,

Serlahlah Kehebatan Diri

image Author : Ahmad Shahir Bin Mohamad Nazri:Bismillahirrahmanirrahim.
“Katakanlah (Muhammad), Wahai Tuhan Pemilik Kekuasaan, engkau beri kekuatan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan daripada sesiapa yang engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha berkuasa atas segala sesuatu.” Ali Imran (3:26)

Segala puji Bagi Allah yang memberi kekuatan dan kemuliaan kepada hambanya, yang mana dengan adanya kekuatan, manusia mampu melaksanakan setiap urusan dengan sempurna dan dengan kemuliaan pula manusia akan dipandang tinggi dan hidupnya senang senantiasa. Inilah fokus artikel ini, kemuliaan dan kekuatan disimpulkan sebagai kehebatan. Mengapa perlu menjadi hebat? Allah berfirman:
“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” At-Tin (95:4)
Sedarlah bahawasanya kita merupakan sebaik-baik kejadian, maka adakah patut kita menjatuhkan martabat diri setelah Allah meletakkan kita di martabat yang tinggi? Aplikasikanlah pada kehidupan kita sebagai hamba Allah. Allah telah menjadikan kita sebaik-baiknya dan tidak cukup dengan itu, Allah memberi kita bantuan hayat yang secukupnya, tetapi kita tidak sedikit pun berusaha untuk menjadi insan yang hebat, maka kata orang Melayu tradisional, kita ini hanya “memperhabis beras sahaja”. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada orang Mukmin yang lemah”.
Jadi, masih tertanya-tanya lagikah mengapa perlunya kehebatan diserlahkan? Kemudian timbul pula persoalan, kehebatan bagaimanakah yang kita inginkan? Secara umumnya, dogma masyarakat kini menetapkan bahawa hebat semestinya berkereta besar, berumah besar, berpangkat dan berharta. Tidak dinafikan, harta dan pangkat memberikan gambaran kehebatan pada kaca mata seseorang. Lihat sahajalah apabila kita menceritakan betapa kayanya orang-orang seperti Bill Gates ataupun Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhari, yang mana umum mengetahui bahawa mereka dahulunya bukan berpendidikan tinggi, tetapi akhirnya lebih berjaya daripada orang lain. Memang tidak boleh dinafikan lagi, dogma masyarakat akan menetapkan bahawa kekayaan dan kedudukan sebagai ukuran pertama kehebatan. Tetapi adakah cukup sekadar kedudukan dan kekayaan sahaja untuk dikatakan hebat? Budd Dwyer yang berasal daripada Pennsylvania merupakan seorang ikon di Amerika Syarikat. Pada 1987, akibat tekanan, beliau akhirnya membunuh diri dengan menembak mulutnya di hadapan mata penonton televisyen. Sufiah Yusuf, seorang prodigi Matematik rela menggadai maruah atas alasan inginkan kawalan penuh terhadap hidupnya. Jadi, kehebatan yang bagaimanakah yang kita inginkan? Hebat di dunia tidak semestinya menjamin ketenangan di dunia dan kesenangan di akhirat. Tetapi, kehebatan di dunia mampu menyumbang kepada ketenangan dan kesenangan di akhirat sekiranya dimanfaatkan. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Kejarlah dunia seolah-olah kamu akan hidup selamanya dan kejarlah akhirat seolah-olah kamu akan mati esok”.
Kesimpulannya, haruslah kita menetapkan matlamat dalam diri kita, bahawasanya kejayaan kita di dunia akan menyumbang kepada kehidupan kita di akhirat kelak. Sesungguhnya, barangsiapa yang mengejar dunia, dunialah yang dia dapat dan barangsiapa yang mengejar akhirat, dunia akan ikut bersamanya.
