karpal singhPerlaksanaan syariat Islam yang popular diberi nama hudud hangat kembali. Kerajaan Negeri Kelantan akan membawa undang-undang syariah hudud ini ke parlimen sebagai “Private Bill”. Namun pelbagai tentangan diterima terutama sekali rakan sekutu PAS dan Pakatan Rakyat. Mantan Pengerusi DAP, Karpal Singh adalah ahli parlimen DAP yang paling vokal menentang perlaksanaan undang-undang syariat seperti mana yang telah diluluskan oleh DUN Kelantan 1993 dan DUN Terengganu 2002. Perlaksanaan syariat Islam yang menjadi perjuangan yang berterusan PAS menjadi polemik yang berpanjangan. Setiap kali menjelang kempen pilihanraya umum, isu perlaksanaan ini menjadi topik hangat. Pihak kerajaan memberi alasan bahawa perlaksanaan syariat Islam seperti Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana keadaan negara masih tidak kondusif (lihat jawapan Datuk Seri Najib Tun Razak semasa ditanya oleh wartawan).

Secara perundangannya, semamangnya terdapat percanggahan yang nyata yang menyukarkan laluan kepada perlaksanaan syariah termasuk hudud dan qisas ini. perbezaan bidangkuasa di antara negeri-negeri di bawah Persekutuan Malaysia. Sejak daripada pindaan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bidangkuasa mengenai undang-undang Syariah dan tidak boleh diganggu gugat (secara teknikalnya) oleh Mahkamah Sivil, terdapat sedikit ruang untuk undang-undang syariah dilaksanakan di negara kita.

Namun terdapat beberapa perincian yang menjadikan halangan untuk melaksanakan hukum syariat sepenuhnya.

  1. Peruntukan di bawah Perkara 3 ini adalah penting kerana ia menjelaskan bahawa Islam adalah agama persekutuan. Namun pada masa yang sama juga memberikan hak kepada orang bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dan damai. Selain itu, Perkara 3 juga menjelaskan kedudukan Raja-Raja sebagai ketua agama di negeri-negeri melainkan negeri yang tidak mempunyai raja. Manakala bagi sesuatu perkara yang meliputi seluruh persekutuan yang berkaitan dengan Islam. Maka Yang di Pertuan Agong akan mewakili Raja-Raja setelah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja. Disamping kedudukan Raja-Raja, Perkara 3 juga menyentuh tentang Yang di Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Seterusnya, Perkara 3 menyatakan bahawa bagi Wilayah Persekutuan, Parlimen boleh membuat undang-undang berkenaan dengan hal ehwal Islam dan menubuhkan Majlis bagi menasihati Yang di Pertuan Agong berkenaan dengan hal ehwal agama Islam. Bersamaan dengan Perkara 3 ini, semua negeri dalam persekutuan kecuali Sarawak juga telah menjadikan Islam sebagai agama negeri.
  2. Artikel 74(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Badan Perundangan Negeri iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) diberi kuasa untuk menggubal undang-undang mengenai mana-mana perkara yang disebut dalam Senarai Kedua, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Walaubagaimanapun, tidak dijelaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam Senarai 2, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan tidak ada dalam mana-mana enakmen negeri. Justeru bidang kuasanya boleh jatuh kepada Mahkamah Sivil.
  3. Artikel 4(1) memperuntukkan bahawa “Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas hari Merdeka dan yang berlawanan dengan perlembagaan ini, hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu”. Peruntukkan ini menjelaskan lagi bahawa walau pun Islam disebut sebagai agama Persekutuan, tetapi ia tidak boleh mengatasi peruntukan-peruntukan perlembagaan yang lain, dan ini ternyata bercanggah dan tidak selari dengan kehendak Islam. Lebih menyedihkan kita, Artikel 160 pula yang memberi tafsiran tentang ‘undang-undang’, perkataan Islam tidak dimasukkan, apa yang ditakrifkan sebagai undang-undang hanyalah common law, adat dan kelaziman serta undang-undang bertulis yang lain. Di samping itu juga, terdapat satu lagi akta yang menyempitkan peranan undang-undang Islam dan perlaksanaannya iaitu Akta Undang-undang Sivil (Civil Law Act) 1956. Melalui Seksyen 3 dan 5 akta ini, ia telah memberikan kedudukan yang istimewa kepada ‘common law’ Inggeris dan memperkecil serta menafikan peranan luas undang-undang Islam. Mengikut akta ini, jikalau tidak ada peruntukan lain dibuat oleh mana-mana undang-undang bertulis mahkamah hendaklah mentadbir dan mengenakan undang-undang Common Law Inggeris dan Kaedah Ekuiti yang ditadbirkan di England pada 17 April 1956.
  4. Antara akta-akta lain yang dilihat bercanggah adalah:
    1. Seksyen 112 Akta Keterangan (Evidence Act) 1960, berhubung dengan tempoh kandungan bagi memastikan bahawa anak yang baru dilahirkan adalah sah di sisi undang-undang (presumption of legitimacy of a child), dan juga Seksyen 100 akta yang sama, berhubung dengan pentafsiran pemilikan harta pusaka (interpretation of wills), perlu dikecualikan daripada dikenakan ke atas orang Islam.
    2. Seksyen 4, Akta Mahkamah Kehakiman (Court of Judicature Act) 1964, yang memperuntukkan bahawa jika berlaku percanggahan di antara mana-mana undang-undang (termasuk Islam) dengan akta ini, maka peruntukan akta ini perlu diterima pakai. Peruntukan ini perlu dimansuhkan.
    3. Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961 (Guardianship of Infants Act) perlu dikecualikan daripada diterima pakai ke atas orang-orang Islam.
    4. Akta Pemegang Amanah (Trustee Act) 1949. Perkataan ‘wakaf’ perlu dikecualikan daripada definisi ‘amanah’ (trust) di bawah akta ini. Begitu juga dengan Seksyen 4, Kanun Tanah Negara 1965.
    5. Seksyen 51, Akta Undang-Undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, perlu dipinda bagi membolehkan pihak yang memeluk Islam, mempunyai hak untuk memohon kepada mahkamah bagi membatalkan perkahwinannya sebelum Islam.

