Posts

Ganja Rangsang Saraf Otak Mati

Pesanan saya kepada geng ganja supaya jangan cepat melompat gembira dengan laporan akhbar ini.[1] Tolong baca satu persatu apakah isi yang ingin disampaikan oleh pangkaji dari UPM itu.

1. Kajian atas tikus itu melihat berlakunya rangsangan saraf otak yang sudah mati. Satu pernyataan yang agak keliru, kerana mekanisma penyakit alzheimer adalah kompleks dan bukannya berpunca dari sel otak yang mati semata-mata.[2] Walaubagaimanapun kajian ini telah membuka satu dimensi baru kepada para pengkaji untuk meneruskan fasa kajian lebuh lanjut ke atas manusia. Namun kita tidak boleh melompat membuat kesimpulan bahawa ganja boleh digunakan untuk merawat sel otak yang mati bagi pesakit Alzheimer atau nyanyuk manusia buat masa ini. Jika penyakit nyanyuk tikus mungkin boleh, sebab kajian UPM itu dijalankan ke atas tikus.

2. Lihat dos yang digunakan. Sepertimana biasa kita selalu sebut “The Dose Make The Poison”, dimana, apa sahaja ubatan yang diberikan kepada pesakit adalah dalam bentuk yang tersukat setelah menjalani kajian-demi kajian. Kajian-kajian itu dibuat bagi memastikan sesuatu bahan selamat dan sedikit kesan sampingan jika ada untuk kegunaan manusia secara umum. Kajian ganja yang diberitakan oleh pensyarah UPM itu juga menilai tahap dos yang tertentu. Prof Dr Mohamad Aris berkata, kanabis pada dos rendah boleh memberi kebaikan daripada sudut kesihatan tetapi mendatangkan kemudaratan sekiranya diambil melebihi 2mg/kg. Kajian ini dibuat atas haiwan bukannya manusia. Empat kumpulan tikus yang menerima suntikan Tetrahidrokannabinol (THC) iaitu sebatian psikoaktif yang diekstrak daripada kanabis pada dos serendah 0.5 miligram (mg), 1.0 mg, 1.5 mg dan 2.0mg/kilogram (kg). Sekali lagi, kita tidak boleh melompat gembira bahawa ganja boleh diberi kepada manusia yang waras pemikirannya.

3. Beliau tidak pun menyimpulkan hasil kajian atas manusia. Cuma memberi andaian jika sekiranya terbukti boleh merangsang sel saraf baharu, ini bermakna kanabis boleh digunakan untuk merawat pesakit alzheimer atau nyanyuk yang berpunca daripada saraf otak mati?

4. Kajian ganja itu diberikan kepada tikus normal dengan andaian sel otak boleh terbina terhadap tikus yang mempunyai masalah nyanyuk dalam dos yang tersukat. Tidak semudah itu boleh dibuat konklusi untuk manusia, kajian lanjut atas manusia diperlukan. Cuma adakah berbaloi untuk dibuat kajian ke atas manusia di saat ramai yang cuba mengambil kesempatan untuk mengambil nikmat khayalnya THC itu melebihi dos yang sepatutnya?

5. Apa yang dperhatikan atikel eksklusif ini mungkin sebenarnya terbit dari agenda rentetan dari segelintir individu yang ingin menghalalkan ganja dalam negara kita. Mereka telah memetik keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan Thailand dalam isu menghalalkan ganja perubatan pada awal tahun 2019.

Pegang konsep ini betul-betul; Cuba teliti kaedah membuat kajian sains perubatan, kajian ganja yang dilaporkan di atas sama tarafnya dengan kajian herba lain. Sama seperti kajian yang telah dibuat ke atas Durian Belanda, Daun Rerama dan beberapa herba lain lagi. Terdapat sebahagian besar herba yang baharu sahaja memasuki fasa 1 (ujikaji piring pateri makmal dan haiwan), tetapi belum pun lulus di tahap yang seterusnya terutamanya kajian ke atas manusia dalam skala yang ramai.[3] Tetapi dek kerana publisiti yang telah dibuat oleh media utama tanpa melihat kepada konsep sebenar kajian dalam perubatan, mereka sudah mendakwa bagai. Malah terdapat di antara jurujual yang mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan hasil dari promosi di media massa dan media maya. Masyarakat yang tidak mengetahui konsep kajian itu terus dikelentong atas nama sains.

Sekian teguran dari suhazeli.com.

fb.com/drsuhazeli

30.1.2019

Jerangau

Pautan:

[1] Marijuana Rangsang Saraf. https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2019/01/524836/eksklusif-marijuana-bantu-rangsang-saraf-otak-mati

[2] Jeffrey L. Cummings, Harry V. Vinters, Gregory M. Cole, Zaven S. Khachaturian. Alzheimer’s Disease. http://www.neurology.org/content/51/1_Suppl_1/S2.short

[3] Tujuan Kajian atas Haiwan. http://www.animalresearch.info/en/designing-research/why-animals-are-used/

Rokok vs Ganja

Marijuana dan rokok, mana lebih berbahaya?

1. Asap hasil dari pembakaran marijuana menghasilkan kandungan toksin dan karsinogen seperti rokok.

2. Penghisap marijuana biasanya akan menyedut asap dengan lebih dalam menyebabkan pencemaran asap yang lebih teruk berbanding rokok.

3. Asap hasil hembusan marijuana mengandungi toksin dan karsinogen yang sama atau lebih dan berisiko mendatangkan kesan kepada perokok marijuana pasif.

4. Menghisap marijuana mendatangkan kecederaan kepada paru-paru dan menyebabkan bronkitis kronik, batuk dan kahak.

5. Marijuana juga melemahkan sistem imun badan untuk melawan penyakit.

6. Penghisap marijuana eksklusif (marijuana- only) didapati lebih kerap datang ke fasiliti kesihatan akibat masalah pernafasan berbanding perokok.

Bagi saya, dari sudut kesihatan semata-mata, ia nampak hampir sama bahaya. Namun begitu, kesian ketagihan marijuana bukan hanya sekadar ke atas individu.

