Posts

Itali Tetap Wajibkan Vaksin

Menarik sungguh tindakan yang dibuat oleh pihak berkuasa Itali. Walaupun kerajaaan memerintah itu pro kepada kumpulan antivaksin, namun kesihatan rakyat tetap diutamakan.

Berita terkini, Kenyataan dari Menteri Kesihatan Giulia Grillo bertegas untuk meneruskan undang-undang “No Vaccine No School” yang diluluskan oleh Menteri Kesihatan sebelum PRU lepas, Lorenzim.[1] Penegasan ini dibuat demi penjagaan kesihatan rakyat mereka yang sekarang ini diancam wabak penyakit terutamanya penyakit campak.

.

Undang-undang tersebut menetapkan:

1] Kanak-kanak yang berumur kurang dari 6 tahun tidak dibenarkan masuk pra-sekolah jika tidak mengemukakan bukti suntikan imunisasi dalam kad kesihatan masing-masing.

2] Kanak-kanak yang berumur 6 hingga 16 tahun dibenarkan masuk sekolah. Tetapi mana-mana ibubapa yang tidak dapat membuktikan pemberian vaksin anak-anak mereka akan didenda €500.

.

Berita ini ditentang hebat oleh antivaksin. Mereka cuba membawa hujah kajian palsu yang dibuat oleh CORVELVA.[2] Namun Menteri Kesihatan tidak terpengaruh dengan hujah rapuh mereka. Ini kerana kajian tersebut bukan dibuat oleh badan berautoriti. Kajian syok sendiri itu dibuat oleh kumpulan antivaksin, dan membuat sebaran maya sesama mereka dengan niat menakut-nakutkan ibubapa terhadap vaksin. Malah kajian tersebut berselindung atas nama Corvelva, tidak sorang pun dinamakan pakar mana yang terlibat dalam kajian. Metodologi kajian yang digunakan pun tidak melepasi taraf pelajar sekolah menengah pun.[3] Inilah tipikal perangai antivaksin seluruh dunia. Malaysia pun begitu, sebaran maya berkaitan antivaksin biasanya dibuat oleh akaun palsu ataupun jenis salin-tampal artikel yang mereka sendiri tidak faham isi tulisan yang dikongsi.

.

Sekian berita terkini dibawa oleh suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

13.3.2019

Kuala Dungun

.

Pautan:

[1] Kerajaan Italy Teruskan Wajib Vaksin. https://www.bbc.com/news/world-europe-47536981

[2] Kajian Corvelva. https://www.ageofautism.com/2018/12/corvelva-vaccinegate-gsks-infanrix-hexa-exposed.html

[3] Kritikan atas kajian Corvelva. https://www.skepticalraptor.com/skepticalraptorblog.php/vaccine-pseudoscience-corvelva-anti-vaccine-researchers/

Penjelasan Isu Forum di Pondok Pak Teh, Perak

Forum kali ini adalah program ke 5 saya menyampaikan maklumat berkaitan kepentingan vaksin di sekolah/pondok agama. Pertama di Pondok Laklok Besut, kedua Sekolah Agama Pinang Merah Paka, ketiga Madrasah An Nur Al Aslamiah Pendang Kedah, ke empat adalah Sekolah Darul Taqwa Rusila dan terakhir di Pondok Pak Teh Pengkalan Hulu.

.

Jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan pondok terutama Al Fadhil Ustaz Azhar Syirozi bin Abdul Latif. Beliau adalah Mudir Pondok Pak Teh setelah peninggalan Tuanguru Pak Teh beberapa tahun lalu.

.

Terima kasih Pejabat Kesihatan Hulu Perak yang menjadi panganjur utama forum tersebut. Atas perbincangan dengan Mudir pondok Al Fadhil Ustaz Azhar, yang juga anakanda arwah Tuanguru Pak Teh, program disusun dengan majlis ucapan aluan dan perasmian. Mudir pondok sendiri berucap semasa majlis pembukaan. Kemudian diikuti dengan forum yang saya salah seorang ahli panelnya. Manakala Ustaz Aminul Hafiz bin Idris sebagai ahli panel kedua yang mewakili Pejabat Agama Pengkalan Hulu.

.

Sebelum jam 9 pagi saya buat kunjungan hormat, bertemu dan beramah mesra dengan Tuanguru sendiri di Sekolah agama Al Yusofiah. Alhamdulillah pertemuan dengan penuh mahabbah.

