Terbitan semula:

“Doktor, nak tanya sikit..Akak dah tak datang bulan lama dah…lebih kurang 3 tahun lalu.” Mula bicara seorang wanita berunur 55 tahun semasa satu sessi klinik Zon Madinah.
“Jadi apa masalahnya?” Soalan pertamaku.
“Datang balik la…Ustazah arahkan akak datang jumpa doktor, darah haid ka? darah penyakit?” Ujar Akak dengan penuh pengharapan dan jawapan yang pasti. Kerana ini boleh menjejaskan ibadah Haji atau Umrah yang akan di jalankan oleh beliau.

depan kaabahLanjutan dari itu….aku menghuraikan mengikut sekelumit ilmu yang ada sebegini. Jika ada yang tak kena sila perbetulkan

Putus Haid (Menopause) adalah satu keadaan di mana ketiadaan perdarahan haid secara kekal bagi seorang wanita . Ia adalah proses biasa yang berlaku bagi seseorang wanita apabila sampai tempoh yang tertentu. Setiap wanita yang mempunyai sistem peranakan akan mengalami fenomena ini setelah sistem ovari dalam badan sudah berkurangan.
Majoriti pakar perubatan mendefinasikan putus haid adalah dimana seseorang wanita yang tidak didatangi haid secara bulanan selama lebih dari setahun (akan dibincangkan lagi dalam artikel ini). Ianya boleh disahkan lagi dengan mengalami tanda-tanda wanita yang putus haid seperti panas badan, sakit sendi, berpeluh malam, sukar tidur dan fikiran gelisah (tidak semua wanita mengalaminya). Pengesahan secara makmalnya apabila paras salah satu dari hormon kesuburan wanita terlalu tinggi. Hormon tersebut diberi nama Follicular Stimulating Hormone (FSH).
Secara ilmiah, kajian telah dijalankan bagi melihat bilakah umur yang biasanya seseorang wanita putus haid. Jadual dibawah menunjukkan umur dan peratus wanita yang kebanyakannya putus haid. Peratus ini hasil dari kajian dipelbagai benua dan geografi.
Umur Putus Haid % wanita
35—40 tahun (11.87%)
40—45 tahun (25.97%)
45—50 tahun (41.03%)
50—55 tahun (14.58%)
sebelum 35 atau selepas 55 tahun (6.54%)
Majoriti umur putus haid bagi seseorang wanita adalah diantara 45 hingga 55 tahun. Tidak dinafikan bahawa umur ini bergantung kepada faktor persekitaran dan iklim, sistem tubuh badan dan keturunan seseorang wanita berkenaan.
Para ulamak berbeza pendapat mengenai umur wanita yang putus haid ini. Berdasarkan kajian danpemerhatian semasa pada waktu itu Ad-darimi menyimpulkan bahawa bilamana sesorang wanita didatangi darah samada berumur belum mencapai 9 tahun atau diatas 50 tahun, ia bererti darah haid juga. Sebab Allah Subhanahuwa Taala dan RasulNya mengaitkan hukum-hukum haid pada kehadiran darah tersebut.
Pendapat Imam Syafie pula menyatakan bahawa tiada tempoh usia wanita putus haid. Pendapat ini mungkin berdasarkan uruf semasa pada ketika itu atau mengambil bukti sirah isteri Nabi Allah Ibrahim yang masih boleh melahirkan anak (Nabi Allah Ismail) walaupun sudah lanjut usia. Walaubagaimanpun pendapat Imam Hanafi, Hambali dan Maliki berbeza, dan menentukan tempoh usia wanita putus haid. Sedangkan jarak perbezaan zaman pada ketika itu tidaklah terlampau jauh. Semoga Allah merahmati mereka semua dalam menyatakan pandangan dan pendapat.
Tulisan ini pula bukan ingin menyanggah apa yang telah dinyatakan oleh para ulamak, tetapi ingin menyatakan beberapa pandangan terkini berdasarkan bukti-bukti kajian ilmiah mengenai wanita yang putus haid.

Kenapa wanita didatangi haid dan putus haid.