Ia turut mendatangkan kesan sosial yang berupaya memberikan implikasi buruk terhadap komuniti.

Adakah marijuana selamat dan tidak berbahaya? Jelas, marijuana berisiko dan tidak selamat digunakan secara bebas.

Adakah ia boleh digunakan untuk merawat penyakit? Ya, untuk beberapa indikasi, sebagai rawatan sokongan terutamanya dalam bentuk dos farmaseutikal.

Adakah Malaysia ada undang-undang untuk mengawal penggunaan marijuana dalam bidang perubatan? Ya, akta sedia ada membolehkan produk berasaskan ganja didaftarkan sekiranya mencapai spesifikasi yang ditetapkan. Malah produk Sativex pernah didaftarkan di negara ini.

Adakah perlu hukuman ke atas kesalahan berkaitan ganja dikaji? Saya serahkan kepada pakar undang-undang dan bidang yang berkaitan.

Fahmi Hassan

Pharmacist

www.fahmihassan.net

Kerajaan Digesa Tegas Mengharamkan Ganja

Kita bimbang dengan gerakan yang cuba dibuat oleh ahli politik sekarang ini yang cuba menghalalkan penggunaan ganja dalam perubatan.[1] Walaupun atas alasan manfaat perubatan, tetapi ianya masih lagi menjadi satu kesangsian kita kerana akan berlaku penyalahgunaan ganja pada kemudian hari.[2] Maklumat yang kita perolehi, kumpulan yang bersungguh-sungguh sangat menghalalkan ganja itu dipelopori oleh pemain-pemain industri ganja antarabangsa. Penjualan ganja secara rekreasi yang akan menggunakan kelemahan penguatkuasaan kerajaan setelah menghalalkan ganja perubatan nanti. Tidak mustahil jika menghalalkan ganja perubatan akan menjadi kemasukan terus menjual secara berleluasa ganja rekreasi. Ianya akan membuka ruang kepada mudarat yang lebih besar dalam masyarakat jika tidak dipantau dengan tegas.[3] Kita boleh lihat sendiri contoh penagihan morfin dan heroin tetap berlaku, walaupun kawalan dan kebenaran penggunaan dadah itu secara perubatan.

Kita menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia terus utuh dengan keputusan yang dibuat selama ini. kita akan terus menyokong kenyatan terbaharu oleh Timb Menteri Kesihatan Malaysia Dr Lee Boon Chye agar mana-mana pihak yang merasakan ganja perubatan itu bermanfaat tampil ke depan untuk kemukakan kajian mereka. Agensi Regulatori Farmasi Kebangsaan (NPRA) sedia sahaja mendengar penghujahan yang dibuat oleh industri terbabit jika benar ganja itu memberikan manfaat kepada perubatan dan kesihatan negara..[4] Penegasan yang sama telah juga Ketua Pengarah Kanan Bahagian Farmasi Malaysia Dr Ramli Zainal dan Polis Di Raja Malaysia.[5,6]

Sebagaimana yang kita sedia maklum, setakat ini ganja adalah lebih mudarat dari manfaat.. Banyak laporan dan kajian para doktor seluruh dunia sudah pun dilakukan. Terdapat sedikit manfaat yagn sudah pun dicatat oleh para pengkaji. Justeru, Pihak berkuasa Makanan dan Dadah (FDA) hanya meluluskan penggunaan ganja perubatan (Cecair CBD) berjenama Epidiolex®️ untuk rawatan penyakit Sawan teruk kanak-kanak (Dravet syndrome dan Lennox-Gastaut syndrome). Manakala United Kingdom, Canada, beberapa negara Eropah meluluskan ubat berasaskan minyak CBD bernama nabiximols (Sativex®️). kita menegaskan bahawa negara ini tidak perlu menanam ganja atas alasan ingin menjalankan kajian. Keputusan yang telah dibuat oleh badan berkuasa dunia (FDA) dari WHO itu sudah memadai. Perlu diingat bahawa kebenaran atau halalkan ganja bagi kegunaan perubatan berbeza halalkan untuk tujuan kajian perubatan.

Kebimbangan kita berasas, kerana beberapa ahli politik yang menyuarakan hasrat menghalalkan ganja itu beralasan; penanaman ganja membolehkan pendapatan rakyat meningkat. Alasan ini bukan bertujuan untuk manfaat perubatan pun tetapi terdapat agenda lain yang boleh mengelirukan. Lihat kenyataan Senator Yb Datuk Husam Musa seperti kenyataan akhbar Utusan Malaysia 2 Oktober 2018 lalu.[6] Begitu juga kenyataan Yb Dr Azman Ismail (PH Kuala Kedah) dalam Harian Metro 15 November 2018 lalu. Yb Nurul Izzah Anwar juga beberapa kali dalam media sosial beliau mengutarakan isu yang sama. kita bimbang jika tekanan yang kuat dari ahli-ahli politik tersebut akan menenggelamkan fakta benar hasil kajian yang telah dan sedang dijalankan oleh ahli perubatan seluruh dunia.

suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

14.1.2019

Ketengah Jaya

Pautan

[1] Husam Sedia Bentang Teknologi Ganja. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/12/513325/husam-sedia-bentang-teknologi-ganja-kesihatan

[2] Medical Marijuana. https://www.drugabuse.gov/publications/drugfacts/marijuana-medicine

[3] Tangkapan penyeludup ganja. https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/10/481158/ganja-rm630250-dirampas

[4] Kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia. https://www.nst.com.my/news/nation/2018/12/444065/drug-company-must-come-own-research-if-they-wish-use-marijuana

[5] Kenyataan Rasmi Ketua Pengarah Farmasi Malaysia. https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/12/16/clearing-the-haze-of-medical-marijuana-there-is-no-legal-barrier-for-companies-to-market-marijuanaba/#VkcehVQ6iapPfWOe.99

[6] Ganja Mampu Tingkat Pendapatan. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ganja-kesihatan-banyak-kelebihan-mampu-tingkatkan-pendapatan-rakyat-1.758932

[7] Polis Tidak Setuju Halalkan Ganja. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pdrm-tidak-setuju-penggunaan-ganja-untuk-tujuan-perubatan-194695#.XChGib-VU44.whatsapp

Kanada pun Tidak Suruh Guna Ganja Perubatan

Oleh En Fahmi Hassan | Ahli Farmasi KKM

Betul tuan-puan, Kanada bukan sahaja telah mengiktiraf ganja untuk kegunaan perubatan, malah untuk tujuan rekreasi juga. Tapi benarkah dengan legalisasi ini membuktikan yang marijuana berkesan untuk merawat penyakit?