.

Peluang yang diberikan kepada saya oleh moderator untuk memberikan maklumat berkaitan vaksin saya gunakan sepenuhnya, kerana itulah tajuk program yang diwar-warkan dalam surat jemputan.

.

Saya amat hormati Tuanguru yang berada dikerusi penonton, namun itulah protokol majlis yang ditetapkan. Malah Tuanguru sendiri diberi penghormatan untuk membacakan doa.

.

Ruang soal jawab juga diberikan dan kami telah menjawabnya. Kami terima teguran Tuanguru dengan hati terbuka dan perkara ini akan dibawa ke peringkat atasan. Itulah kadar kemampuan kami yang kerdil ini dalam memberikan kefahaman kepada masyarakat.

.

Selepas program, Tuan Mudir pondok berkata, ramai yang sudah jelas penerangan yang diberikan. Beliau bimbang dengan pertembungan dua pihak yang berlaku di Pondok sekarang. Seolah-olah terbahagi kepada dua kumpulan. Satu yang menyokong dan satu kumpulan menentang perubatan bukan semata-mata vaksin. Dengan alasan rawatan alternatif dari alim ulama terdahulu sudah mencukupi tanpa perubatan moden yang dikatakan agen Yahudi dan Syarikat gergasi besar farmasi. Saya juga sempat bertemu bual dengan para penghuni pondok. Antaranya saya disapa oleh seorang lebai yang membahasakan diri sebagai Pak Man, beliau kata doktor jangan ambik hati dengan ucapan Tuanguru tadi, pendirian dia itu bukan pendirian pondok. Itu adalah pendirian peribadi.

.

Patut pun semasa soal jawab forum, sebagai seorang tetamu, saya merasakan tidak selesa dituduh dengan kata-kata sedemikian. Namun bukan tujuan saya untuk menguapkan api permusuhan. Kita adalah saudara seagama. Apabila ditohmah kami yang berada dibidang perubatan ini sebagai bodoh dan agen Yahudi, saya mula tutup komputer dan matikan layar pembentangan. Saya agak terkejut dan kaget apabila beliau menuduh Jakim, Majlis Fatwa dan Mufti tak boleh pakai. Seolah-olah para mufti tak betul, mereka yang barada di institusi pondok sahaja yang betul. Diakhir forum, saya mencadangkan solusi agar pihak Tuanguru sediakan bahan pembentangan dan berbincang sendiri kepada majlis fatwa.

.

Saya kira kunjungan saya adalah penuh dengan tatasusila, sesuai dengan undangan yang dibuat oleh pihak penganjur dan mudir itu sendiri.

.

Saya menyusun 10 jari mohon maaf jika Tuanguru terasa kecil hati.

.

Semoga Allah rahmati pertemuan indah kita khamis lalu. Kami doakan agar ukhuwwah senantiasa terikat kemas. Jadikan perbezaan pandangan itu sebagai rahmah, bukannya menambah seteru dan cacian. Aameen.

Fb.Com/drsuhazeli

Bahaya Aluminium dalam Vaksin?

Seorang netizen antivaksin mempersoalkan kenapa KKM tidak menggunapakai peraturan yang digunakan dalam akta USECHH 2000 mengenai had bahaya aluminium apabila terdedah kepada tubuh.

Adakah kami juga hairan dosh malaysia tak buat kenyataan bantah? Aluminium dalam vaksin berbeza dengan aluminium dalam persekitaran seperti yang dinyatakan dalam akta DOSH. Nama pun DOSH (Department of Occupation Safety and Health). Rantaian Aluminium akan menjadi berbeza apabila dikombinasikan dengan oksigen, natrium dan lain-lain.

.

Isu gabungan sebatian berbeza inilah yang boleh mengelirukan orang awam yang bukan mahir dalam ilmu kimia.

.

Vaksin menggunakan akta FDA, kerana logamnya dalam bentuk garam (aluminium salt). Oleh yang demikian unit bacaanya dalam bentuk mg atau mmol. Ianya jauh berbeza dengan sukatan isipadu (m3) seperti Aluminium oxide yang menjadi toksid atau bahaya di persekitaran.

.

Untuk mudah faham. Ibu hamil akan dibekalkan zat besi (ferous fumarate atau lactate). Kita tidak berikan ferous oxide (besi karat) kerana ferous oxide itu bahaya.

.