Penyelesaian untuk memperkukuhkan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan

 

Dengan merealisasikan perkataan “Islam sebagai agama Persekutuan” adalah cukup kuat menjadikan Islam dan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya berdaulat. Cuma beberapa pengubahsuaian atau penambahbaikan dibahagian-bahagian tertentu Perlembagaan Persekutuan amat perlu supaya tidak menimbulkan pertikaian lanjut pada masa depan. Prof Abdul Aziz Bari menyebut dalam satu artikelnya bertajuk “Halangan-halangan Pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam di Dalam Perlembagaan Malaysia” bahawa perkataan “Perlembagaan” dalam perkara 4(1) itu sendiri tidak jelas. Dengan ertikata lain masih ada ruang untuk berhujjah bahawa peruntukan yang mengisytiharkan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara itu tidak semestinya mutlak dalam menghalang undang-undang syariat Islam ditegakkan. Justeru pihak berkuasa negeri boleh melaksanakan undang-undang berkenaan dengan syarat sedikit pindaan perlembagaan persekutuan:

(a)    Meminda perlembagaan dan mengecualikan jenayah di bawah undang-undang Islam dari bidang kuasa persekutuan dan

(b)   menaikkan atau mengubahsuai undang-undang yang membataskan bidang kuasa mahkamah syariah tadi. Kesemua ini tidak terlalu sukar kerana pihak yang memerintah mempunyai majoriti yang cukup di parlimen.

Pindaan mempunyai 4 prosedur yang berbeza: (i) majoriti mudah, (ii) majoriti dua pertiga, (iii) majoriti dua pertiga dan persetujuan Majlis Raja-Raja dan (iv) majoriti dua pertiga dan persetujuan Yang di Pertua Negeri Sabah dan Sarawak. Perlembagaan bagaimanapun tidak menyebut peruntukan mana yang memerlukan prosedur yang berbeza ini.

Penyeragaman undang-undang sivil dan undang-undang syariah amat perlu. Gesaan penyeragaman ini pernah dibuat oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Semasa menjadi Menteri Besar Terengganu 1999-2004), “penyeragaman ini janganlah disempitkan fokusnya kepada undang-undang kekeluargaan dan beberapa peruntukan undang-undang yang bersabit dengannya; tetapi hendaklah meliputi secara komprehensifnya termasuklah undang-undang jenayah termasuklah hudud, qisas dan ta`zir untuk mendidik dan mengekang nafsu jahat manusia”. Keselarasan undang-undang Islam di Malaysia ini penting supaya ia dapat mengangkat martabat dan manhaj syariat Allah di bumi ini. Di negara kita, kedudukan undang-undang Islam adalah terlalu kabur dan seringkali apabila berlakunya percanggahan di antara keduanya, undang-undang sivil perlu diterima pakai dan undang-undang Islam akan terbatal setakat mana ia bercanggah. Dengan peyelarasan atau penyeragaman antara undang-undang sivil dan Islam ini akan memperkukuhkan lagi institusi kehakiman negara kita. Sekaligus menaikkan taraf agama Islam ditempat yang sepatutnya.

Akhir sekali adalah penambahbaikan kepada Senarai kedua, Jadual kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan amat perlu. Di mana penambahan kepada beberapa butiran dalam jadual tersebut bagi menjamin undang-undang Syariah Islam juga disekalikan dalam butiran berkenaan. Begitu juga memperincikan bidang-bidang kuasa bagi semua mahkamah syariah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleNota Kecil Hudud
Next articleProses kelahiran selamat
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com