Dalam bidang perubatan, kebiasaannya akan ada panduan untuk pemilihan rawatan bagi sesuatu penyakit. Panduan ini dipanggil sebagai CLINICAL PRACTICE GUIDELINE (CPG). Ia adalah satu dokumen yang ditulis oleh sekumpulan pakar dalam bidang bagi menilai bukti-bukti sedia ada tentang rawatan tersebut.

Pada bulan Febuari 2018, Canadian Family Physician telah mengeluarkan untuk para doktor mempeskrib marijuana bagi tujuan perubatan. Canggih kan? Sekiranya anda berminat, boleh baca dokumen tersebut di pautan ini:

http://www.cfp.ca/content/cfp/64/2/111.full.pdf

Sebelum saya tunjuk apa yang tertulis di dalam CPG tersebut, ingat beberapa perkara ini. Pertama, Kanada MENGIKTIRAF dan MELULUSKAN penggunaan marijuana untuk bidang perubatan. Kedua, dokumen ini disediakan oleh ahli-ahli profesional kesihatan di Kanada sendiri.

Jelas?

Berikut adalah beberapa ‘highlights’ dari dokumen tersebut:-

1. “General recommendation: We recommend AGAINST use of medical cannabinoids for most medical conditions owing to lack of evidence of benefit and known harms (strong recommendation)”.

Penggunaan marijuana TIDAK DICADANGKAN bagi majoriti penyakit kerana KEKURANGAN BUKTI dan RISIKO.

2. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan sakit akut.

3. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan sakit kepala.

4. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan kesakitan rheumatologi.

5. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan kesakitan neuropathic.

6. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan kesakitan disebabkan kanser/paliatif.

7. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan loya dan muntah umum.

8. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan loya dan muntah semasa mengandung.

9. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan first-line dan second-line loya dan muntah akibat kemoterapi.

10. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan penyakit spastik am.

11. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan penyakit spastik akibat dari kecederaan saraf tunjang atau multiple sclerosis (MS).

Wah! Negara yang halalkan marijuana perubatan pun sebenarnya tak cadangkan penggunaannya! Jadi tak salahlah jika ada negara yang tak benarkan penggunannya. Kerana ia tidak terbukti secara saintifik berkesan seperti yang diwar-warkan.

Apa yang dicadangkan dalam CPG tersebut adalah menggunakan medical marijuana hanya sebagai RAWATAN TAMBAHAN dalam rawatan kesakitan neuropathic, kesakitan paliatif, loya dan muntah akibat kemoterapi dan spastik bagi pesakit MS atau yang cedera saraf tunjang sekiranya rawatan sedia ada tidak berkesan. Rujuk gambar yang dimuatnaik.

Itu pun yang dicadangkan adalah penggunaan NABILONE atau NABIXIMOLS. Produk ini rasanya boleh didaftarkan di dalam Malaysia berasaskan akta sedia ada. CPG juga MENOLAK penggunaan marijuana dalam bentuk yang dihisap.

Kesimpulan yang ditulis dalam dokumen tersebut berbunyi begini:

“The evidence for medical cannabinoids is unfortunately sparse in many areas and very frequently downgraded by serious bias, limiting the ability to provide clear guidance. Overall, the PGC believed that medical cannabinoids are not recommended for most patients and conditions by far.”

Ia sama dengan pendirian majoriti ahli profesional kesihatan di sini. Bukti keberkesanan marijuana perubatan adalah tidak kuat dan ia tidak dicadangkan untuk majoriti pesakit atau penyakit setakat ini.

Dengarlah cakap pakar-pakar di Kanada jika tak mahu dengar cakap pakar di Malaysia.

Fahmi Hassan

Pharmacist

fahmihassan.net

fb.com/fahmiabad

twitter.com/fahmibinhassan

Ganja sebagai Ubat?

Ketegasan KKM dalam menentukan penggunaan ganja sebagai ubat adalah penting bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar. Kita tidak perlu terikut dengan negara jiran seperti Thailand. Kebenaran menggunakan ganja perubatan itu adalah saingan industri.

Sekali lagi ditegaskan, jika ganja mempunyai dakwaan boleh merawat, sila bawa bukti kepada KKM untuk diluluskan.

Syarikat yang nak bawa masuk ganja sebagai ubat itu kena sampai berjaya berdaftar dengan KKM dibawah NPRA. Kalau tak berjaya daftarkan, tak boleh la guna bahan berkenaan. So in the first place buat semua benda tu dulu. Selesai didaftarkan, profesional kesihatan sahaja boleh handle. Bukan sembarangan orang entah sesiapa sahaja. Kalau betul nak guna ganja dengan cara yang betul, kena setuju lah dengan perkara ini.

Dalam perubatan, kajian terhadap bahan yang akan digunakan sebagai ubatan hendaklah melalui kajian klinikal berupa controlled trial. Ia adalah kajian sekurang-kurangnya bertahap Evidence Level II. Semua ubat-ubatan moden di pasaran, hatta Paracetamol pun, telah melalui proses yang serupa. Begitu juga ubatan berasaskan ganja seperti Sativex. Kajian berupa case report dan case series, apatah lagi kajian makmal atau kajian ke atas haiwan tidak cukup kuat untuk membuktikan keberkesanan dan keselamatan sesuatu bahan kepada tubuh badan manusia.