Pembuatan vaksin bukan dibuat cara tumbuk dan uli macam tepung gandum. Tetapi ianya melalui proses yang ketat, terjamin serta di bawah seliaan kualiti yang ketat. Setiap batch vaksin yang dikeluarkan sudah melepasi tahap keselamatan.

.

Cuma saya sangsi, persoalan yang netizen berkenaan sebut vaksin DTAP itu SANGAT BAHAYA, sudah berapa kes kematian atau bayi cacat akibat diberi vaksin? Ini satu tuduhan berat.

.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini setiap tahun lebih 6.9 dose vaksin diberikan kepada bayi dalam negara kita. Tak ada satu kes pun yang mati atau dikaitkan dengan kejadian autism.

Pautan

http://www.dosh.gov.my/

https://sciencebasedmedicine.org/toxic-myths-about-vaccines/

Vaksin adalah Penawar Ikhtiar Kawal Wabak

Kita agak skeptikal dengan pandangan sesetengah pihak bahawa tidak perlu guna vaksin pun untuk menyekat wabak penyakit berjangkit seperti demam campak yang menular sekarang. Mereka asyik pertahankan rawatan alternatif boleh menyekat gejala wabak yang berlaku tanpa menyebut secara spesifik apakah rawatan tersebut. Antara alasan yang mereka selalu jawab adalah penyakit itu Allah yang turunkan, maka Allahlah akan mendatangkan penawarnya. Tetapi apabila ditanya, apakah penawar itu? Mereka mula meraba-raba mencari jawapan.

Andai mereka menamakan rawatan Homeopati sebagai gantian vaksin, adalah tidak benar kerana presiden Homeopati sendiri Tuan Hj Zainol Azmi menyangkal bahawa Homeopati tidak pernah wujud vaksin. Malah Sir Samuel Hahnemann, pengasas kepada perubatan Homeopati itu pun mengiktiraf vaksin dan bersama-sama Sir Edward Jenner membasmi penyakit menggunakan vaksin pada ketika itu.

Jika mereka menyebut ubatan herba atau makanan sunnah boleh bertindak sebagai vaksin untuk mencegah penyakit berbahaya, di mana buktinya? Lantas mereka salin-tampal (copy paste) artikel carian google yang mereka sendiri pun tidak faham bentuk tulisan itu ditulis.

Kita cukup hargai pandangan dan kesungguhan mencari maklumat melalui internet. Tetapi fakta yang disalin-tampal itu ada kesalahan yang perlu diperbetulkan. Menjadi hak saya pula sebagai seorang yang meneladani disiplin ilmu menyatakan pembetulannya. Kami yang berada dibidang ini sudah banyak berbincang dan khulasahkan isu-isu yang dikemukan berkaitan kontroversi vaksin itu. Saya sendiri sudah banyak kali membuat pertemuan dan sepentas bersama agamawan, mufti dan ahli perubatan yang mahir dalam bidang mereka. Nada kami adalah serupa. Samada dengan ahli akademi dan juga agamawan semuanya bersetuju vaksin itu wajib diberikan kepada anak-anak kita. Adakah mereka yang menolak vaksin itu lebih hebat keilmuan dari para mufti?

Jika hanya meletakkan hujah yang disalin-tampal dari google dan tidak tahu letak duduk sesuatu itu, bermakna masyarakat umum harus menerima hakikat bahawa serahkan kepada ahli yang mahir membicarakan bab ini. Semuanya sudah terbentang. Hanya perlu teliti dan hadam betul-betul. Jangan pula kita terlebih pandai dari para mufti mahupun ahli perubatan.

Nasihat kami kepada golongan yang menolak vaksin itu agar jangan hanya untuk merasa seronok diri sendiri sedangkan negara dan ummat menderita. Lihatlah dengan fikiran terbuka bahawa usaha anda yang menakutkan orang lain terhadap vaksin akan membuka ruang kerosakan manusia yang lebih besar. Saya hairan, adakah mereka tahu sekarang ini berlaku wabak campak dan kerajaan berusaha keras untuk mengawalnya dari terus merebak?