Sebelum kita melanjutkan perbincangan fekah mengenai hukum wanita yang telah putus haid dan beberapa masalah yang berkaitan dengannya, marilah terlebih dahulu kita memahami apakah yang dikatakan kitaran bulanan haid wanita dan kenapa haid terhenti pada usia tertentu.
Wanita mempunyai sekurang-kurangnya empat hormon penting bagi mengimbangi kitaran bulanan haid mereka. Hormon tersebut adalah Follicular Stimulating Hormon (FSH), Leutinizing Hormon (LH), Progesterone dan Estrogen. FSH dan LH berfungsi untuk membina telur (ovum) yang terdapat dalam kilang telur (ovari) membesar dengan subur dan matang sebelum ia pecah untuk disenyawakan oleh sperma lelaki . Progesteron dan Estrogen pula berfungsi untuk membina dinding peranakan wanita, subur untuk perletakan benih yang telah disenyawakan. Untuk pengetahuan bersama, hormon Progesteron dan Estrogen ini juga penting untuk menjaga keseimbangan fizikal dan mental seseorang wanita. Kulit wanita akan kelihatan cantik dan gebu akibat dari hormon Progesteron dan Estrogen. Begitu juga dangan emosi seseorang wanita dipengaruhi oleh hormon ini.
Hormon FSH dan LH dirembeskan dari kilang Pituatari yang terletak dalam rongga otak. Rembesan ini pula bergantung kepada signal negatif yang diperolehi dari Hormon Progesteron dan Estrogen yang dirembeskan dari kilang telur itu sendiri. Maksudnya jika telur tidak disenyawakan, tiada percambahan benih yang melekat pada dinding peranakan, hormon progesteron dan estrogen akan menurun secara mendadak. Menyebabkan signal akan dihantar ke kilang Pituatari untuk merembeskan FSH dan LH bagi kitaran pembentukan ovum yang kedua bagi bulan berikutnya. Semasa penurunan progesterone dan estrogen mendadak inilah dinding peranakan yang subur tadi berdarah yang kita namakan darah haid. Tujuan perdarahan tadi supaya penyediaan untuk pembinaan sel-sel baru bagi kitaran bulan yang berikutnya. Indahnya kejadian Allah Taala bagi manusia yang berfikir!
Seumur hidup seseorang wanita berupaya mengeluarkan telur sebanyak 400 ribu biji. Pengeluaran ini bergantung terus kepada hormon yang dinyatakan di atas. Proses pengeluaran ini agak kompleks dan hanya Allah SWT sahaja mengetahui secara mendalam. Walaubagaimanapun tidak semua telur akan mencapai tahap kematangan dan disenyawakan. Kajian menyatakan hanya 400 telur sahaja matang dan dikeluarkan untuk persenyawaan . Dalam satu kitaran, hanya satu telur sahaja akan matang dan dikeluarkan untuk persenyawaan. Telur yang masih berbaki, yang dalam proses kematangan akan terhenti tumbesaran setelah hormon-hormon di atas berkurangan. Ada kedapatan telur yang belum matang tadi akan matang pada kitaran yang berikutnya, dan ada di antaranya akan terbantut terus.
Apa yang terjadi semasa proses menopos (putus haid) ialah, telur-telur tadi sudah berkurangan dan ada yang tidak mencapai tahap kematangan untuk dikeluarkan dari kilang telur. Ini mengakibatkan kitaran haid bagi seorang wanita yang hampir putus haid tidak menentu. Pada masa yang sama hormon-hormon FSH, LH, Progesteron dan Estrogen juga akan mengalami gangguan perembesan.
Pada saat inilah wanita akan mengalami beberapa kecelaruan seperti cepat marah, sukar untuk tidur, sentiasa merasakan panas badan, sakit urat sendi dan nafsu berkurangan . Fenomena ini akan berlaku pada wanita bergantung kepada tahap ketahanan badan masing-masing. Wanita yang tidak dapat mengatasi perubahan kehidupan ini diberi pilihan untuk mengambil pil yang dinamakan Terapi Hormon Gantian (Hormon Replacement Therapy) .
Sesetengah wanita akan mengalami kecelaruan ini sehingga bertahun-tahun dan sebahagian darinya akan mengalami beberapa bulan sahaja. Malah ada di antara mereka tidak akan merasai perubahan ini secara ketara . Yang pasti mereka akan mengalami gangguan kitaran haid dan akhirnya haid akan terhenti.
Makna Putus Haid (Menopos)
Terdapat dua pandangan dalam ilmu perubatan mengenai tempoh masa yang mengesahkan bahawa seseorang wanita telah putus haid. Pendapat yang pertama adalah enam bulan dan pendapat kedua adalah selepas satu tahun dari haid yang terakhir.
Saya mengambil pendapat kedua kerana keyakinan yang tinggi bahawa kilang telur wanita akan mengalami kepupusan telur dalam tempoh tersebut. Ia juga suatu tempoh yang cukup selesa beserta dengan beberapa tanda fizikal dan mental yang akan dialami oleh seseorang wanita.

