Posts

Dr Riko Muranaka Pejuang Vaksinasi di Jepun

Oleh : Dr Amirul Amzar.

Kenal kah anda seorang doktor dari Jepun, Dr Riko Muranaka?

Beliau adalah pemenang hadiah global John Maddox Prize for Standing up for Science pada tahun 2017. Kemenangan beliau terhadap hadiah berprestij ini adalah disebabkan usaha beliau MEMBONGKAR PENIPUAN KAJIAN DI JEPUN yang mencetuskan pergerakan ANTIVAKSIN.

Pada tahun 2013, kadar vaksinasi HPV di Jepun menurun dengan mendadak. Ianya berpunca dari video viral yang tidak diketahui kesahihannya. Video itu adalah kompilasi gadis-gadis yang kononnya menerima vaksinasi HPV dan menjerit-jerit kesakitan. Video ini rupanya dibuat dan dikompilasikan oleh pergerakan antivaksin.

Dr Muranaka mengambil keputusan untuk menyelami punca sebenar video itu. Akhir siasatan beliau mendapati ianya bermula dari seorang doktor tidak beretika, Dr Shuichi Ikeda.

Dr Ikeda adalah dekan sebuah universiti di Jepun dan beliau mempunyai pangkat dalam Kementerian Kesihatan Jepun serta merupakan salah seorang pembuat polisi. Di samping itu, beliau juga mempunyai klinik yang merawat pesakit yang kononnya terkena kesan sampingan vaksin.

Dr Ikeda telah mengeluarkan satu keputusan kajian kononnya vaksin HPV telah menyebabkan masalah otak. Dan, pernyataan beliau ini mencetuskan pergerakan antivaksin serta menyebabkan kerajaan Jepun menarik kembali vaksinasi HPV.

Namun, hasil siasatan Dr Muranaka mendapati, Dr Ikeda telah mengeluarkan pernyataan tersebut berdasarkan satu kajian yang tidak boleh diterima sains!

Dr Ikeda menyuntik vaksin ke dalam seekor tikus dan mengkaji otak tikus tersebut. Dan tikus itu rupanya telah diubahsuai secara genetik. Hasil kajian lanjut menunjukkan bukan vaksin yang menyebabkan kerosakan otak tikus itu, tetapi hasil ubahsuai genetik tersebut. Dan lebih mengejutkan lagi, hanya SEEKOR TIKUS sahaja yang disuntik vaksin itu, tanpa ada kajian atau subjek lain. Walhal di negara-negara lain, vaksin HPV telah terbukti SELAMAT DAN BERKESAN!

Dek kerana pangkat dan reputasi Dr Ikeda, kerajaan dan masyarakat mudah mempercayai beliau. Dr Muranaka melaporkan keputusan kajian tidak beretika itu kepada Kementerian Kesihatan. Kementerian akhirnya memohon maaf atas tindakan tidak beretika Dr Ikeda. Namun, disebabkan ketakutan masyarakat masih tersisa, kerajaan Jepun juga tidak dapat membuat keputusan bagi memperkenalkan semula vaksinasi itu hingga kini.

Dr Ikeda, juga mempunyai hubungan baik dengan kakitangan media dan ahli politik, menggunakan hubungan itu bagi menjatuhkan Dr Muranaka. Dr Ikeda juga mengemukakan saman sivil kepada Dr Muranaka kerana telah menjatuhkan reputasi beliau. Akibatnya, Dr Muranaka dihalang dari bercakap di media dan diserang dengan pelbagai ugutan.

Namun beliau tidak berputus asa, beliau tetap menyampaikan maklumat sains yang sahih melalui facebook dan laman internet. Dan kesungguhan beliau ini menjayakan beliau dalam memenangi hadiah global tersebut.

Jepun dahulu telah membuat keputusan politik yang salah memberhentikan vaksinasi MMR kerana kesan sampingan yang tidak terbukti. Akibatnya wabak Rubella masih bersisa. Dan kini sekali lagi mereka tersalah langkah. Tatkala negara lain menikmati penurunan kanser pangkal rahim oleh sebab vaksinasi HPV, insiden kanser pangkal rahim di Jepun terus tinggi. Dijangka kan 3000 kematian berlaku dan 10 000 rahim hilang akibat kanser pangkal rahim selama setahun di Jepun. Dan akibat tekanan politik yang diterima kerajaan hanya disebabkan satu kajian tidak beretika, mereka kini sukar memperkenalkan semula vaksinasi itu.

Semoga Malaysia tidak terjebak dalam kesilapan seperti ini.

Sumber rujukan

https://allianceforscience.cornell.edu/blog/2017/11/japanese-doctor-wins-global-prize-for-standing-up-to-anti-vaccine-activists/

https://www.sciencemag.org/news/2017/11/qa-japanese-physician-snares-prize-battling-antivaccine-campaigners

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5557250/