Posts

Etika Perubatan

Dapat berita seorang doktor yang ditangkap kerana membuka premis klinik tetapi tiada lesen amalan tahunan. Doktor itu bukan calang-calang juga masyhur di kalangan masyarakat setempat. Maka timbul persoalan di sini, adakah ilmu doktor itu salah sehinggakan kena tangkap dek kerana tiada sijil amalan atau sijil membuka premis?

Cuba kita bayangkan analogi sebegini, macam saya laksanakan solat, puasa dan lain-lain fardhu ain, sekali sekala saya juga baca kitab dan ajar fardu ain kepada ahli jemaah surau, tetapi saya ditangkap kerana tidak ada tauliah mengajar…maksud saya, adakah ilmu fardhu ain yang saya amalkan itu salah atau saya sendiri salah kerana tidak ada tauliah (lesen)?”

Sebenarnya isu lesen bagi doktor perubatan ini termaktub dalam akta perubatan 1971 lagi. Setiap doktor di Malaysia wajib berdaftar di bawah peruntukan akta ini bagi mengawal selia amalan yang baik di kalangan profesional perubatan.

Perlu diingatkan juga dalam perubatan, terdapat etika berubat yang perlu dipatuhi. Jika seseorang doktor itu pakar yang khusus dalam bidang kulit, secara etikanya beliau tidak dibenarkan menjalankan premis dan merawat ibu hamil & sakit puan. Kecualilah beliau mempunyai sijil kepakaran kedua-duanya. Begitu juga pakar tulang, tidak boleh membedah otak pesakit yang mengalami ketumbuhan. Hanya pakar bedah otak (neuro surgeon) sahaja layak untuk membedah. Pakar Perubatan Keluarga pula berkemahiran dengan perawatan di klinik kesihatan atau klinik swasta, juga tidak layak untuk membedah ibu yang nak bersalin. Tugasan dan batasan peranan masing-masing sudah ada.

Akta Perubatan 1971 amat menitikberatkan amalan seseorang doktor bertauliah supaya tidak lari dari garis panduan yang disepakati bersama oleh para pakar. Garis panduan itu sudah pasti amalan yang paling menepati kajian-kajian berwasit dan terkini. Garis panduan bukan juga kitab suci, ianya boleh berubah dengan perubahan zaman dan teknologi. Jika terdapat bukti baharu yang lebih tinggi mutu pembuktian, maka garis panduan itu juga akan terubah oleh para pakar yang mengkaji dasar. Ianya juga perlu disesuaikan dengan suasana negara dan kemudahcapaian sesuatu kaedah berubat itu.

Masalah besar akan timbul jika terdapat individu yang tiada kena mengena dengan perubatan tetapi mendakwa beliau juga boleh berubat. Kononnya dapat ilmu dari ilham dan mimpi. Walaupun mungkin terdapat kesan penyembuhan akibat dari kaedah pengubatan yang diamalkan, tetapi pihak berwajib perlu menjalankan pemantauan supaya tiada unsur-unsur penipuan ataupun melampaui batas akal, adat serta syarak.

Oleh yang demikian pihak berwajib telah wujudkan satu akta khusus Perubatan Tradisional & Komplimentari tahun 2016 (Akta 775). Akta ini bertujuan mengawal-selia pengamal perubatan komplimentari. Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplimentari (PPTK) yang mendakwa mereka boleh mencegah, merawat dan mengurus penyakit manusia atau sakit atau memelihara kesejahteraan fizikal dan mental individu. Ianya termasuk amalan seperti:

(1) Perubatan tradisional Melayu,

(2) Perubatan tradisional Cina,

(3) Perubatan tradisional India,

(4) Pengubatan Islam,

(5) Homeopati, dan

(6) Terapi komplementari,

Akta ini seolah-olah menyamai akta Perubatan 1971 yang mengawal selia doktor bertauliah.

Justeru, mana-mana individu yang tidak belajar perubatan moden pun, atau setaraf dengannya, tapi menjalankan kaedah perubatan yang langsung beliau tidak belajar mengenainya dari pihak yang diiktiraf, dengan sendiri tertolak amalan mereka tanpa mendapat tauliah seperti yang diperuntukkan dalam akta perubatan 1971 atau akta 775 berkenaan.

Dua bentuk amalan perubatan di atas adalah jelas!

Jika ada perawat yang hanya belajar melalui YouTube atau Doktor Google, sama sekali mereka tidak boleh diiktiraf dan sijil yang mereka perolehi itu sama taraf dengan sijil-sijil beli dari universiti scam sijil.

Cuma masyarakat akan menjadi keliru apabila terdapat individu yang menggunakan kaedah merawat yang kononnya moden, tetapi tiada termaktub dalam amalan yang sah dari badan- adan berwajib. Mereka menggunakan kaedah berubat secara cuba jaya sendiri, malah tiada sandaran hujah kajian yang dilakukan, hanya ujikaji sendirian dan testimoni. Lebih malang lagi mengambil teori karut, membuat protokol sendiri dan membahayakan pesakit sehingga menyebabkan kematian. Beliau sebenarnya sudah tidak beretika dalam mengamalkan perawatan. Ya, ilmunya ada tetapi sudah lari dari amalan yang diiktiraf. Maka wajarlah dikenakan tindakan dan dinilai semula pemberian sijil amalan mereka.

Sudah pasti setiap negara yang ingin menjamin mutu perkhidmatan perawatan terhadap rakyatnya mempunyai klausa undang-undang berkaitan dengan itu. Tujuan akta dan undang-undang adalah bagi memantau salah laku, salah etika, salah amalan yang akhirnya memberikan kesan buruk kepada sistem perawatan pesakit.

Analogi pemberian tauliah untuk ajar fardu ain ini mungkin terpakai jika ilmu dan ajaran dibawa oleh mereka sudah terpesong dari ajaran sebenar.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

9.6.2019

Ketengah Jaya