image

Saya melihat beberapa respons berkaitan amalan tahun baru yang disebarkan melalui media maya. Beberapa Ustaz tersohor memberi komentar masing-masing berdasarkan ketinggian ilmu dan kefasihan menafsir masing-masing. Ada yang menetang keras siap berdalil. Ada yang terlalu open juga berhujah tuntas. Ada yang di pertengahan. Tentang tidak dan terima pun tidak terima.
Terima kasih atas pencerahan yang telah dibuat oleh mereka. Sesungguhnya ilmu Islam itu luas dan ruang beramal itu tidak bertepi. Kitalah orang awam akan mengutip segala mutiara kata berdasarkan tahap keyakinan kita untuk beramal dengannya. Ruang khilafiyah ini sebenarnya memberi kemudahan kepada orang ramai beramal dengan amal Islami. Apa yang merunsingkan kita adalah umat Islam tidak beramal walau sebaris zikir sempena tahun baru ini. Lebih parah lagi ada lagi umat Islam yang bergelumang dengan dosa sempena menyambut tahun baru.
Suka saya membawa satu cerita metafora untuk kita fikirkan bersama.
“Terdapat sekumpulan abid yang melakukan ibadah mereka di satu masjid. Mereka melakukan aktiviti keagamaan mereka tanpa gangguan. Sehinggalah satu hari hadir seekor kucing membuat bising serta mengotori masjid tersebut. Justeru, berbincanglah mereka dengan guru mereka. Bagaimana kesudahannya si kucing ini yang selalu mengganggu ibadat mereka. Jika dibunuh, berdosa kerana membunuh binatang kesayangan seorang sahabat Rasulullah. Akhir sekali guru mereka “berfatwa” bahawa kucing tersebut hendaklah diikat pada tiang masjid pada waktu aktiviti ibadah sedang berlangsung; bagi mengelakkan gangguan si kucing tersebut. Maka khusyuk lah peribadatan mereka tanpa ngiauan dan najis si kucing tadi. Hari berlalu ke minggu dan bulan serta selang beberapa tahun. Setiap kali aktiviti ibadah, mereka akan mengikat kucing tersebut tanpa dinafikan hak kebajikan kucing dari sudut makan minum dan bersosial. Sehinggalah guru mereka meninggal dunia. Aktiviti tetap diteruskan seperti biasa.
Pada satu hari si kucing tersebut pula meninggal dunia kerana sudah lanjut usia. Lalu mereka bermesyuarat, bermuzakarah kembali mengenai ‘fatwa’ dan ‘tradisi’ yang pernah dilakukan oleh arwah guru mereka. Pelbagai pandangan dan pendapat dikemukakan berdasarkan ilmu dan kefakihan masing-masing berhukum. Akhir mereka membuat ‘fatwa’ baru bahawa perlu membeli seekor kucing yang baru bagi menggantikan arwah si kucing yang meninggal dunia tadi. Dan kucing itu wajib diikat setiap kali aktiviti peribadatan berlangsung. Antara alasan utama adalah bagi menambah kekhusyukkan dan mengikuti amalan guru mereka serta ‘menghormati’ ‘fatwa’ yang dikeluarkan.”
Sama-samalah kita fikirkan analogi cerita metafora yang dipaparkan di atas. ..
Wallahuaklam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleHukum Memakai Mask (Penutup Mulut Dan Hidung) Bagi Jemaah Haji Dalam Ihram
Next articleMERS-CoV oh MERS-CoV
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com