Perdarahan selepas Putus Haid (Menopos)

Timbul beberapa hukum fekah yang berkaitan dengan perdarahan yang berlaku selepas putus haid. Penelitian ulamak dalam masalah ini masih belum selesai dan diperbincangkan dalam pelbagai forum.
Dalam keadaan biasa seseorang wanita berusia yang telah putus haid tidak akan mengalami haid kali kedua dalam hidupnya. Kajian menyatakan hanya 5% wanita akan mengalami perdarahan yang seakan-akan haid setelah putus haid. Jika seseorang wanita yang telah putus haid mengalami perdarahan, ia dikira darah penyakit dan perlu diketahui punca-puncanya melalui siasatan lanjut. Perdarahan ini biasanya tidak tetap hari dan tidak mengikut kitaran bulan yang biasa. Ada kalanya darah yang keluar sedikit dan ada yang banyak sehingga memudaratkan. Darah penyakit ini berpunca dari beberapa sebab seperti dibawah :
1. Masalah pembekuan darah seperti hemophilia atau jangkitan virus.
2. Wanita yang mengambil pil hormon atau ubat tradisional tertentu.
3. Pengencutan vagina
4. Pembengkakan rahim.
5. Barah Rahim, pangkal rahim atau barah Ovari (Kilang Telur)
6. Terdapat ketulan (polyps) di dalam rahim atau pangkal rahim.

Perkara yang paling membimbangkan para pakar perubatan mengenai masalah perdarahan selepas putus haid ini adalah Barah Rahim. Lima hingga 10% perdarahan selepas putus haid adalah berpunca dari Barah Rahim. Kajian perlu dijalankan oleh pakar perubatan bagi mengetahui Barah Rahim ini. Antara ujian ringkas yang boleh dijalankan adalah dengan kaedah Ultra Sound sistem Peranakan. Melalui ujian Ultra Sound ini pakar perubatan dapat mengetahui secara asas masalah yang dihadapi oleh seseorang wanita.

Rujukan

  1. Menopause. Dicapai melalui http://en.wikipedia.org/wiki/Menopause pada 10-Nov-08
  2. Marie Carmichael Stopes. Change Of Life in Men And Women. Dicapai Melalui Http://Www.Geocities.Com/Menobeyond/Age.Html#1 Pada 10-Nov-08
  3. Muhammad bin Shaleh Al-‘Uthaimin. Usia dan Masa Haid. Darah Kebiasaan Wanita. Islamic Propogation Office in Rabwah, Riyadh.
  4. The Reproductive System di perolehi dalam talian http://library.thinkquest.org/2935/Natures_Best/Nat_Best_Low_Level/Reproductive_page.L.html#female_repro pada Tuesday, November 11, 2008
  5. Berbagai Ukuran Seputar Seks dan Organ Reproduksi. Di capai melalui http://www.hanyalelaki.com/mod.php?mod=publisher&op=viewarticle&artid=140 pada 13 November 2008
  6. Menopause. Dicapai melalui http://menopause.emedtv.com/menopause/menopause.html pada November 14, 2008
  7. Menopause. Dicapai melalui http://www.healthywomen.org/healthtopics/menopause pada November 14, 2008
  8. Postmenopausal Bleeding. http://www.patient.co.uk/showdoc/40024599/
  9. KATHLEEN A. ORIEL, SARINA SCHRAGER. Abnormal Uterine Bleeding. Dicapai melalui http://www.aafp.org/afp/991001ap/1371.html
Copyright Control by aljazli design (c) 2003 – 2008
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...