Saya lega dengan keputusan terbaharu KKM berkaitan isu ganja ini.

Baca:

PUTRAJAYA: Health Ministry today said cannabis oil can only be used for research and not as alternative medicine. Untuk buat research pun kena melalui proses-proses tersendiri. Tidak boleh sesekali jadikan entry ini untuk legalisasikan ganja secara meluas.

https://www.nst.com.my/news/nation/2018/09/413001/cannabis-oil-only-research-says-health-ministry

Marijuana: Polemik Medical vs Kumpulan Ketagih?

POLEMIK MARIJUANA MEDIKAL; APABILA DESAKAN UMUM MELAMPAUI PENEMUAN SAINTIFIK

Oleh: Fahmi Hassan

Sains bukan demokrasi. Fakta tidak tertegak kerana ia popular. Fakta sains, seperti mana fakta-fakta yang lain perlu dibuktikan dengan kajian di atas landasan yang betul. Walau ia tidak popular, ia perlu dipertahankan atas alasan kebenaran.

Desakan beberapa tokoh politik untuk menghalalkan penggunaan marijuana bagi tujuan perubatan membuatkan kami tertanya-tanya apakah mereka sebenarnya memahami apa yang mereka katakan. Adakah ia desakan yang dilakukan dengan berasaskan ilmu, atau kerana ia satu idea yang popular.

Awal Jun yang lalu, telah berlangsung mesyuarat World Health Organisation (WHO) Expert Committee on Drug Dependance (ECDD) kali ke 40 di Geneva, Switzerland. Mesyuarat ini dibuat khas untuk membincangkan bukti-bukti saintifik terkini berkenaan kegunaan marijuana untuk tujuan perubatan. Keputusan mesyuarat tersebut kami rumuskan di dalam artikel ini.

Beberapa kategori bahan berasaskan marijuana telah dinilai secara kritikal oleh pakar-pakar ternama dari seluruh dunia yang menjadi ahli di dalam mesyuarat tersebut iaitu:-

• Pohon kanabis dan resinnya

• Ekstrak kanabis

• Delta-9-tetrahydrocannabinol (THC)

• Cannabidiol (CBD)

1) Pohon kanabis dan resinnya

Pohon kanabis mengandungi lebih dari 100 bahan aktif yang telah ditemui. Bahan aktif yang dianggap paling utama dalah CBD dan juga THC. THC dipercayai bahan utama dalam kanabis yang menyebabkan kesan psikoaktif.

Beberapa negara membenarkan penggunaan pohon kanabis dan resinnya untuk tujuan perubatan bagi indikasi sakit belakang, sukar tidur, sakit selepas kecederaan dan multiple sclerosis. Namun begitu, kajian penggunaannya bagi indikasi-indikasi tersebut masih berterusan kerana penggunannya belum dapat dibuktikan secara kukuh.

Apabila diambil, ia boleh menyebabkan kesan samping seperti loya dan gangguan fungsi motor dan kognitif. Ini menyebabkan pengambilnya tidak boleh memandu. Terdapat juga laporan risiko yang ia menyebabkan gangguan pernafasan, masalah degupan jantung dan koma dalam kalangan kanak-kanak.

Namun begitu, kebanyakan kesan samping yang berlaku adalah disebabkan pengambilan berterusan secara kronik. Pengambilannya secara kerap menyebabkan masalah kesihatan mental seperti keresahan, kemurungan dan masalah psikatrik. Ia amat mendatangkan bahaya kepada remaja kerana ia menyebabkan gangguan terhadap perkembangan otak.

2) Ekstrak kanabis

Contoh ekstrak kanabis adalah minyak, the dan nabiximol. Bahan-bahan ini biasanya diambil melalui mulut (makan/minum) dan juga disedut asapnya. Ekstrak kanabis juga mengandungi bahan aktif THC dan CBD.

Kajian mendapati beberapa bahan ekstrak kanabis ini berupaya mendatangkan ketagihan. Terdapat kes di mana sindrom withdrawal berlaku apabila pengambil bahan ini berhenti mengambilnya secara tiba-tiba. Ini dikatakan disebabkan oleh komponen THC di dalam ekstrak tersebut.

Kajian terhadap haiwan dan manusia menunjukkan potensi ekstark kanabis menyebabkan ketagihan. Namun begitu, sekiranya bahan aktifnya dikaji secara berasingan, CBD kurang berisiko menyebabkan ketagihan berbanding THC.

Apa yang mendatangkan masalah adalah ekstrak kanabis tidak mempunyai formula yang standard. Kandungan bahan aktif di dalamnya bercampur-campur dengan kadar kepekatan THC dan CBD berbeza mengikut sediaan. Ini menyebabkan kawalan ke atas ekstrak kanabis sukar untuk dilakukan dan penggunaannya untuk tujuan perubatan tidak dapat dibuktikan dengan jelas.

3) Delta-9-tetrahydrocannabinol (THC)

Penggunaan THC sintetik (dronabinol) telah dululuskan oleh US FDA untuk beberapa indikasi seperti meningkatkan selera makan bagi pesakit AIDS dan mengurangkan loya dan muntah bagi pesakit kanser yang menjalani kemoterapi.

Kajian kegunaan THC ke atas indikasi-indikasi seperti dementia, kesakitan neuropatik, sakit abdomen, kesakitan kronik dan kemurungan masih belum dapat dibuktikan keberkesanannya secara jelas. Kajian-kajian lanjut diperlukan bagi memastikan sama ada ia boleh digunakan bagi indikasi-indikasi tersebut.

Pengambilan THC secara kronik telah dibuktikan mendatangkan ketagihan dengan jelas oleh beberapa kajian ke atas haiwan dan manusia. Tidak dapat dinafikan, THC berpotensi untuk disalahguna dan berisiko menyebabkan impak sosial.

4) Cannabidiol (CBD)

CBD adalah bahan aktif yang paling sering dikaji kegunaannya dalam bidang perubatan terutamanya untuk rawatan sawan. Ia telah dibuktikan berupaya merawat dua jenis sawan iaitu sindrom Lennox-Gastaut dan sindrom Dravet.

