Posts

Buang Asid dalam Badan atau Bersedia untuk Mati???

Saya syorkan orang ramai tidak sebarkan info salah berkaitan “bahaya makanan berasid” dalam group sosial masing-masing. Ianya ditulis oleh seorang yang banyak menimbul kekeliruan dan menakut-nakutkan orang ramai. Sebelum ini beliau pernah menulis berkaitan minum air sejuk dipagi hari boleh rosakkan buah pinggang, bahaya ultrasound bayi dan beberapa isu lagi. Teguran oleh pakar telah pun dibuat melalui Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Asid amino yang terbentuk hasil dari pencernaan protein, bukannya asid yang boleh mempengaruhi PH badan. Ianya struktur asas protein setelah dicerna dalam perut, bukan asid pun. Seberapa banyak kita makan ayam, telur, daging, ikan sekalipun, Asid amino ini tidak sesekali akan menjadikan darah kita berasid sehinggakan mengganggu keseimbangan darah. Nama aisd amnio diberikan secara khas kerana komponen molekulnya terbentuk dengan gabungan protein dan hidrogen serta Carboxylic Acid. Walaupun ianya mempunyai gabungan berkenaan, tetapi asid amino bersifat amphoteric. Apa makna amphoteric? Sebatian yang boleh bersifat samada asid atau alkali dalam masa yang sama. Namun ianya tidak mempengaruhi PH darah. Lagipun darah kita sudah dijadikan Tuhan mempunyai sistem penimbal (buffer). PH darah akan senantiasa kekal jika kita sihat, kecuali kita mempunyai penyakit tertentu seperti rosak buah pinggang, rosak paru-paru dan pelbagai lagi. Dalam keadaan sedemikian sekalipun sistem badan kita akan senantiasa diimbal sebaik mungkin.

Kalau susah nak faham, analogi dia begini, siput babi itu adalah siput bukannya babi. Nama khas diletakkan sedemikian mungkin kerana wajahnya, tetapi ia sebenarnya siput. Harap boleh faham. Kalau tak faham lagi kena masuk kelas sains semula lah.

Nasihat saya, makanlahlah ikut menu makanan yang disyorkan. Suku suku separuh yang pernah dipromosikan oleh KKM perlu diamalkan oleh kita semua. Cukup lengkap jizi makanan tersebut yang terdiri dari suku karbohidrat, suku protein dan separuhnya adalah fiber/sayur-sayuran.

Sekian dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

7/1/2019

Ketengah Jaya

Sudi Daku Tunjukkan Jalan

Nukilan isnin Pakar Perubatan Keluarga
Prof Harmy Mohd Yusoff, Timbalan Dekan UniSZA menulis secara ringkas tahap-tahap kajian saintifik yang dijadikan standard masa kini. Bermula dari aras 1 yang meletakkan analisis meta sebagai hairaki teratas sehinggalah tahap 4, penilaian terbaik pakar (best expert review) atau “case series”.[1] Inilah konsep terkini bagi menentukan sesuatu ubat atau kaedah berubat diterima pakai dalam perubatan. Adakah ianya qati’e dan tidak boleh dibantah oleh para pengamal perubatan? Tidak. Dunia perubatan senantiasa berubah-ubah. Namun inilah kaedah terkini, terbaik dan diterima pakai oleh semua ahli perubatan masa kini.
Perumpamaan ini boleh diiraskan kepada ilmu pengsahihan hadis Nabi. Jika mengkaji kesahihan hadis, para ulama mempunyai kaedah untuk menentusahkan kesahihannya. Samada hadis mutawatir, sahih hasan, hasan, hadith dhaif ataupun palsu.[2]
Ilmu mustholah dan takhrij hadis amat tinggi nilaiannya. Mereka mengkaji bukan sekadar bagaimana, di mana dan apa bentuk ayat yang dikeluarkan, malah siapa periwayat hadis pun diambil kira. Jika periwayat hadis tidak memenuhi kriteria, martabat hadis akan berubah aras. Malah jika periwayat hadis pernah berbohong dalam isu lain, hadis yang diriwayatkan itu juga dipertikaikan aras kesahihannya. Inilah ketelitian yang diberikan dalam ilmu pengeluaran sesuatu hadis.
Apabila berlaku pertembungan antara kesahihan perubatan dengan hadis-hadis perubatan, disinilah memerlukan penelitian dari ahlinya. Ahli dalam perubatan akan kemukakan bukti dari sudut ilmu sains dan pengsahihannya melalui kajian terkini. Mungkin ianya benar atau sebaliknya. Namun itulah cerapan sunnatullah yang dicatat oleh ahli dalam bidang perubatan. Para ulama juga akan dirujuk bagi mempastikan aras kesahihan sesuatu lafaz hadis tersebut. Jika ianya bukan dari Al Quran atau hadis, mungkin dari amalan para sahabat dan alim ulama sehinggakan ianya menjadi peraturan umum dalam mengambil kaedah untuk berubat itu. Andaikata sesuatu amalan perubatan itu masyhur dan banyak ulama diera tersebut amalkan, sudah tentu ianya ditulis dalam manuskrip-manuskrip kitab bagi panduan umat terdahulu.
Pendek kata pembuktian sains perubatan dan pembuktian nas Al Quran, hadis, ijmak ulama dan kias dijadikan panduan bagi menentukan sesuatu kaedah itu boleh digunakan atau tidak. Jika sekiranya ia dakwaan semata-mata tanpa dalil, bermakna satu pembohongan telah berlaku. Dalil tersebut semada dalil sunnatullah (ilmu akal/Sains) ataupun ilmu syariat. Ianya tidak bercanggahan antara satu sama lain.
Jika bab kajian emperikal dalam bidang sains perubatan, Klinik saya terbuka pada tuan-tuan untuk dapatkan khidmat nasihat. Atau jika sudah ada bukti hujah, boleh kemukakan bukti berkenaan secara method kajian yang betul. Jika tak dapat buat case control study pun tak apa. First level buat dulu observational study. Retrospective data collection. Robust study sampling minimum 30 subjects. Dapatkan semua pesakit yang tuan dah rawat guna kaedah tu dan buat statistical analysis. Jika tak pandai buat persampelan, kemasukan data ke program statistik spt SPSS atau seumpamanya, saya offer untuk ajar. Buku panduan statistik dan SPSS pun saya boleh beri free jika nak.
Sedia tunggu.
Pautan
[1] Aras Evidence Based Medicine. http://suhazeli.com/wp/?p=2123
Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Klinik kesihatan Ketengah Jaya
Dungun.
Fb.com/drsuhazeli
30.1.2017

Makan Ayam Daging Telur dan Ikan Penyebab Sakit Buah Pinggang 

Mesej yang disebarkan:

KEROSAKAN BUAH PINGGANG

_Penyakit kerosakan buah pinggang atau kidney failure sudah menjadi tidak asing lagi utk rakyat Msia. Dulu kita selalu dengar kencing manis, darah tinggi, kolesterol, lelah dan lain2 lagi._
_Tetapi sekarang ni penyakit kidney failure boleh dimasukkan dlm senarai ini._

_Malaysia merupakan negara TERTINGGI DIDUNIA yg mempunyai pesakit buah pinggang akibat kencing manis (Diabetic Nephropathy). Akibatnya berlumba2 lah syarikat2 pengeluar mesin dialysis dan segala barangan disposable dialysis yg berkaitan utk datang ‘melabur’ di Malaysia sbb pulangannya amat lumayan._

_Rakyat Malaysia dianggap sebagai ‘lubuk’ utk pelaburan yg sangat menguntungkan ini._

_Persoalan di sini…_

_Kenapa org Malaysia, buah pinggang nya sgt terdedah @ ‘vulnerable’ utk dapat sakit buah pinggang?_

_Saya telah berkecimpung dalam bidang dialysis ini sudah hampir 8 tahun. Selama 8 tahun saya mencari jawapan utk persoalan ini._

_dan akhirnya saya rasa saya dah dpt jawapan utk soalan ini._

_Jawapan nya …….PEMAKANAN RAKYAT MALAYSIA._

_Ya …..pemakanan…..kita terlalu bebankan kidney kita dgn makanan yg terlalu byk sumber ‘animal protein’._

_Setiap hari kita makan 3 kali sehari ….dan setiap menu makan kita MESTI ada AYAM, DAGING, TELUR DAN IKAN._

_Akibat daripada tiga hidangan ‘animal protein’ setiap hari menyebabkan kidney kita akhirnya ‘malas’ nak kerja kerana bertahun2 dibebankan dengan kerja kuat dan akhirnya telinga ini terpaksa dengar dari doktor satu ayat yg sangat ditakuti oleh kita semua iaitu…_

_”buah pinggang Encik dah rosak dan kena buat rawatan cuci buah pinggang 3 kali seminggu selama 4 jam setiap kali SEPANJANG HAYAT”._

_Hancur remuk hati ini apabila dengar pernyataan mcm ini dari doktor dan tersenyum lebarlah syarikat2 pembuat mesin dan segala peralatan dialysis._

_Pesakit kencing manis perlu buat 2 perkara utk elak jadi ‘bahan pulangan utk pelaburan syarikat asing ini’ iaitu_

_1. kawal kadar gula dalam darah mereka_

_2. kawal pengambilan protein haiwan._

_Cakap memang senang…_

_tapi bagaimana caranya._

_Secara ringkasnya :-_

_Kawal paras gula dengan :_

_1. Sarapan dgn bubur talbinah (sejenis bubur barli)_
_2. Tukar beras putih kpd beras perang._
_3. Tukar gula putih kepada ‘coconut sugar’._

_’Coconut sugar’ DIJAMIN TIDAK AKAN TINGKAT PARAS GULA._

_Kurangkan beban kidney dgn :_

_1. BERHENTI MAKAN AYAM, DAGING DAN IKAN (kalau boleh)._

_Tukar sumber protein anda kpd protein sayuran._

_Anda dijamin tidak akan kekurangan protein dlm badan._

_2. Jgn sesekali minum air sejuk pagi2 dgn perut kosong krn ini terbukti boleh merosakkan kidney._

_3. Bekam atau cupping therapy atau Hijama dlm bahasa Arab_

_(yg majoriti org anggap sbg kolot) di titik2 tertentu di badan boleh kurang paras CREATININE._

_Wassalam._

_Dr Hj Noorul Amin Hj Abd Rahman_

_Pengarah Urusan_

_Primum Medicare Centre_

_Pusat Dialysis Ibnu Sina_

_Sila SHARE post ini sekiranya ia bermanfaat._

_Mungkin anda tidak mengidap kencing manis atau sakit kidney, tapi dgn share msg ini mgkn ia akan sampai kpd teman anda yg ibubapa @ saudara tersayang mereka adalah pengidap penyakit tersebut._
_Sama2 kita selamatkan ratusan ribu rakyat Msia dari menjadi ‘bahan pulangan pelaburan sykt asing’._

◾◾◾◾◾◾◾

*Ulasan Saya*

Sekali lagi saya melihat tulisan kesihatan dari Dr Hj Noorul Amin tersasar dari fakta dan kajian. Kali ini beliau mendakwa makan protein yang bersumberkan binatang seperti ayam, daging dan ikan menjadi punca kerosakan buah pinggang. Hasil dapatan tersebut diperolehi dari pengalaman beliau yang berkecimpung dalam industri dialysis bertahun lamanya.

Sayugia saya ingin perbetulkan sedikit fakta beliau mengenai kejadian sakit buah pinggang akibat kencing manis. Statistik dari USRDS menyatakan Malaysia adalah ke 4 tertinggi dunia pesakit buah pinggang akibat kencing manis.[1] Malaysia juga termasuk dalam senarai 10 tertinggi dunia (tempat ke 5) prevalens Pesakit Buah Pinggang (End Stage Renal Failure). Negara kita bukan berada ditempat TERTINGGI DUNIA.


Pun begitu, kebimbangan para doktor Malaysia atas ranking ini, walau bukan tertinggi pun ada asasnya. Perbandingan negara-negara yang teratas tersebut dari segi populasi penduduk, Malaysia telah termaktub namanya dalam rekod dunia walaupun hanya mempunyai 30 juta penduduk. Ini amat menakutkan juga kerana Malaysia adalah tertinggi dari sudut jumlah insiden pesakit yang memasuki rawatan buah pinggang (Renal Replacement Therapy).[2]


Punca utama penyebab kegagalan buah pinggang di Malaysia adalah penyakit kencing manis. Bukannya pemakanan yang berprotein atau meminum air sejuk dipagi hari sewaktu perut kosong. Dr Ghazali Ahmad Pakar Perunding Nefrologi pernah mengulas isu ini.
Kata beliau,Kata sebab utama penyakit buah pinggang kronik di Malaysia ialah Diabetes. 62% peratus dari 7050 pesakit baru yang memulakan rawatan dialisis berkekalan pada tahun 2014 adalah pesakit diabetes. Tiga faktor risiko tertinggi penyakit buah pinggang dari kajian 900 orang awam di Semenanjung Malaysia pada tahun 2012 ialah diabetes, peningkatan umur dan tekanan darah tinggi. Tidak pernah ada kajian klinikal yang dilaporkan yang menghubung kait kerosakan buah pinggang dengan amalan berpuasa dikalangan orang awam yang sihat. Tidak pernah ada kajian klinikal yang dilaporkan menghubung kait amalan meminum air sejuk ketika berbuka puasa dengan kerosakan buah pinggang.[3]


Begitu juga dengan makanan berprotein – Punca penyebab kejadian sakit buah pinggang yang diutarakan penulis di atas secara peribadi itu tidak boleh dijadikan asas hujah tanpa sandaran kajian yang benar dari sudut metodologi. Secara umum, sejak dari dulu lagi pakar perubatan menyarankan pesakit buah pinggang kronik (CKD) mengambil makanan berprotein secara sederhana atau sedikit.[4] Namun demikian, pakar juga bimbang pengurangan secara ketat pengambilan protein akan menyebabkan kecelaruan keseimbangan (malnutrition) dikalangan pesakit buah pinggang. Kajian MDRD (modification of Diet in Renal Diseases) mendapati pengambilan protein sebanyak 0.2 grams sehari bagi sekilogram berat badan untuk setahun mendatangkan kesihatan yang lebih baik.[5] Sokongan kajian dari Sellmeyer mendapati penukaran protein haiwan kepada protein sayuran boleh meningkatkan keporosan tulang dan senang patah bagi wanita menopos.[6]

Pemikiran kita jitu bahawa sayuran tetap dikategorikan sebagai “sayuran” yang penuh dengan serat fiber, zat galian dan vitamin. Sayuran bukan kategori “Protein” walaupun terdapat dalam sayuran itu kurang 10% kandungan protein. Sudah tentu ianya bukan penukaran jizi makanan yang terbaik antara protein haiwan dengan protein sayuran. Justeru, nasihat supaya berhenti makan AYAM, DAGING, TELUR dan IKAN adalah keterlaluan bagi masyarakat yang sihat secara keseluruhannya. Mungkin ia sesuai kepada para pesakit buah pinggang, boleh dihadkan dalam jumlah tertentu sebagaimana kajian MDRD di atas.

Jika kita tidak pasti bagaimana penyediaan protein bagi pesakit buah pinggang, silalah bertemu dengan pakar. Seluruh hospital dan klinik kesihatan dalam negara mempunyai pakar pemakanan, silalah bersua dengan mereka bagi mendapat kaunseling lanjut bab makanan ini. Jangan sesekali membuat tujahan sendiri. Saya pun merujuk pekar pemakanan yang berada di klinik untuk kaunseling terperinci.

Rujukan: 
[1] USRDS statistic. https://www.usrds.org/2016/view/img_v2_13.html
[2] Burden of chronic kidney disease and its risk factors in Malaysia. http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S2210600615300757
[3] Ulasan Dr Ghazali Ahmad. http://suhazeli.com/wp/?p=1935
[4] Nutrient for Kidney Disease 1 – 4. https://www.kidney.org/atoz/content/nutrikidfail_stage1-4
[5] Nutrient for Chronic Kidney Disease failure. http://www.kidneyurology.org/Library/Kidney_Health/Nutrition_Later_Chronic_Kidney_Disease_Adults.php
[6] Sellmeyer DE, Stone KL, Sebastian A, et al. A high ratio of dietary animal to vegetable protein increases the rate of bone loss and the risk of fracture in postmenopausal women. Am J Clin Nutr 2001;73:118-22.

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga

fb.com/drsuhazeli
#drsuhazeli

7.12.2016
Ketengah Jaya