image

Perbahasan hukum mengenai kaedah perubatan moden senantiasa berkembang setelah timbulnya ubat-ubatan masa kini. Namun tidak kurang juga ramai di kalangan masyarakat menolak kaedah perubatan moden ini atas alasan ingin mengikut sunnah Rasul dan meletakkan tawakkal ditempat tertinggi. Fenomena ini makin meluas dengan timbulnya isu keraguan pengunaan vaksin di seluruh dunia.

Vaksin haram?
Antara keraguan utama yang sering ditimbulkan adalah vaksin diperbuat dari sumber babi. Masyarakat di Malaysia juga tidak terlepas dari kemelut dan perbahasan yang tidak berkesudahan ini.

Para fuqaha dan pengkaji muslim sentiasa membahaskan isu-isu yang berkaitan ketulinan vaksin dan mengeluarkan garis panduan bagi menyelamatkan umat Islam dari terus terkeluar arus kemodenan. Sehingga tarikh ini, tiada satu pun vaksin yang digunapakai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia diragui proses pembuatannya bercampur dengan babi. Malah pengharusannya telah pun diwartakan oleh Jakim melalui laman web mereka.

Namun terdapat produk luar seperti bagi vaksin MMR (Mumps, Measles dan Rubella) dari Syarikat Merck (Attenuvax) mengandungi Gelatin Terhidrolisis (HG). Sumber asal HG ini adalah dari babi. Digunakan sebagai medium dalam proses membuat vaksin MMR. HG adalah molekul ringkas hasil dari penguraian gelatin mentah yang terdapat dalam kulit, tulang, rawan dan tisu binatang. Binatang yang digunakan adalah lembu, biri-biri, ikan dan babi.

Hukum Istihalah
Walaubagaimana sekalipun nama yang diberi atas HG ini, hukumnya diharuskan penggunaannya. Keharusannya berdasarkan HG ini tergolong dalam hukum Istihalah sesuatu bahan. Atau boleh mengambil keharusannya mengikut hukum fekah daruriyyat. Demi menyelamatkan nyawa dalam kes ketiadaan ubat alternatif dalam keadaan yang kritikal.Ianya juga diperjelaskan lagi melalui satu keputusan nadwah pengurusan Islam dalam ilmu perubatan berlangsung di kuwait pada Mei 1995 seperti yang dicatat oleh ulama terkenal Dr Wahbah Al Zuhayli. Dalam resolusi Nadwah Pengurusan Islam Dalam Ilmu Perubatan Ke 8 yang diadakan di Kuwait pada Mei 1995, antara lain diputuskan bahawa (Wahbah al-Zuhayli, 9: 660-665):
1. Gelatin yang terbentuk daripada proses istihalah daripada tulang binatang najis, kulit dan uratnya adalah bersih dan halal dimakan.
2. Sabun yng dibuat melalui proses istihalah dari lemak khinzir ataupun bangkai binatang adalah suci dan harus digunakan.
3. Keju yang dihasilkan daripada rennet yang didapati daripada bangkai haiwan yang halal dimakan adalah suci dan halal dimakan.
4. Alat-alat solek yang mengandungi lemak khinzir tidak boleh digunakan, kecuali jika telah pasti berlaku proses istihalah dan telah berlaku pertukaran ain atau zatnya.
5. Bahan makanan yang mengandungi lemak khinzir sebagai ingredientnya dengan tidak berubah zatnya seperti yang terdapat pada sesetengah keju, minyak, mentega, dadih, biskut, coklat dan aiskrim adalah haram dimakan.
6. Insulin yang diambil dari khinzir adalah harus digunakan bagi mengubati penyakit kencing manis kerana darurat. Keputusan yang sama dibuat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Peringkat Kebangsaan Ke 6, Oktober 1983. [Nota: Insulin yang digunapakai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia buat masa ini adalah halal dan bukan bersumber dari babi]

Dalam konteks Malaysia, beberapa fatwa berhubung penggunaan bahan yang berunsurkan babi telah diputuskan, antara lain:

