keningau 10kmMungkin tidak terlintas dalam fikiranku sebelum ini bahawa bumi Keningau akan ku jejaki. Berfikiran agak negatif dan sebolehnya menolak dicalonkan lebih awal untuk memenenuhi kehendak perjawatan di bumi yang serba mencabar ini. Namun masa berlalu dan tidak memberi belas kepada kita yang selalu alpha. Catatan ini bertujuan memberi gambaran perbezaan jurang antara kehidupan saya sebelum ini berbanding kehidupan ketika berada di Keningau. Walaupun hanya enam bulan ditugaskan ke Keningau, tetapi mungkin beberapa permasalahan yang saya utarakan boleh menjadi panduan kepada sesiapa yang berkenaan.

Catatan ini juga mungkin tidak menggambarkan secara tepat apa yang berlaku di sini. Tetapi ia merupakan catatan berdasarkan pengalaman yang dilalui. Semoga setiap rakyat mendapat hak yang sewajarnya dan setiap inci tanah Keningau akan menuntut pembelaan. Keningau, kawasan yang luas ibarat sebuah negeri di Semenanjung. Nama diberi kerana masyhurnya pohon Keningau yang berbau wangi. Dijadikan hiasan ruang tamu dan boleh dicampur dengan makanan agar membangkitkan aroma. Terletak 130 kilometer ke barat daya Kota Kinabalu. Dari Kota Kinabalu ke Keningau, terpaksa merentasi Banjaran Crocker yang mengerikan. Samada melalui jalan darat Kota Kinabalu-Tambunan-Keningau atau Kota Kinabalu-Papar-Kimanis-Keningau, kedua-duanya mesti melepasi Banjaran Crocker. Jika sekadar kereta buatan tempatan atau kereta berkuasa rendah, akan semput ditengah pendakian. Mungkin akan rosak dan ditunda semula ke Kota Kinabalu. Namun ianya satu memori kusam yang akan diceriterakan kepada generasi mendatang. Jika melalui laluan Kimanis, pendakiannya agak tinggi walaupun jarak masa lebih singkat berbanding laluan Tambunan. Di laluan Kimanis, terpaksa melalui 10 bukit dan 10 lurah. Bukit yang paling tinggi dan paling lama menaikinya adalah bukit ke 5. Segagah kereta Unser 1.8 kuasa kuda hanya berkudrat menggunakan gear 2 dan sekali sekala gear 3. Lebih dari itu akan semput. Selepas bukit kelima ini kita akan mencapai puncak Banjaran Crocker yang sejuk. Toleh ke belakang boleh melihat panorama Bandar Kota Kinabalu yang ditinggalkan. Sedih dan pilu mengenangkan keperitan berulang alik dari Kota Kinabalu ke Keningau kerana inilah jalan yang terpaksa dirempuh. Entah bila projek Lebuhraya merentasi Borneo seperti yang dijanjikan kerajaan pada PRU13 lalu? Setelah melewati bukit ke 7 barulah kita akan mula melihat kotak-kotak bangunan Pekan Keningau. Jika waktu malam, kerdipan lampu neon pekan keningau seolah-olah menggamit dan mengharapkan daku cepat sampai ke sana. Tapi papan tanda “Sila guna gear rendah” terpampang agar pemandu berhati-hati kerana proses pendakian turun telah bermula. Seingatnya jalan berliku sebegini seperti jalan Gerik-Simpang Pulai menuju ke utara tanah air. Laluan Kota Kinabalu-Tambunan-Keningau juga hampir sama, wajib melalui lereng bukit dan merentasi lurah dalam. Namun darjah kecerunan tidak terlalu tinggi berbanding Kimanis. Jaraknya jauh dan mengambil masa kurang lebih 2 jam jika berkereta.

……….>

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articlePengguguran Bayi dalam Islam
Next articleAntara Asmaa dan Al Tantuya Shariibu
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com