Kajian-kajian kegunaan CBD untuk rawatan asma, ketagihan, ubat tahan sakit, anti inflamasi, antikanser dan beberapa indikasi lain masih lagi di tahap pra klinikal dan belum dapat dibuktikan keberkesanannya dengan jelas. Walaubagaimanapun, CBD didapati tidak mempunyai risiko ketagihan dan tiada risiko disalahguna.

Melalui keputusan dari mesyuarat tersebut, kita dapati bahawa WHO masih lagi berhati-hati dalam menyarankan penggunaan marijuana medikal secara meluas. Kebenaran penggunaan perlu dinilai menggunakan kekuatan bukti saintifik dari masa ke semasa.

Oleh itu, bukanlah sesuatu yang janggal bagi negara-negara yang masih berhati-hati termasuk Malaysia dalam menghalalkan penggunaannya. Ini bukan bermaksud negara-negara ini terkebelakang dan tidak menyedari potensi penggunaan marijuana untuk tujuan perubatan, akan tetapi mereka mempunyai neraca pertimbangan yang lebih teliti.

Impak sesuatu polisi perlu dikaji sedalam-dalamnya oleh mereka yang benar-benar pakar. Masalah dan kepentingan setiap negara tidak sama kerana ia turut melibatkan budaya dan agama. Adakah penghalalan ini akan menyebabkan marijuana dipandang biasa dan akan mendatangkan masalah yang lebih besar seperti rokok dan dadah berat yang lain?

Realitinya, bagi indikasi yang kuat pembuktiannya, ubatan berasaskan marijuana telah pun wujud dan diiktiraf. Sama seperti kokain dan opium yang dikawal dengan ketat dan diberikan kepada pesakit hanya dengan indikasi yang betul oleh mereka yang benar-benar layak.

Bukankah kita telah berulang-ulang kali diajar oleh sejarah, polisi-polisi bersifat populis banyak yang akhirnya merugikan kita sendiri?

Fahmi Hassan

Pharmacist

Hujah Ganja Banyak Manfaat Sebenarnya Khayalan Bani Ganja

Tulisan Sdr Fahmi Hassan bab ganja dan kesannya pada kesihatan tidak akan bersisa. Padat dan padu dengan hujah ilmiah.

Ada Ustaz kata ganja itu ada manfaat! Tetapi tidak dibawa hujah dan dalil yang kukuh. Hanya mengaitkan beberapa penulisan dan teori konspirasi yang juga tidak ada asas. Semua kajian berkaitan dengan manfaat ganja hanya kepada pesakit kanser terminal. Terdapat beberapa kajian klinikal dijalankan bagi mengetahui keberkesanan ganja dalam merawat penyakit. Antaranya ganja digunakan dalam melawan muntah yang teruk terhadap pesakit yang sedang menjalani kemoterapi. Tetapi kajian menunjukkan tidak konklusif. Dengan kata lain kajian itu dhaif, tidak boleh dijadikan hujah pun.

Begitu juga ganja digunakan dalam merawat pesakit kanser terminal. Guna untuk memberi rasa tenang dan kurangkan kesakitan yang amat akibat kanser terminal. Kanser terminal bermaksud pesakit telah melalui fasa-fasa rawatan dan sudah berada dipenghujung usia setelah berubat. Menunggu saat-saat kematian yang menakutkan. Dikala ini mereka memerlukan ketenangan dan pengurangan kesakitan akibat kanser. Setakat ini menggunakan ganja dalam perawatan pesakit terminal bukan mendesak. Ini kerana terdapat ubatan alternatif lain yang boleh digunakan dan diiktiraf melalui kajian.[Fahmi Hassan, 2016]

Tetapi yang banyak dalam kajian adalah mendatangkan kemudaratan kepada individu dan negara. Sila baca hujahan lanjut Sdr Fahmi Hassan ini. Hujah tersedia hidang untuk dihadam.

MANA ADA ORANG HISAP GANJA JADI GANAS?!

Bila keluar berita tentang mereka yang ditangkap kerana melakukan jenayah turut positif ganja, maka keluarlah penyokong tegar ganja menggunakan pernyataan ini untuk mempertahankan ketagihan ganja mereka.

Ini terjadi kerana mungkin mereka berada dalam keadaan ‘denial’. Selama ini mereka beranggapan ia adalah dadah rekreasi yang selamat, mana mungkin ia mendatangkan bahaya.

Kesan psikoaktif ganja adalah disebabkan oleh THC. Pada dos yang rendah, ia akan mendatangkan kesan tenang, ‘high’ dan gembira. Ini lah yang dialami oleh kebanyakan pengguna ganja (Webb et. al, 1996, 1998).

Namun pada dos yang lebih tinggi, atau kepada pengguna ganja baru, ia boleh menyebabkan kesan yang tidak seronok seperti, panik, resah, paranoia dan juga psikosis. Keadaan ini adalah lebih teruk di kalangan mereka yang mempunyai masalah psikologi (Johns, 2001).

Ini bukan pernyataan saya. Ini adalah kajian dari saintis yang menjalankan kajian terhadap ganja.

Tak cukup dengan itu, kajian-kajian telah menunjukkan hubungan di antara penggunaan ganja dan keganasan seperti:-

1. Pengguna ganja di peringkat remaja menunjukkan peningkatan dalam sikap ganas (Mercedo-Crespo & Mbah, 2013).

2. Pengguna ganja di peringkat awal remaja lebih ramai terlibat dalam aktiviti jenayah termasuk kekerasan fizikal dan seksual (Niveau & Dang, 2003).

3. Pengguna ganja didapati mempunyai masalah hubungan dengan masyarakat dan skil sosial yang rendah (Vandrey, Budney, Kamon, & Stanger, 2005).

4. Lebih kerap terlibat dalam melakukan kekasaran terhadap pasangan sama ada secara fizikal atau verbal (Reingle et al., 2012).

Ini hanya beberapa contoh dari puluhan kajian yang menunjukkan hubungan penggunaan ganja dan keganasan.

Jadi, siapa yang anda lebih percaya. Pengguna ganja atau ahli sains yang mendedikasikan ilmu dan hidup mereka untuk mengkaji?

Fahmi Hassan (F. H. Abad)

fb.com/fahmiabad

www.fahmihassan.net

Manfaat dan Hukum Ganja

Ramai yang akan melenting apabila isu pengharaman ganja ditulis dalam media massa mahupun media sosial. Para penyokong ganja akan bermati-matian mempertahankan kewajaran penggunaan ganja dalam hidup seharian terutama sekali sebagai rawatan penyakit. Kata mereka, ganja ini adalah ubat-ubatan dari para alim ulama terdahulu dan para saintis sejak berabad lamanya. Cuma, hasil konspirasi barat dan Israel yang cuba melenyapkan keistimewaan ganja ini kerana ingin menaikkan ubat-ubatan moden yang berpaksikan syarikat farmasi kapitalis.

Ada juga mendakwa ganja wujud sebelum datangnya Rasulullah SAW lagi. Andainya ganja haram, kenapa tiada hadis nabi yang melarangnya? Ganja juga bukan punca ketagihan. Ketagihan rokok lebih parah dari ganja. Begitulah beberapa hujah para penyokong tegar bagi membolehkan ganja dihalalkan dalam negara.

Mari kita melihat asas kepada pengharaman sesuatu yang memabukkan termasuk ganja:

«نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ كُلِّ مُسْكِرٍ وَمُفَتِّرٍ»

Nabi SAW melarang setiap yang memabukkan dan yang mengkhayalkan/melemahkan badan. [Hadis Abu Dawud]

قَالَ الطِّيبِيُّ لَا يَبْعُدُ أَنْ يُسْتَدَلَّ بِهِ عَلَى تَحْرِيمِ الْبَنْجِ وَالشَّعْثَاءِ وَنَحْوِهِمَا مِمَّا يُفْتِرُ وَيُزِيلُ الْعَقْلَ لِأَنَّ الْعِلَّةَ وَهِيَ إِزَالَةُ الْعَقْلِ مُطَّرِدَةٌ فيها

Menurut al Tiibi, tidak jauh dari kebenaran jika hadis di atas dijadikan dalil haramnya ganja dan sya’tha dan seumpamanya iaitu setiap apa yang boleh melemah dan menghilangkan akal kerana berpotensi menghilangkan akal secara konsisten. [Dari Aun al Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud]

Fatwa Saudi pula menyatakan dalil pengharaman ganja ialah diqiaskan kepada arak iaitu menghilangkan akal.

Manakala dalam Mausu’ah Kuwait dinyatakan ganja adalah halal jika digunakan dengan betul seperti dijadikan. Ganja haram bukan kerana daunnya tetapi kerana kesan penyalahgunaannya. Pengharaman ganja adalah haram lighairih. Haram setelah datang suatu mudarat kepada manusia.

Ibnu Hajar Al-Asqalani menukil ijma` (kesepakatan alim ulama) tentang haramnya ganja dengan dengan berkata: barangsiapa yang menghalalkannya, niscaya dia telah kafir. [kitab Az- Zawajir `an Iqtiraf al-abair 1/213]. Dan dalam kitab Fathul bari, beliau berkata: Hukumnya haram berdasarkan maksud hadis Nabi SAW yang berbunyi: setiap yang memabukkan hukumnya haram.

Ibnul Qoyyim pula berkata: Sesungguhnya setiap yang memabukkan masuk ke dalam kategori arak, baik berupa cairan maupun pepejal, yang diperas maupun yang dimasak. Termasuk di dalamnya yang digunakan oleh orang-orang fasik dan pendosa, iaitu ganja (dan seumpamanya). Seluruhnya termasuk arak yang diharamkan secara jelas berdasarkan hadis sahih dari Rasulullah SAW yang tiada cacat pada sannadnya, setiap yang memabukkan hukumnya haram.”…. sekalipun ganja tidak termasuk dalam sabda Nabi SAW, tetapi dia tetap haram berdasarkan qias yang menyamaratakan seluruh perkara yang memabukkan kerana illat (alasan hukum) yang sama. [lihat kitab Zaadul Ma`ad fi Hadyi ` ibaad, 5/ 747, dan kitab Al-Mukh adirat Al-Aqiqir an-Nafsiyah, hal: 18-20].

Penggunaan ganja telah difatwakan haram oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang kali Ke-76 pada 21 – 23 Nov 2006. Pengharaman ini sepatutnya menjadi dalil yang kuat bagi masyarakat Islam khususnya untuk menolak sekeras-kerasnya usaha untuk menghalalkan penggunaan ganja di Malaysia.[Fahmi Hassan, 2016]

Terdapat beberapa kajian klinikal dijalankan bagi mengetahui keberkesanan ganja dalam merawat penyakit. Antaranya ganja digunakan dalam melawan muntah yang teruk terhadap pesakit yang sedang menjalani kemoterapi. Tetapi kajian menunjukkan tidak konklusif.

Begitu juga ganja digunakan dalam merawat pesakit kanser terminal. Guna untuk memberi rasa tenang dan kurangkan kesakitan yang amat akibat kanser terminal. Kanser terminal bermaksud pesakit telah melalui fasa-fasa rawatan dan sudah berada dipenghujung usia setelah berubat. Menunggu saat-saat kematian yang menakutkan. Dikala ini mereka memerlukan ketenangan dan pengurangan kesakitan akibat kanser. Setakat ini menggunakan ganja dalam perawatan pesakit terminal bukan mendesak. Ini kerana terdapat ubatan alternatif lain yang boleh digunakan dan diiktiraf melalui kajian.[Fahmi Hassan, 2016]

Andaikata terdapat bukti kukuh kajian santifik yang terkini ganja lebih hebat keberkesanannya dalam merawat pesakit berbanding ubatan dari yang lain, mungkin boleh difikirkan semula dari sudut amalan penggunaannya dalam merawat pesakit. Ilmu perubatan senantiasa berubah berdasarkan dinamika hasil cerapan para pengkaji.

