Posts

Itali Tetap Wajibkan Vaksin

Menarik sungguh tindakan yang dibuat oleh pihak berkuasa Itali. Walaupun kerajaaan memerintah itu pro kepada kumpulan antivaksin, namun kesihatan rakyat tetap diutamakan.

Berita terkini, Kenyataan dari Menteri Kesihatan Giulia Grillo bertegas untuk meneruskan undang-undang “No Vaccine No School” yang diluluskan oleh Menteri Kesihatan sebelum PRU lepas, Lorenzim.[1] Penegasan ini dibuat demi penjagaan kesihatan rakyat mereka yang sekarang ini diancam wabak penyakit terutamanya penyakit campak.

.

Undang-undang tersebut menetapkan:

1] Kanak-kanak yang berumur kurang dari 6 tahun tidak dibenarkan masuk pra-sekolah jika tidak mengemukakan bukti suntikan imunisasi dalam kad kesihatan masing-masing.

2] Kanak-kanak yang berumur 6 hingga 16 tahun dibenarkan masuk sekolah. Tetapi mana-mana ibubapa yang tidak dapat membuktikan pemberian vaksin anak-anak mereka akan didenda €500.

.

Berita ini ditentang hebat oleh antivaksin. Mereka cuba membawa hujah kajian palsu yang dibuat oleh CORVELVA.[2] Namun Menteri Kesihatan tidak terpengaruh dengan hujah rapuh mereka. Ini kerana kajian tersebut bukan dibuat oleh badan berautoriti. Kajian syok sendiri itu dibuat oleh kumpulan antivaksin, dan membuat sebaran maya sesama mereka dengan niat menakut-nakutkan ibubapa terhadap vaksin. Malah kajian tersebut berselindung atas nama Corvelva, tidak sorang pun dinamakan pakar mana yang terlibat dalam kajian. Metodologi kajian yang digunakan pun tidak melepasi taraf pelajar sekolah menengah pun.[3] Inilah tipikal perangai antivaksin seluruh dunia. Malaysia pun begitu, sebaran maya berkaitan antivaksin biasanya dibuat oleh akaun palsu ataupun jenis salin-tampal artikel yang mereka sendiri tidak faham isi tulisan yang dikongsi.

.

Sekian berita terkini dibawa oleh suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

13.3.2019

Kuala Dungun

.

Pautan:

[1] Kerajaan Italy Teruskan Wajib Vaksin. https://www.bbc.com/news/world-europe-47536981

[2] Kajian Corvelva. https://www.ageofautism.com/2018/12/corvelva-vaccinegate-gsks-infanrix-hexa-exposed.html

[3] Kritikan atas kajian Corvelva. https://www.skepticalraptor.com/skepticalraptorblog.php/vaccine-pseudoscience-corvelva-anti-vaccine-researchers/

Sejarah Hitam Tercatat Akibat Lantik Vaksin-skeptik Sebagai Pemimpin

Semoga sejarah ini diambil iktibar seluruh dunia apabila kerajaan baharu Italy memecat pakar-pakar yang membuat polisi kesihatan negara.[1] Gerakan antivaksin dinegara terbabit terlalu kuat mendesak sehingga memberikan tekanan kepada ahli-ahli politik yang bertanding untuk memerintah Italy. Kempen-kempen pilihanraya Umum di Italy sebelum 4 Mac 2018 lalu termuat janji-janji yang ingin mengkaji semula polisi kerajaan semasa mengenai vaksin.
Penyakit Campak meningkat secara mendadak ke seluruh Eropah sejak 2015 hingga sekarang. Dua negara yang meningkat lebih dari 3 kali ganda iaitu Romania dan Itali. Perkara ini membimbangkan para pakar yang membuat polisi kerajaan, kerana dengan jumlah peningkatan 34% kes penyakit campak di Itali boleh meruntuhkan kesihatan negara. Rakyat yang dijangkiti akan terus menjadi tidak produktif, manakala rakyat yang belum lagi dijangkiti berada dalam serba ketakutan.[2] Statistik wabak campak tahun 2017 di Itali amat menakutkan, dari jumlah 5006 kes campak, 89% daripadanya adalah tidak disuntik vaksin.
Justeru kerajaan pemerintah pada masa tersebut telah menetapkan polisi setiap kanak-kanak yang ingin mendaftar di sekolah wajib menunjukkan bukti dari doktor bertauliah bahawa mereka telah diberi vaksin yang lengkap. Ini bermakna, vaksin wajib diberikan kepada anak-anak sebelum memasuki zaman persekolahan.[3] Sejarah tercatat bahawa pada tahun 2017, negara Itali adalah ketiga tertingggi penyakit campak selepas Romania dan Greece di benua Eropah. Para pemimpin pada masa tersebut mengeluarkan kenyataan bahawa kes campak di Itali sudah pun sama tara dengan negara mundur seperti Namibia dan Ghana. Keadaan ini amat membimbangkan. Sehinggakan Mexico menetapkan polisi supaya rakyatnya wajib diberi vaksin campak sebelum melancong ke Italy.
, Namun isu ini menimbulkan kemarahan segelintir rakyat yang dipelopori oleh kumpulan tegar antivaksin dinegara terbabit. Mereka mengambil peluang dari kemelut pemilihan pemimpin semasa plihanraya untuk mengetengahkan idea jumud mereka. Akhirnya terdapat para pemimpin tertentu yang mencari populariti menggunakan isu vaksin yang kononnya bahaya demi meraih undi rakyat.
Pilihanraya di Itali menunjukkan tiada parti yang dominan boleh memerintah dengan kukuh. Antara tiga parti yang besar telah berunding untuk membentuk satu pakatan, akhirnya 1 jun baharulah terbentuk satu pakatan dengan harapan boleh membina Itali baharu. Tetapi malang, parti populis 5 Star Movement (M5S) yang sebelum ini lantang memihak kepada kumpulan antivaksin diberi madat utama. Akhirnya mengubah polisi kesihatan terutamanya berkaitan dengan vaksin. Tindakan terbaharu mereka pada awal januari 2019 ini adalah memecat 30 ahlijawatankuasa pakar teknikal-saintifik polisi kementerian kesihatan Itali. Dengan terpecatnya para pakar ini, Itali berada dalam keadaan yang tidak menentu dari sudut polisi-polisi yang sedia ada termasuklah pemberian vaksin kepada anak-rakyat mereka. Sesungguhnya berita pemecatan ini menjadi satu sejarah hitam dunia. Disaat seluruh dunia bergelut dengan kenaikan kes mendadak penyakit cegahan vaksin seperti Campak, pertusis, Difteria dan lain-lain lagi, tetapi terdapat negara yang membuat keputusan mundur ke belakang seperti Itali.
Adakah ini satu kejayaan kumpulan antivaksin? Atau satu kemalangan kepada semua pakar perubatan seluruh dunia? Sasaran WHO bagi menghapuskan penyakit campak 2025 nampaknya semakin kelam. Bagaimana pula dengan penyakit-penyakit cegahan vaksin lain? Semoga Malaysia baharu tidak mengikuti jejak langkah vaksin-skeptik di Itali.
Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
9.1.2019
Jerangau
Pautan: