Posts

Khasiat Pokok Susu Nabi

Sering kali terdapat ubatan yang baharu samada ubatan tradisional mahupun ubatan moden, rakan-rakan akan merujuk kepada saya sebagai pengesahan. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kerana sudi bertanya soalan sedemikian. Ianya satu sikap yang bagus, meminta penjelasan dan kesahihan sebelum menggunakannya. Dalam kebanyakan persoalan, saya akan menjawab tidak pasti atau minta ditangguhkan jawapan sebelum saya mendapatkan kepastian dari kawan-kawan yang ahli dalam sesuatu ubat itu. Atau sekurang-kurangnya saya membuat carian jurnal yang lebih berwibawa (authentic).

.

Seorang ahli kimia produk natural, Dr Che Puteh Osman, pensyarah dari UiTM pernah menulis berkaitan dengan penemuan yang pernah beliau jalankan dan hubungkait dengan ubatan yang dikomersialkan.[1]

“Sebarang pengujian ubat-ubatan samada ubatan moden ataupun herba yang dijalankan secara in-vitro (ke atas sel dalam piring petri) dan ujian in-vivo (ke atas haiwan) tidak boleh merasionalkan penggunaan sebagai ubat secara terus. Sebagai seorang ahli kimia yang mengkaji produk natural, penggunaan ubatan tradisi atau herba akan memberikan maklumat kepada saya untuk mengkaji dan melihat potensi sesuatu ubat tersebut. Kalau betul-betul berpotensi ia akan dibawa ke peringkat penyelidikan seterusnya iaitu pra klinikal dan klinikal (kajian atas manusia).

.

Tambah beliau; “pada peringkat pencarian bahan-bahan terdapat berjuta calon bahan/pokok herba dan sebatian kimia yang boleh dikaji untuk diiktiraf sebagai ubat. Setelah masuk fasa pra klinikal jumlah ini berkurang kepada beberapa ribuan calon sahaja. Pada peringkat klinikal, hanya beberapa ratus sahaja yang layak diuji ke atas manusia. Selepas itu sekitar beberapa peratus berjaya, didaftarkan dan dikomersilkan. Jadi kenapa ia tak jadi ubat? Kerana ia telah gagal pada pengujian daripada peringkat penemuan dan klinikal.

.

Terdapat juga bahan/ubatan tidak diteruskan ke fasa klinikal ke atas manusia kerana terpaksa menggunakan banyak sumber serta prasarana bagi menghasilkan satu ubat. Ianya tidak memadai, malah tidak setanding keberkesanannya berbanding ubatan moden yang sudah lama dipasaran. Sebagai contohnya buah letup-letup, tidak terbukti untuk merawat strok. Separuh (50%) tikus makmal yang diberikan jus buah letup-letup ini (physalin minima) mati dalam tempoh 90 hari. Mereka juga mendapati jus buah letup-letup boleh mengakibatkan rentak jantung tidak teratur sehingga boleh mendatangkan risiko sakit jantung. Manakala ujian paras gula, sistem hati dan ginjal tidak berubah.[2] Manusia mana yang sanggup jadi bahan ujikaji untuk diteruskan kajian klinikal?

.

Begitu juga dakwaan mengatakan khasiat anti oksidan yang terdapat atas petai boleh mengubati kanser. Kajian in-vitro dan in-vivo tidak terbukti pun. Namun kajian atas tikus makmal mendapati ektrak petai itu anti stres. Bayangkan kesan anti stres bagi petai sahaja, sebanyak ekstrak 10 kg petai digunakan bagi menghasilkan kesan reaktiviti ke atas 5 ekor tikus (kajian melihat anti stress).[3] Berat tikus sekitar 350 mg menggunakan 10 kilogram petai! Jika ujikaji atas manusia berapa kilogram petai akan digunakan? Itupun secara ekstrak. Jika kaedah makan secara mentah, kena makan berapa lori pula?

.

Timbul masalah apabila segelintir dari kita menuduh KKM sengaja menutup peluang kepada perubatan herba dek kerana ubatan hospital dikawal oleh farmasi gergasi. Sedangkan ubatan hospital itu juga datang dari konsep kajian yang sama dalam fasa-fasa pembuktian. Isu yang sama dibahaskan ke atas tumbuhan lain seperti ketum, Pokok Susu Nabi, Jambu Batu, Betik dan banyak lagi herba botani yang kaya dalam negara kita.[4] Kesemuanya masih diperingkat kajian sel makmal dan tikus. Belum pun lagi melepasi fasa kajian klinikal ke atas manusia. Kami sebenarnya tiada masalah dan dengan senang sahaja boleh menerima ubat-ubatan tersebut jika sudah dibuktikan kesahihan keberkesanan, selamat dan berkualiti.

.

Pembuktian ujikaji ini boleh diibaratkan sama dengan penggunaan minyak sawit sebagai biodisel untuk kereta. Adakah kita sanggup menukar minyak petrol atau disel kereta kita dengan minyak sawit? Walaupun terdapat kajian yang menyatakan minyak sawit itu mempunyai kelebihan gantian kepada minyak petrol/disel, tetapi tidak semudah itu untuk beli minyak sawit di petronas dan masukkan dalam tangki minyak kereta kita! Ianya memerlukan modifikasi lanjut dan kajian mendalam sebelum digunapakai oleh masyarakat umum.

