Ubat tiada logo Halal?

Cetakan semula

image

“Ok encik, boleh ambil ubat yang saya tulis ni di kaunter ubat. Makan 3 kali sehari. Satu biji sekali makan”. Nasihat biasa yang aku sampaikan setiap kali mengakhiri sesi klinik bersama pesakit. 
“Terima kasih doktor atas khidmat nasihat dan pemeriksaan tadi. Em…tapi saya tak nak makan lah ubat yang doktor tulis tu”. Katanya terhenti seolah-olah menanti soal balas dari ku. Lelaki berumur 30 an tu adalah pekerja swasta yang bekerja secara tidak tetap disalah satu syarikat tepi bandar. Lagaknya seperti orang yang selalu mendapat maklumat kesihatan dari internet dan beberapa perubatan alternatif lain. 
“Ai, kenapa pulak?” soalku sangsi. Ada apa yang tak kena ni. Suasana agak kurang selesa, sebab penyakitnya tak lah serius sangat. Pening kepala dan selsema saja. Nurse yang membantu depanku menjeling sinis ucapan yang terpacul dari pesakit tadi. Bunyi penyaman udara dalam bilik pun menganggu konsentrasi perbualan. Sudah beberapa kali dihantar surat pembaikian penyaman udara, tapi tiada tindakan. Katanya peruntukan tiada.
“Ubat doktor halal tak?” soalnya cuba menduga aku sekaligus memetik satu pemikiran baru dalam diri ini. Selama ni tak pernah pulak orang pertikai ubat-ubatan klinik@hospital ni. Aku cuba memperbetulkan posisi diri di kerusi. Menyarung ketat-ketat kasut yang biasanya aku longgarkan sikit supaya memberi ruang kaki ber’nafas’. 
“Er…kenapa? Setakat yang saya tahu ubat-ubatan tu semuanya halal, diperbuat dari bahan halal dan tidak diragui bahannya…” jawabku dalam nada cuba menegakkan hujah. Nada suara jawapan agak tersekat dan seumpama berlegar dalam rongga dada. Setakat yg aku tahu kilang pembuatan ubat ini mendapat status GMP (Good Manufacturing Practice) dan mendapat pengiktirafan halal dari jakim. Cuma logonya tidak lah dipamerkan. Ubat ubatan klinik@hospital ni diberi dalam bentuk blister pack dan ada juga yg telah tercerai (loose). Tapi tidak le aku selidik sampai ke tahap macam mana dia dibuat? Guna bahan kanji yg diimport dari mana? Guna gula ke? Campur putih telur ke? 
“Ya la doktor, saya ragu sebab banyak makanan yang tidak halal dalam pasaran. Logo jakim pun…orang boleh tiru.” dia mematikan hujah bahawa semua bahan yang tiada logo halal jakim adalah haram. Riak wajahnya serius dan seorang menjaga makan minum diri serta ahli keluarga. Aku memahaminya kerana aku sendiri pun selalu menyuruh anak-anak baca dulu label, logo halal Jakim dipamer atau tidak. Logo halal pun ada macam-macam fesyen. Kadang-kadang timbul rasa sangsi. Ditambahi dengan paparan berita akhbar, logo Jakim diciplak oleh pihak-pihak yang tak bertanggungjawab. Namun dalam kes ubat-ubatan, pembuatannya mestilah mengikut standard yang tertentu. Lagipun seingat diri ini, kita tidak perlu usul lebih sesuatu yang kita ambil kerana asal sesuatu ubat adalah harus kecuali dinyatakan pengharamannya. 
“Em…encik makan roti canai tak?” aku cuba membuka mindanya agar berfikir diluar lingkungan.
“Ya, kegemaran saya tuh. Kenapa pulak?” soalnya sedikit ralat kerana tiba-tiba keluar isu roti canai. 
“Roti canai ada logo halal tak?” serkap soalanku agar dia teruja. 
“Betul juga!” keraguannya terjawab dengan perumpamaan yang ringkas. 
Kadang-kadang kita tidak perlu usul lebih sesuatu yang pada hukum asalnya adalah harus. Kita tak pasti gandum tu dari mana, halal ke tidak? Telur dalam roti canai tu, betul ke telur atau apa? Majerin yang dicampur dalam gandum tu lagu mana pulak? Bahan dari mana? Halal ke? Ada logo Jakim ke? 
Aku pasrah…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...