Kita tidak mahu peristiwa yang berlaku wabak teruk seperti Thailand, Amerika Syarikat, Eropah akibat dari segelintir rakyat mereka yang juga menentang vaksin! Wabak yang berlaku di sana sudahpun melihatkan kematian demi kematian.[1,2,3]

UNICEF melaporkan penularan penyakit yang berlaku di beberapa lokaliti dunia itu boleh merencatkan usaha badan kesihatan sedunia untuk menjadikan sifar penyakit seperti demam campak. Pelan tindakan eliminasi (penghapusan penyakit) demam campak yang bermula tahun 2001 menegaskan usaha optimum perlu dilakukan sehingga seluruh penduduk dunia terutama bayi diberikan vaksin MMR tercapai melebihi 95% liputan. Jika liputan kurang dari itu, atau mencecah kurang dari 85%, usaha untuk menjadikan dunia sifar campak gagal menjelang tahun 2020.[4]

Fenomena penularan inilah merisaukan para professional perubatan seluruh dunia. Sedangkan para penentang vaksin berseronok hanya untuk diri mereka sendiri dan mendakwa mereka akan selamat tanpa suntikan. Sedangkan risiko wabak akan semakin tinggi jika kawalan tidak dijalankan secara tuntas.

Selagi belum dijangkiti mereka terus mendabik dada. Lihat! Kami belum kena pun penyakit kerana kami mengamalkan itu dan ini selain vaksin. Bahkan mereka pula memerli bahawa ubatan sendiri yang mereka ciptakan itu lebih mujarab dari vaksin. Itulah hakikatnya golongan itu berhujah. Apabila kita minta bukti untuk dibawa ke pihak berkuasa ubat mengenai ramuan sendiri yang mereka gahkan itu, tak ada pun. Hanya dakwaan kosong semata-mata.

Jika benar ada penawar yang boleh menghalang berlaku penularan wabak sekarang ini silalah tampil ke depan dan syorkan kepada kerajaan untuk digunakan dalam premis kerajaan yang sah. Jika sekadar hanya mendakwa bagai, jurujual ubat kaki lima pun boleh.

Dr Suhazeli Abdullah

Fb.Com/drsuhazeli

1.12.2018

Kuching, Sarawak

Pautan

[1] Outbreak Measles in US. https://bbc.in/2QWhVqK

[2] Outbreak Measles in Israel. https://www.timesofisrael.com/toddler-dies-of-measles-in-jerusalem-in-first-such-incident-in-15-years/

[3] Outbreak Measles in Europe. https://www.express.co.uk/life-style/health/1005826/measles-outbreak-europe-rash-symptoms

[4] Punca Outbereak adalah peningkatan penolakan vaksin. https://www.unicef.org/press-releases/measles-cases-spike-globally-due-gaps-vaccination-coverage-new-report?fbclid=IwAR1yplg4pe3tnoXsdruDcuXtBEUvJ9bybsyySD75zzaQGtD-EyrbhL0dYZc

Penjelasan Sdr Rahman Baco Isu Vaksin Haram

Terima kasih Sdr Rahman Baco yang buat penjelasan.

Buku beliau itu saya dapat hadiah dari seorang pesakit yang menolak semua kaedah perubatan moden termasuk vaksin. Apabila beliau hadir diklinik, hanya untuk buat pemeriksaan tekanan darah, gula dll sahaja. Namun saya beri cadangan untuk beliau makan ubat atas penyakit yang beliau hadapi, ditolak nya.

Berlaku beberapa kali sesi konsultasi saya dengan beliau dan selalu menjadikan buku Abd Rahman sebagai rujukan. Akhirnya beliau hadiahkan saya buku tersebut. Saya baca dan teliti satu persatu. Bab vaksin yang dipaparkan saya sudah pun buat penjelasan bahawa KKM tidak menggunakan jenis yang disebutkan itu. Tetapi seperti biasa, golongan yang liat dengan ubatan moden ini akan mencari seribu alasan.

Saya juga menjawab isu maqosid syariah dan kepentingan darurat dalam menjaga mashlahat ummat. Namun golongan yang fixed minded vaksin itu haram sudah tidak mahu terima hujah yang dikemukakan. Hatta tulisan para mufti pun mereka bakul sampahkan.

Hakikat yang mesti diterima bahawa Tiada seorang pun mufti di Malaysia yang menolak vaksin.

Hakikatnya juga semua persatuan pakar-pakar perubatan seluruh Malaysia mengesyorkan vaksin.

Hakikatnya juga ulama juga menyokong vaksin.

Sebaliknya pihak yang selalu menakutkan orang ramai dalam isu vaksin pula terdiri dari akaun palsu facebook atau individu yang tidak ada autoriti bercakap hal-hal perubatan dan hukum.