1. Penggunaan gelatin dalam ubat adalah diharuskan kerana darurat. Sekiranya telah ada bahan halal yang dapat menahan ubat dari cepat rosak, maka penggunaan gelatin dalam ubat tidak lagi harus (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Peringkat Kebangsaan Ke 8, September 1984)
2. Baja yang diperbuat dari tahi babi adalah najis mughallazah tetapi penggunaannya sebagai baja adalah harus serta makruh. (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Peringkat Kebangsaan Ke 2 Mei 1981)

Istihalah boleh dirumuskan sebagai perubahan sifat jirim atau zat molekul bagi sesuatu bahan yang boleh menyebabkan perubahan hukumnya yang asal. Dari penjelasan ini, bahan najis yang haram boleh berubah menjadi suci dan halal apabila zatnya berubah menjadi bahan lain yang berbeza sama ada dari segi nama, kriteria dan juga sifatnya (Anisah Ab. Ghani, Jurnal Halal 2008: 45-46,: Muhammad Safiri Makanan Ubahsuai GenetiK: Satu Analisis Hukum, 2008: 78).
Sebagai contoh istihalah ini adalah baja siraman sayur yang digunakan adalah dari najis, tapi sayurnya sedap dimakan dan halal. Jika seekor kinzir mati dan jatuh dalam lautan garam, akhirnya dia hancur dan sebati dengan garam tersebut. Hukumnya halal memakan garam tersebut. Sama juga air kolam yang kita minum. Sudah beratus-ratus binatang mati dalam kolam tu. Tetap halal sebab sebatian asal telah berubah bentuk dan telah hilang dari segi zat dan sifat dia. Rujukan lanjut boleh lihat Genitically modification food dalam pandangan syarak oleh Muhammad Safiri. (Muhammad Safiri Makanan Ubahsuai GenetiK: Satu Analisis Hukum, 2008: 78)

Hukum Darurat dalam Berubat
Soalan timbul apabila ada yang mempertikaikan bahawa adakah pemberian vaksin ni kira darurat? Dalam berubat kita kena lihat 5 maslahat syarie @ maqasid syariat iaitu: Akal, Agama, Harta, Keturunan dan Jiwa/nyawa.
Sila perhatikan dengan teliti statistik berikut. Dalam tahun 2011 terdapat 158000 kematian akibat measles (campak) seluruh dunia. Di mana 430 kematian setiap hari atau 18 kematian setiap jam. Adakah kita tidak melihat measles boleh mengancam nyawa keseluruhan nya? Mungkin bukan anak anak kita tapi anak-anak orang lain yang dijangkiti akibat komplikasi measles (campak). Terbukti vaksinasi measles (campak) sejak 2000-2011 telah menurunkan 73% mortaliti (kadar kematian) seluruh dunia. Amat menyedihkan bahawa 95% kematian akibat measles (campak) datang dari negara-negara ekonomi rendah. Negara umat Islamlah yang banyak terlibat. Ini adalah satu contoh statistik kematian dari penyakit yang mengancam nyawa manusia. Lapan jenis penyakit lagi yang boleh dicegah melalui vaksin tidak kurang seriusnya membolehkan kadar kematian meningkat terutama di kalangan kanak-kanak.
Pemberian vaksin ini melibatkan salah satu dari penjagaan maqasid syariat tersebut.  Tidakkah kita terasa terpanggil untuk menjaga maqasid syariat tu? Sebab itu Allah tetapkan hukum untuk menjaganya.  Jika kita ambil arak yang boleh merosakkan akal- sebatlah jawabnya. Jika kita berzina yang boleh merosakkan keturunan dan maruah- sebat atau rejam selayaknya. Jika kita murtad (nauzubillah) keluar dari agama- hukumnya bunuh. 

Kesimpulannya vaksinasi adalah wajib diberikan kepada zuriat kita.

Wallahuaklam
@ Keningau

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleIntroduction to Hukum Islam, Fasting, Diabetes and Implication to Islam
Next articleNaturopati vs Alopati: Siapa lebih Islamik
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com