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Fb.com/drsuhazeli
suhazeli.com

24.1.2017
Dungun Terengganu

Pautan
[1] Meta Analysis penggunaan cannabis dalam perubatan. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/26103030
[2] Salah tafsir penggunaan ganja dalam perubatan.http://suhazeli.com/wp/?p=2042
[3] Marijuana boleh merawat kanser?http://suhazeli.com/wp/?p=2117

Adakah Marijuana boleh mengubati kanser?

Oleh: En Fahmi Hasan | Ahli Farmasi

Salah satu tuduhan pejuang-pejuang melegalisasikan ganja adalah ahli profesional kesihatan moden sengaja menyorokkan keberkesanan ganja dalam merawat penyakit kanser.

Saya percaya di kalangan ahli profesional kesihatan sendiri, atau di kalangan keluarga mereka, ada yang diuji dengan penyakit kanser. Dan sekiranya mereka menyorokkan bukti kanser boleh dirawat dengan ganja semata-mata, sudah pasti tiada ahli profesional kesihatan atau keluarga mereka menjadi mangsa penyakit tersebut.

Mengikut kajian yang telah dijalankan setakat ini, berikut adalah kajian penggunaan marijuana dalam rawatan kanser dan yang berkaitan dengannya.

1. Sebagai mengurangkan kesan loya dan muntah akibat kemoterapi.

Terdapat 3 ujian klinikal berbeza terhadap penggunaan marijuana untuk mengurangkan rasa loya dan muntah akibat kemoterapi. 1 kajian menunjukkan kesan positif, 1 kajian menunjukkan tiada perbezaan antara marijuana dan placebo manakala 1 lagi kajian tidak dapat memberikan informasi yang lengkap [1].

Sesetengah pesakit memilih untuk menyedut asap marijuana berbanding mengambil secara oral kerana beranggapan ia bertindak lebih cepat dan lebih mudah diambil sewaktu berasa loya [2]. Walaubagaimanapun, tiada sebarang perbezaan apabila perbandingan ujian klinikal dilakukan antara pesakit yang mengambil marijuana secara menyedut dan secara oral [3].

Sekiranya ia diambil dengan tujuan untuk mengurangkan rasa loya akibat kemoterapi, tiada masalah untuk pengambilan secara oral dilakukan sebelum kemoterapi diberikan. Pengambilan marijuana secara menyedutnya dikaitkan dengan kesan khayal, keresahan, kesan psikotik akut dan orthostatic hypotension [4].

Terkini terdapat kajian ubatan baru yang lebih berkesan bagi merawat rasa loya pesakit. Unsur cannabinoids yang tiada kesan psikoaktif juga didapati lebih berkesan untuk merawat kesan loya [5].

Selain itu, sebahagian pesakit menolak untuk mengambil marijuana secara menyedutnya kerana tidak selesa dengan kesan psikoaktif marijuana. Pesakit-pesakit ini terdiri dari mereka yang tidak pernah menggunakan marijuana untuk tujuan rekreasi.

Oleh sebab itu, penggunaan marijuana secara menyedutnya tidak sesuai digunakan untuk tujuan perubatan melainkan untuk mereka yang memang mengambilnya dengan tujuan rekreasi [6].

Selain itu, cannabinoids boleh bertindak sebagai pelega atau penyebab loya. Loya dan muntah merupakan kesan sampingan yang dihadapi oleh mereka yang menyedut marijuana secara rutin [7].

2. Sebagai anti-kanser

Pada masa ini, kajian sedia ada menunjukkan hasil yang tidak seragam dengan keputusan yang berbeza-beza. Kajian-kajian ini merupakan kajian pra klinikal menggunakan sel manusia atau haiwan.

Keputusan yang tidak meyakinkan ini membuatkan ujian di atas manusia tidak dapat dilakukan lagi. THC didapati boleh merangsang, atau merencat pertumbuhan sel kanser [8-9].

Kajian kecil fasa 1 ke atas 9 pesakit kanser glioblastoma menunjukkan rawatan dengan THC tidak memanjangkan jangka hayat pesakit-pesakit tersebut [10].

Secara kesimpulannya, penggunaan marijuana dalam rawatan kanser setakat hari ini adalah sebagai mengurangkan rasa loya akibat kemoterapi. Walaubagiamanapun, penggunaanyya secara menyedut asap dikaitkan dengan pelbagai masalah termasuk kesan sampingan.

Tiada bukti kukuh setakat ini yang menunjukkan marijuana berupaya merencat perkembangan sel kanser di dalam badan manusia.

Fahmi Hassan (F. H. Abad)

Pegawai Farmasi

fb.com/fahmiabad

Salah Tafsir Penggunaan Ganja dalam Perubatan

Oleh: En Fahmi Hassan |

Ketua Penolong Pengarah

Bahagian Perkhidmatan Farmasi

Kementerian Kesihatan Malaysia

Penggunaan ganja atau kanabis telah direkodkan dalam sumber-sumber sejarah sejak ribuan tahun yang lampau. Pada zaman dahulu, selain digunakan sebagai ubat pelali, ia juga digunakan dalam ritual-ritual keagamaan dan spiritual. Akibat dari kesan khayal ganja, penggunanya pada zaman kuno dikatakan berupaya “meramal” masa depan dan melihat perkara-perkara ghaib apabila ia digunakan sewaktu bermeditasi.

Kesan khayal ganja berpunca daripada kesan psikoaktif bahan aktif di dalam ganja yang dikenali sebagai tetrahydrocannabinol. Bahan ini boleh mendatangkan kesan yang pelbagai kepada manusia. Pada dos tertentu, ia boleh menyebabkan kesan depresi kepada sistem pemikiran manusia. Kesan depresi ini akan menyebabkan sistem saraf manusia direndahkan. Keadaan ini akan menimbulkan perasaan ‘tenang’ dan mengantuk kepada penggunanya.