Boleh baca penjelasan Sdr Rahman:

PENJELASAN PENULIS MENGENAI ISU VAKSIN MMR II DAN VARIVAX MENGANDUNGI BAHAN HARAM

Penjelasan ini adalah berkaitan isu vaksin MMR II (Measles, Mumps, Rubella) yang tular di socmed dan menjadi perbincangan ramai netizen dan pengamal perubatan.

Buku “Halalkah UBAT ANDA” ini adalah versi kedua daripada buku pertama saya “Ubat Daripada Sumber Babi & Pilihan Alternatif” yang diterbitkan pada tahun 2010.

Tujuan penulisan dan penerbitan buku ini adalah untuk memberikan panduan dan rujukan kepada pengguna (pesakit) dan juga pengamal-pengamal perubatan mengenai kandungan ubat-ubatan yang kita ambil dan apa pilihan alternatif yang ada.

Selain itu, buku ini juga bertujuan untuk:

1. Memberi kesedaran kepada pengguna mengenai Hak Pengguna untuk membuat pilihan dan keputusan “Informed Choice” daripada maklumat yang lengkap dan tepat. Pengguna berhak tahu apa kandungan dalam ubat-ubatan yang diberikan kepada mereka dan apa pilihan ubat yang lain sekiranya mereka menolak ubat tersebut.

2. Memberi kesedaran kepada pengamal perubatan (doktor, ahli farmasi, jururawat dan yang lain) untuk mengambiltahu mengenai kandungan ubat-ubatan yang kita berikan dan apa jenama-jenama ubat pilihan yang kita ada.

ISU VAKSIN MMR II

Saya sertakan gambar mukasurat 118 dan 152 daripada buku asal “Ubat Daripada Sumber Babi & Pilihan Alternatif” sebelum diedit dan diterbitkan.

Pada asalnya, saya menyenaraikan jenama-jenama pilihan ubat alternatif lain yang ada di dalam buku ini. Tetapi sebelum buku ini dicetak dan diterbitkan, Pihak Syarikat Farmaseutikal telah meminta saya untuk mengeluarkan atau tidak menyebut jenama ubat alternatif mereka kerana ini akan memberikan gambaran seolah-olah saya mempromosikan jenama ubat syarikat mereka dan menidakkan jenama ubat syarikat yang lain.

Jadi, buku yang diterbitkan tidak menyebut secara spesifik jenama ubat pilihan alternatif yang ada dan saya tambahkan daripada mana saya perolehi sumber maklumat mengenai kandungan ubat-ubatan ini.

DI MANA NAK DAPATKAN BUKU NI ?

Buku “Halalkah UBAT ANDA” ini hanya dicetak sebanyak 10 000 naskah pada tahun 2010, telah habis dijual di kedai-kedai buku dan diedarkan secara percuma semasa Perbincangan Meja Bulat Ubat-Ubatan Dari Sumber Haram.

Sebelum ini, saya hentikan sementara cetakan semula buku ini kerana dapati Maklumat dan Buku ini banyak disalah gunakan oleh pihak tertentu dan menyimpang daripada tujuan asalnya seperti:

1. Buku ini digunakan untuk mempromosikan rawatan-rawatan alternatif tertentu dengan menolak perubatan konvensional (moden).

2. Buku ini digunakan untuk menjual dan mempromosikan produk kesihatan tertentu dengan menolak ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor dan ahli farmasi.

3. Buku ini juga digunakan oleh kumpulan yang menolak pemberian vaksin sepenuhnya dan menggunakan buku ini untuk mempengaruhi pengguna lain.

Saya sendiri mengambil vaksin, anak-anak saya semua diberikan vaksin. Isteri saya pun diberi vaksin dan juga mengambil vaksin tambahan kerana beliau juga merawat pesakit-pesakit yang dijangkiti penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin ini.

Sebagai tambahan maklumat di dalam buku “Halakah UBAT ANDA”. Saya petik tulisan daripada Mufti Wilayah Persekutuan di bawah mengenai Hukum Penggunaan Vaksin ini sebagai rujukan saya dan pembaca semua.

Penjelasan oleh,

Rahman Baco, Pharmacist

Penulis “Halalkah Ubat Anda”

Follow: www.fb.com/rahmanbaco.rx

.

.

.