.

Adakah doktor melarang masyarakat mengambil petai, jambu batu, betik dan lain-lain itu? Jangan salah faham hujah yang kami kemukakan ini. Melarang dakwa terdapat tuntutan perubatan bukan bermakna melarang makan atau guna. Jika nak guna juga dan berkeras bahawa ubat herba itu mujarab, silakan. Andai berlaku perkara yang tidak dingini, jangan salahkan dakwaan yang mereka momokkan itu. Risikonya tanggung sendiri. Jika mampir di wad kecemasan, kita akan terus rawat tanpa prejudis.

.

Sekian pesanan dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

26.12.2017

Bukit Besi

.

Pautan

[1] Profile Dr Che Puteh Osman. https://www.researchgate.net/profile/Che_Osman

[2] Buah letup-letup, physalis peruviana. https://www.hindawi.com/journals/ecam/2013/707285/

[3] Ektrak petai untuk kajian anti stress atas tikus. http://www.academia.edu/29916542/EVALUATION_OF_ANTI_STRESS_ACTIVITY_OF_Parkia_speciosa_SEEDS_EXTRACTS_ON_STRESS_INDUCED_MICE

[4] Carica papaya, Cynodon dactylon, Euphorbia hirta, Melia azedarach and Psidium guajava leaves. https://pdfs.semanticscholar.org/d3b8/1025ca493972d0cccf370f5ca4f5187c5c45.pdf dan http://www.phcogrev.com/article.asp?issn=0973-7847;year=2010;volume=4;issue=7;spage=58;epage=61;aulast=Kumar

Buah Letup-letup Ubat Stroke? 

#Buah_Letup_Letup

Rakan-rakan bertanya kepada saya mengenai buah letup-letup yang ditularkan mempunyai khasiat ajaib. Antara sebaran yang ditularkan itu adalah:

 

“Buah letup kelambu, cabut sepokok, basuh cuci dgn akar, batang, daun dan buah. Rebus dgn tiga gelas air sampai tgl satu gelas. Amalkan minum pagi dan ptg selama tiga hari…insha allah, stroke (lumpuh) akn pulih. Ikhtiar kita, allah jua yg menyembuhkan”

“MEMANG AJAIB … !!! Inilah Ubat STROKE Paling Berkesan,, Kongsikan Jangan Sampai Terhenti Di Tangan Anda Mungkin Teman Yg Lain Sangat Memerlukannya …”

Setiap kali viral tuntutan khasiat perubatan sebegini, saya akan mendapatkan info berfakta dari website berwibawa. Antara website yang biasa saya rujuk adalah Pubmed. PubMed mengandungi 27 juta artikel yang disepadukan dari MEDLINE, jurnal-jurnal sains dan buku yang teraku.[1] Saya melakukan sedemikian kerana apa sahaja komen yang akan dikemukakan nanti mesti merangkumi bukti sahih seperti yg didakwa dalam tulisan tu. 

Carian ringkas saya mendapati terdapat satu laporan jurnal Evidence-Based of Complementary & Alternative Medicine (Hindawi 2013) mencatatkan bahawa kajian ke atas tikus boleh menyebabkan kematian. 50% tikus makmal yang diberikan jus buah letup-letup ini (physalis peruviana) mati dalam tempoh 90 hari. Komplikasi cirit-birit yang dihidapi oleh tikus tersebut mengakibatkan berat badan turun dan akhirnya mati. Mereka juga mendapati jus buah letup-letup boleh mengakibatkan rentak jantung tidak teratur sehingga boleh mendatangkan risiko sakit jantung. Manakala ujian keatas paras gula, sistem hati dan ginjal tidak berubah.[2]

Dalam satu pautan kajian lain, artikel tersebut menemui beberapa kajian kes memakan buah letup-letup menyebabkan penyakit darah tinggi, rentak jantung cepat (Ventricular tachycardia) dan gila. Walaupun ianya mempunyai kesan positif sebagai anti oksida dan pemusnah sel cancer (Cytotoxic), tetapi catatan kajian berkenaan agak terpencil. 

Saya suka mencadangkan kepada rakan-rakan yang tegar mempercayai berita viral sedemikian agar tampil memberikan bukti real. Saya akan katakan kepada mereka, jika sudah ramai pesakit yang dah sembuh dari stroke, kanser atau seumpamanya sila beritahu berapa ramai? Berikan satu jumlah yang berangka agar senang saya ambil perjalanan. Atau tuan² sendiri terlibat memakan buah itu, boleh saya hubungi tuan untuk saya buat ujikaji klinikal dan pengesahan lanjut. 

Jika sekadar share tanpa usul periksa, fakta kelaut lah.  

.

😎

Suhazeli Abdullah 

Fb.com/drsuhazeli 

14.7.2017

Kuala Berang 

Pautan

[1] Pubmed Central. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/

[2] Buah letup-letup, physalis peruviana. https://www.hindawi.com/journals/ecam/2013/707285/