Posts

Kaedah Pembuktian Kajian Saintifik dalam Perubatan

Ilmu perubatan terdapat beberapa tingkat pembuktian berdasarkan bukti bukti yang diperolehi.
Tingkat pembuktian adalah seperti berikut:
1a. Peringkat pembuktian Aras 1a;

Bukti yang di dapati mestilah melalui meta analysis di mana berpuluh-puluh atau beratus kajian digabungkan semuanya dan dianalisa semula. Tujuannya ia untuk melihat sejauh mana sesuatu kajian itu dijalankan dengan telus tanpa sebarang bias (berat sebelah) dan sesuatu keputusan atau dapatan itu konsisten pada semua kajian tersebut sehingga satu kesimpulan yang amat meyakinkan boleh dibuat dan dijadikan amalan baru dalam perubatan.

1b. Pembuktian Aras 1b

Bukti yang di dapat daripada satu atau beberapa kajian yang dibuat secara random dan tidak bias. Ia bertujuan supaya sebarang kesimpulan dapat dibuat dengan tepat dan betul.

2. Pembuktian Aras II

Bukti kajian yang dijalankan secara prospektif atau case control, di mana setiap kes atau penyakit yang dikaji akan mempunyai kawalan (e.g orang yang sihat atau relatif sihat) sebagai perbandingan untuk memastikan kesimpulan yang dibuat tepat terhadap sebarang hasil kajian.

3. Pembuktian Aras III

Terdapat kajian yang di jalankan tetapi tidak mempunyai dirawakkan secara betul, atau kajian yang tidak mempunyai kawalan (control). Atau kajian yang hanya membuat pemerhatian sahaja dan melihat hubungkait sesuatu perkara atau penyakit dengan faktor-faktor yang mungkin berkaitan.

Pembuktian secara kajian sebegini juga rendah nilainya dan biasanya digunakan sebagai maklumat awal dalam amalan perubatan.

4. Pembuktian Aras IV

Bukti yang didapati daripada pengalaman mengendalikan kes kes (case series) atau himpunan pandangan sejumlah pakar-pakar yang sangat berpengalaman. Ini merupakan peringkat pembuktian yang paling rendah dalam bidang perubatan dan tidak boleh dijadikan asas untuk membuat sebarang perubahan dalam polisi kesihatan.

Kenapa Tiada Kajian atas Ubatan Sunnah?

Saya terima soalan dari netizen mengenai ubat-ubatan yang digunakan oleh orang ramai.
Soalan:
Dr. Pihak tuan memang tak pernah buat kajian ker atas Habbatus Sauda, Madu, Arabic Gum, Organik Pure Vinegar, Minyak Zaitun? Semua ni memang tak berguna langsung ker untuk kurangkan gejala penyakit. Kalau ada bagaimana?

Jawapan:
Saya yang berada diklinik kesihatan tidak membuat kajian secara khusus ubat-ubatan yang digunakan, kerana saya juga pengguna (end user). Kecuali terlibat dalam kajian klinikal (clinical trial) sesuatu ubat yang baru dalam proses pengsahihan keberkesaan, keselamatan dan kualiti. Ubatan untuk clinical trial ini sudah melepasi pra klinikal, fasa 1 dan 2 kajian yang dijalankan oleh pengkaji ubat.

Dalam dunia perubatan, apabila dakwaan sesuatu bahan itu boleh merawat atau mengubat sesuatu penyakit, maka dakwaan itu perlu dikemukakan bukti sahih dari kajian emperikal yang dijalankan. Termaktub dalam kaedah perubatan bahawa pembuktian itu wajib melalui fasa-fasa sebelum ianya berkesan dan selamat digunakan. Fasa kajian terbahagi kepada 5; Pra-Klinikal, Klinikal (Fasa 1 – 3) dan Pos-Kelulusan penggunaan. Setiap fasa ini penting bagi menjamin ketelusan, keselamatan dan keberkesanan ubat yang dipasarkan. Tindakan menarik balik kelulusan ubat boleh dikeluarkan dalam mana-mana fasa tersebut jika berlaku sesuatu yang tidak diingini ke atas ketelusan, keselamatan dan keberkesanan ubat.

Kaedah ini digunapakai kepada semua jenis ubat moden dan ubatan alternatif kerana dakwaan sesuatu ubat boleh menyembuhkan penyakit memberikan implikasi besar kepada pesakit.

Amalan yang biasa dijalankan adalah, pihak yang mendakwa sesuatu bahan/ubat itu boleh merawat penyakit, maka boleh dikemukakan dokumentasi mereka kepada Badan Berkuasa Kawalan Dadah Kebangsaan KKM. Di sana pihak yang menemui atau mencipta ubat tersebut diberi peluang untuk pembentangan akan profile produk, mekanisma ubat, cara penggunaan, keberkesaan, keselamatan dan ketelusan.

Jika ianya benar-benar memenuhi kriteria yang ditetapkan itu, tiada masalah untuk digunakan dalam premis kesihatan atau dijual difarmasi-farmasi seluruh negara.

Malah saya pun teruja ingin menggunakannya.

Suhazeli Abdullah
Insan Faqir
Fb.com/drsuhazeli

23.1.2017
Dungun