HUKUM PENGGUNAAN VAKSIN

Dalam hal ini, jika diperbuat daripada bahan yang bersih dan suci, maka ia diharuskan

Jika diperbuat daripada bahan yang najis, ia terbahagi kepada dua:

Jika di sana ada alternatif lain, maka tidak boleh menggunakan vaksin yang najis. Ini kerana sabda Rasulullah SAW daripada Abu Darda’ R.Anhu yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram.”

Jika di sana tidak ada alternatif yang lain, ia dibolehkan kerana ia termasuk dalam perkara darurat.

Terdapat beberapa kaedah yang digunakan dalam hal ini.

Kaedah الضرورات تبيح المحظورات iaitu mudarat mengharuskan yang haram. Tetapi kaedah ini diikat dengan kaedah lain iaitu الضرورات تقدر بقدرها yang bermaksud mengambil darurat cukup yang perlu sahaja.

Dalam penetapan hukum yang melibatkan penggunaan konsep dharurah, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi sepertimana berikut:

Dharurah itu memang benar-benar berlaku, bukan lagi hanya sangkaan semata-mata ke atas kemusnahan nyawa atau pun harta benda.

Kalau kekhuatiran itu berdasarkan andaian, anadaian itu hendaklah andaian yang kuat seperti telah melalui proses pengalaman dan pemerhatian.

Orang yang berada dalam keadaan dharurah itu tidak ada jalan yang lain dibenarkan oleh syarak untuk mengelakkan kemudharatan itu. contohnya seseorang yang amat perlu untuk meminjam wang, maka ia measti memilih pinjaman tanpa riba’ kerana zaman ini sudah ada alternatif untuk melakukan pinjaman dengan tidak menggunakan sistem riba’.

Orang yang dalam keadaan dharurah (terpaksa) itu mestilah berusaha jangan memilih perkara ang terang-terang melanggar prinsip-prinsip asasi syariat Islam dan usul akidah Islam, seperti tidak halalnya ia memilih untuk berzina, membunuh, memilih kufur dan mengambil hak orang lain kerana perkara-perkara berkenaan pada hakikatnya adalah mafsadah (kerosakan).

Ini bererti jika melepaskan keadaan terpaksa itu tiada jalan yang halal, Cuma yang ada beberapa jalan yang haram, maka ia mesti memilih mudharat yang lebih ringkas dan tidak terang-terang melanggar perkara-perkara asasi dalam Islam.

Ketika melepaskan keadaan dharurahnya seseorang itu mestilah sekadar melakukannya kadar yang perlu sahaja, bukan untuk berselesa melakukan perkara yang terlarang berkenaan berdasarkan kaedah keadaan dharurah diukur dengan tingkatannya.

Dalam isu tepaksa memakan ubat dari produk haram untuk menjaga kepentingan nyawa, syarat tambahan yang perlu dipenuhi ialah pengambilan ubat berkenaan hendaklah disyorkan oleh doktor yang dipercayai pegangan dan amalan agamanya serta mempunyai kepakaran di samping terbukti tiada ubat lain yang halal untuk diambil. Lihat Penentuan Produk Halal-Haram dan Fatwa Vaksin di Malaysia oleh Prof. Madya Dr. Nurdeng Deuraseh, UPM.

.

.

Penutup

Antara bukti yang menunjukkan Islam amat menitik beratkan penjagaan kesihatan adalah seperti berikut:

Meletakkan kesihatan adalah sebaik-baik nikmat selepas nikmat iman.

Meletakkan konsep mudah dan menolak kesukaran di dalam syariat Islam.

Nas-nas yang banyak mengenai pencegahan penyakit.

Perintah untuk mendapatkan rawatan dan keharusan berubat dengan menggunakan benda haram.

Al-‘Aili Abdul Hakim dalam buku Mausu‘ah Huquq al-Insan fi al-Islam, menyifatkan kesihatan individu merupakan tuntutan agama dan kehidupan, di mana ia akan memberi manfaat kepada kehidupan seluruh umat manusia.

Dalam isu ini, vaksin bukan lagi merupakan kehendak seseorang, tetapi bahan pencegah ini kini menjadi keperluan kepada masyarakat secara umumnya.

Fenomema ibubapa enggan memberikan suntikan vaksin kepada anak-anak mereka di klinik-klinik adalah amat membimbangkan. Perbuatan ini bukan sahaja merbahaya kepada anak-anak yang merupakan generasi masa depan kita, tetapi juga boleh menjadi punca merebaknya jangkitan penyakit-penyakit merbahaya tersebut.