Pada dos yang lebih tinggi, bahan aktif tersebut akan menyebabkan halusinasi kepada pengguna. Kesan halusinasi ini akan menyebabkan pengguna terpisah daripada dunia nyata dan menyebabkan mereka terkeliru diantara alam realiti dan alam fantasi yang tercipta akibat kesan khayal. Kesan ini boleh menimbulkan rasa keseronokan atau euphoria yang seterusnya akan menyebabkan ketagihan.

Dewasa ini, terdapat beberapa pihak dalam negara ini telah menyuarakan hasrat mereka supaya penggunaan ganja dibenarkan. Alasan yang diberikan adalah; ganja mempunyai khasiat perubatan yang berupaya menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Namun, setelah diperhalusi, didapati terdapat kecelaruan di dalam pemahaman mereka terhadap penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.

Terma “medical marijuana” atau ganja bagi tujuan perubatan mempunyai tafsiran berbeza di antara pengkaji sains dan perubatan dan juga orang awam. Dalam dunia saintifik, “medical marijuana” adalah ubat-ubatan yang mengandungi bahan aktif ganja seperti cannabidiol yang dihasilkan setelah terdapat bukti kukuh melalui kajian-kajian makmal dan klinikal yang menunjukkan ia boleh mendatangkan faedah perubatan terhadap pesakit.

Ubat-ubatan tersebut telah diketahui kaedah penggunaan, dos, keselamatan dan kawalan terhadap kesan sampingan. Ubat-ubatan begini perlu dipreskripsikan oleh doktor dan penggunaannya perlu diselia bagi memastikan keberkesanannya terjamin.

Walaubagaimanapun, bagi sesetengah pihak, tafsiran bagi terma tersebut adalah berbeza. Mereka beranggapan, ganja dalam bentuk asal atau ekstraknya yang digunapakai dengan cara sedutan atau dimakan dengan hasrat untuk mendapatkan kesan positif terhadap kesihatan. Namun dakwaan ini belum dapat dibuktikan melalui kajian-kajian makmal dan klinikal.

Selain daripada itu, perkara ini merupakan satu kesalahan jenayah berat seperti yang termaktub bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Penggunaan seperti ini amat mudah disalahguna dan bakal menyebabkan masalah kesihatan dan sosial yang serius.

Sesetengah pihak cuba memperkecilkan kesan sampingan ganja terhadap kesihatan dan kesan ketagihan ganja terhadap pengguna. Mereka berpendapat bahawa faedah perubatan ganja adalah lebih besar daripada risiko penyalahgunaannya. Walaubagaimanapun, mereka lupa bahawa ubat-ubatan berasaskan ganja sebenarnya diiktiraf oleh dunia perubatan sekiranya ia dapat dibuktikan melalui kajian-kajian yang berkualiti. Ubat-ubatan tersebut telah digunakan di hospital-hospital dalam bentuk yang boleh merawat pesakit tanpa mendatangkan kesan khayal yang boleh menyebabkan ketagihan dan kesan sampingan yang lain.

Mengikut kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat pada tahun 2013, terdapat lebih 800,000 penduduknya yang berumur 12 tahun dan keatas telah mendapatkan rawatan disebabkan oleh ketagihan terhadap ganja. Didapati 10% daripada mereka yang menyalahguna dadah berunsur ganja mempunyai ketagihan yang teruk ke atas penggunaan tersebut. Kajian tersebut juga menunjukkan daripada 6.9 juta orang yang menyalahgunakan dadah, 4.2 juta daripadanya adalah penyalahgunaan dadah berunsur ganja.

Selain daripada ketagihan, penyalahgunaan ganja juga telah dibuktikan melalui kajian-kajian perubatan berupaya mendatangkan masalah psikologi dan mental terhadap penggunanya. Semakin lama penyalahgunaan itu berlaku, kesan kesihatan mental yang bakal diperolehi juga akan menjadi lebih teruk. Terdapat juga kajian-kajian yang menunjukkan penyalahgunaan tersebut bakal mendatangkan kesan terhadap institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat.

Justeru, keadaan ini menunjukkan masalah ketagihan terhadap ganja merupakan masalah yang serius di peringkat global dan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Desakan dari kumpulan-kumpulan yang ingin menghalalkan penggunaan ganja bakal mendatangkan masalah serius yang akan menyebabkan kerugian terhadap negara. Masyarakat seharusnya menolak dakyah-dakyah begini bagi memastikan taraf kesihatan fizikal dan mental masyarakat dapat dilindungi daripada masalah ketagihan yang baru.

Dari sudut keagamaan, penggunaan ganja telah difatwakan haram oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang kali Ke-76 pada 21 – 23 Nov 2006. Pengharaman ini sepatutnya menjadi dalil yang kuat bagi masyarakat Islam khususnya untuk menolak sekeras-kerasnya usaha untuk menghalalkan penggunaan ganja di Malaysia.

Secara kesimpulannya, penggunaan ubat-ubatan berasaskan ganja tidak dinafikan penggunaannya oleh dunia perubatan sekiranya khasiat perubatannya telah dibuktikan melalui kajian-kajian yang berkualiti. Walaubagaimanapun, penggunaannya dalam bentuk asal untuk dihisap atau dimakan yang dikaitkan dengan khasiat perubatan tanpa kajian yang kukuh adalah ditolak kerana ia bakal menyebabkan kesan sampingan yang lebih buruk.

Oleh yang demikian masyarakat seharusnya tidak tertipu dengan mereka yang ingin menggunakan ganja untuk tujuan rekreasi tetapi berselindung di sebalik alasan perubatan. Orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di 1 800 88 6722 sekiranya ingin bertanya mengenai soalan-soalan berkaitan ubat-ubatan.

Fahmi Hassan

Ketua Penolong Pengarah

Bahagian Perkhidmatan Farmasi

Kementerian Kesihatan Malaysia

(Harian Metro, 28 Febuari 2016)