba rebusan pati Jus Lemon-Halia-Bawang Putih-Cuka Epal dan di campurkan dengan madu (LHBPCE+M). Sesiapa yang beramal meminum sesudu-meja (tablespoon) ramuan tersebut, pembuluh darah (vena) akan terbuka. Namun beliau telah menafikan kenyataan tersebut berasal dari beliau.[1] Malah beliau menafikan sekeras-kerasnya apa-apa kajian yang berkaitan dengan ramuan tersebut.

Kemudian tahun 2013 pula tersebar lagi cerita yang hampir sama. Iaitu seperti cerita seorang pendakwah tabligh yang mengalami sakit jantung di Pakistan seperti seperti tulisan di atas. Terdapat dua versi penceritaan, iaitu bahasa inggeris, kemudian diterjemah ke bahasa melayu. Cuma sukatan ramuannya sedikit berbeza, dari 1 sudu meja ke 3 sudu teh (walaupun jumlah sama).

Ayat ‘clue’ yang biasanya menjadi garis-pendesak kepada sesiapa yang membaca artikel itu akan tertarik adalah “Doktor pun TERKEJUT, duit dikembalikan dan pesakit diminta pulang”. Beliau telah sembuh sepenuhnya.

Saya mungkin tidak mahu mengulas siapa watak yang terlibat dalam penceritaan sedemikian. Mungkin kisahnya benar, dan mungkin ianya ditokok tambah. Saya tidak menafikan kuasa penyembuh adalah dari Allah, kita sebagai manusia wajib berikhtiar. Benar kemungkinan pesakit tersebut sembuh sepenuhnya dari jantung tersumbat hasil dari ikhtiar berkenaan. Setiap orang diberi kelebihan, dan beliau telah diberi karomah atas ikhtiar serta doa sebagai seorang pendakwah. Akan tetapi, kes seperti ini tidak boleh disamaratakan (generalization) kepada masyarakat terbanyak. Keistimewaan tersebut tidak mungkin kena pada semua orang, sebagai orang awam.

Adakah saya menolak ikhtiar sedemikian? Tidak. Manusia diberi ruang untuk berikhtiar mengubati penyakit, lakukanlah tanpa segan. Selagi ianya tidak menjatuhkan kita ke lembah mudarat, tidak melanggari syariat (bukan kerana terdesak) atau tidak melanggari akidah. Maka teruskanlah. Pati rebusan Jus Lemon-Halia-Bawang Putih-Cuka Epal-madu ini mungkin enak rasanya.

Pun begitu, ikhtiar manusia itu wajib mengikuti kaedah yang ditentukan oleh agama itu sendiri. Sumber berikhitar perlu ada asas yang ampuh bagi menyatakan ia telah berkesan kepada banyak orang. Di sinilah letaknya kajian secara objektif. Berapa peratus yang telah benar-benar berjaya sembuh melalui sesuatu kaedah tersebut. Bukan pula testimoni kerana kaedah testimoni adalah subjektif, bias, condong dan tiada asas kukuh.[2]

Berkaitan isu pati rebusan Jus Lemon-Halia-Bawang Putih-Cuka Epal-madu ini, hasil dari carian jurnal perubatan saya menemui satu tulisan terbaharu (2016) oleh Naseem E dan rakan-rakan.[3] Kajian beliau ke atas 24 ekor arnab putih ( 8- kontrol; 8 – beri diet berlemak; 8- beri diet berlemak dan pati jus LHBPCE+M). Beliau mendapati 8 ekor arnab putih yang diberi pati jus Lemon-Halia-Bawang Putih-Cuka Epal-madu turun paras lemak dalam badan dalam tempoh 24 hari. Lantas membuat kesimpulan kasar bahawa Pati Jus LHBPCE+M boleh mengawal jantung (cardio-protective) dari terkena serangan. Setakat ini Pati Jus berkenaan tiada lagi dibuat kajian fasa I hingga IV ke atas manusia.[4] Kenapa tidak dilakukan kajian atas manusia? Mungkin ianya tidak berbaloi dengan kecanggihan dunia kini. Paling tidak sekurang-kurangnya setiap negeri dalam negara kita sudah mempunyai Unit Perawatan Jantung dan Pakar yang bertahun praktis lamanya. Serahkan kepada ahli untuk merawat, kemudian bertawakkallah.

Kesimpulan: Tiada kajian penuh yang mengsahihkan Pati Jus Lemon-Halia-Bawang Putih-Cuka Epal-madu boleh membuang jantung tersumbat. Malah kaedah angio juga akhirnya boleh membantu kesakitan pengidap sakit jantung. Minum boleh pati jus tersebut, tapi jangan percaya boleh mengubat jantung tersumbat.

Pautan:
[1] Penafian Prof Dr S. Vikineswary. http://ujale-ki-aur.blogspot.my/2011/11/fw-fw-no-need-for-angiography-or-bypass.html
[2] Testimoni bukan Kajian Saintifik. http://suhazeli.com/wp/?p=141
[3] NASEEM E, SHAMIM M, KHAN N. CARDIOPROTECTIVE EFFECTS OF HERBAL MIXTURE (GINGER, GARLIC, LEMON, APPLE CIDER VINEGAR & HONEY) IN EXPERIMENTAL ANIMAL MODELS OF HYPERLIPIDEMIA. Int. J. Biol. Res. 2016;4(1):28-33. http://www.brc.edu.pk/wp-content/uploads/2016/11/6-Cardio-protective-effects-of-herbal-mixture-ginger-garlic-lemon-apple-cider-vinegar-honey-in-experimental-animal-models-of-hyperlipidemia.pdf
[4] Kaedah kajian Saintifik. http://suhazeli.com/wp/?p=2224

Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
fb.com/drsuhazeli
suhazeli.com

14.2.2017
Kuala Abang