Dalam hal ini Islam amat menitikberatkan keselamatan umat manusia. Sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan untuk maslahah ummah hanya diperakukan oleh syarak sekiranya tidak bercanggah dengan Maqasid Syar’iyyah iaitu menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta.

Menurut fuqaha’, sebarang penyakit perlu dihindari, dirawat dan diubati. Dalam konteks ini pencegahan daripada sebarang bentuk gejala yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa adalah menjadi pegangan dan keutamaan ajaran Islam.

Semoga dengan pencerahan ini kita tidak ragu lagi dalam mengizinkan penggunaan vaksin oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk maslahat dalam kalangan kita.

Sumber tulisan:

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

Baca artikel penuh mengenai isu vaksin ini melalui link di bawah:

http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2069-30

P.S. Mohon SHARE artikel dan post ni kepada kawan-kawan lain untuk rujukan bersama.

Antivaksin Cemarkan Kesucian Islam

Islam dipandang Hina Akibat Gerakan anti Vaksin

.

Kejadian wabak Difteria yang berlaku di negara jiran ketika ini sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua. Laporan dari Kementerian Kesihatan Indonesia menyatakan sehingga kini lebih 939 kes positif kuman berbahaya Difteria dan 44 kes kematian. Kuman Corynebacterium diphtheriae amat berbahaya sehingga boleh menyebabkan kematian. Di negara kita, wabak kuman yang boleh dicegah melalui vaksin ini juga telah berlaku pada 2016 lalu, sehinggakan meragut 5 nyawa dan 27 kes positif.[1] Tindakan cepat pihak berkuasa kesihatan negara dengan memberi kesedaran dan juga liputan imunisasi secara menyeluruh, telah merencat wabak difteria ini berlaku lebih parah. Namun, wabak seperti ini boleh bila-bila masa tercetus kembali. Ianya berpunca dengan semakin banyak dakyah dari antivaksin supaya anak-anak bangsa kita tidak diberi imunisasi selengkapnya.

.

Golongan antivaksin dengan imej Islamik dan acah-acah lebih pandai dari doktor menyebarluaskan kefahaman mereka melalui media sosial dan pelbagai bentuk sebaran lagi. Fenomena ini sudah pun terbukti berlaku di Indonesia, sebagiamana kisah yang dipaparkan oleh abc.net, golongan yaneg menggelarkan diri mereka sebagai Perawat Perubatan Islam Holistik yang di ketuai oleh Dewi Hestyawati.[2] Adalah tidak masuk akal hujah mereka yang menyatakan bahawa virus mudah tersebar kerana kononnya kapal terbang yang banyak melepasi udara Indonesia sedang menaburkan kuman bahaya! Mereka juga mengesyorkan amalan pemakanan “sunnah” dan berbekam; yang tiada satu bukti pun boleh mencegah kuman bahaya difteria ataupun kuman-kuman berbahaya lain yang boleh dicegah melalui vaksin.

.

Pemikiran sedemikian telah menjadi ejekan semua pihak sehingga boleh mencemarkan nama baik Islam itu sendiri. Islam adalah agama yang syumul. Islam menerima kepesatan pembangunan teknologi serta kaedah rawatan terkini. Malah islam adalah pelopor kepada ketamaddunan moden seperti yang pernah diasaskan oleh kegemilangan pemerintahan Islam pada zaman pertengahan dahulu. Namun dengan mengambil tafsiran dan pemikiran yang jumud, maka Islam akan dilihat hina.

.

Saya mengajak para agamawan dan cendekiawan Islam di negara ini untuk turut bersama kami bagi memberikan penerangan sebaik mungkin kepada masyarakat agar tidak terpesong dengan dakyah songsang sesetengah golongan antivaksin. Begitu juga dalam isu-isu perubatan lain, penerangan harus diberikan kepada masyarakat yang banyak supaya konsep penjagaan kesihatan, konsep berubat dan pencegahan kesihatan sejagat difahami oleh rakyat jelata.

.

Sekian seruan jihad dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

15.1.2018

Ketengah Jaya

.

[1] Diphteria Alert Indonesia. http://jakartaglobe.id/multimedia/diphtheria-alert/

[2] Islamic anti-vaxxers undermine efforts to prevent diphtheria outbreak in Indonesia, By Indonesia correspondent Adam Harvey. http://www.abc.net.au/news/2018-01-15/islamic-anti-vaxxers-undermining-diphtheria-vaccination-campaign/9325852