Sigmund Freud, seorang pakar psikoanalisis menyenaraikan tiga bahagian dalam diri sesuatu organisma. Pertama, beliau menyenaraikan sifat “id” ataupun “it“. Beliau mengatakan bahawa sistem neuron sesuatu organisma menterjemah keperluannya dalam bentuk dorongan motivasi yang dipanggil Trieben dalam bahasa Jerman (juga bermaksud naluri, hajat). Proses penterjemahan ini dipanggil Proses Pertama (primary process). Tujuan utama id adalah untuk memenuhi prinsip kepuasan (pleasure principle) dan berkait rapat dengan keinginan untuk dijaga keperluannya dengan segera, contohnya bayi yang menangis apabila inginkan sesuatu. Bayi dikatakan contoh id yang paling tulen. Id merupakan sesuatu yang berlaku tanpa kesedaran (unconscious) dan mudah dipuaskan apabila ia mendapat sesuatu yang diinginkan. Namun begitu, kehendak seuatu organisma tidaklah sebegitu mudah untuk dipuaskan sepertimana kehendak id. Keinginan terhadap sesuatu akan semakin bertambah dan bertambah dan apabila ia tidak dipenuhi, ia akan menarik perhatian kita ke arahnya, hinggalah sampai ke satu tahap kita tidak mampu memikirkan perkara lain lagi. Kita bernasib baik kerana terdapat peratusan kecil minda sedar (conscious) yang menghubungkan sesuatu organisma dengan realiti (harus difahami bahawa keinginan dan kehendak diklasifikasikan bawah minda tanpa kesedaran [unconscious]). Perkembangan berlaku semasa tahun pertama kehidupan seorang kanak-kanak apabila sebahagian “it” bertukar menjadi “I”, “id” menjadi “ego”. Ego merupakan bahagian kedua pada sesuatu organisma, yang mengaitkan organisma tersebut dengan sesuatu realiti melalui kesedarannya, lantas mencari objek yang mampu memenuhi kehendak yang dicipta oleh id. Proses penyelesaian masalah ini pula dipanggil proses kedua (secondary process). Ego bertindak berdasarkan prinsip realiti (reality principle), yang mengatakan bahawa keperluan akan dijaga sebaik sahaja objek yang dapat memenuhi keperluan itu ditemui. Hal ini bertentangan dengan id yang mengatakan bahawa keperluannya harus dipenuhi pada ketika itu juga. Walau bagaimanapun, ketika ego berusaha memenuhi keperluan id dan akhirnya organisma itu sendiri, ia akan bertemu dengan beberapa halangan dan dorongan dalam mencapai matlamatnya. Melalui pengalaman, ego belajar untuk mengingati bentuk-bentuk halangan yang ada dan cara mengelakkannya, serta mengingati bentuk-bentuk dorongan dan cara untuk mendapatkannya. Perkara ini dinamakan “superego” dan ia merupakan bahagian ketiga dalam kehidupan setiap organisma. Dalam kehidupan kanak-kanak, kedua-dua bentuk hukuman dan ganjaran terbesar datangnya daripada ibu bapa sendiri, dan daripada ibu bapa itu, kanak-kanak akan belajar menjauhi hukuman dan mendapatkan ganjaran. Superego mempunyai dua aspek: “conscience” iaitu kesedaran terhadap hukuman dan amaran dan “ego ideal” iaitu kesedaran terhadap ganjaran dan teladan yang baik. Conscience dan ego ideal berhubung dengan ego melalui perasaan seperti bangga, malu dan rasa bersalah.
Apa kaitannya id, ego dan superego dalam proses menyerlahkan kehebatan kita?
Id, ataupun apa yang kita gelar sebagai fitrah, perlu kepada kebaikan dan sangat-sangat berhajat akannya. Setiap manusia dilahirkan dengan fitrah suka diperlakukan dengan baik dan suka melakukan sesuatu dengan baik. Salah satu fitrah kita ialah sifat sukakan kecemerlangan. Contohnya, apabila diumumkan tarikh peperiksaan, semua orang akan mengulangkaji pelajaran, walaupun dalam hatinya mengatakan bahawa dia tidak akan berjaya, kerana hakikatnya dia mahu berjaya. Kemudian muncul pula ego, yang akan menentukan sebanyak mana usaha kita ke arah kejayaan. Ada yang bersungguh-sungguh mengulangkaji pelajaran, ada yang mengulangkaji secara sambil lewa, dan ada pula yang berusaha mencari jalan untuk meniru dalam peperiksaan. Ego akan berusaha, tidak kiralah sedikit atau banyak, betul atau salah, yang penting keperluan id dipenuhi. Di sinilah superego memainkan peranan untuk membantu ego memenuhi keperluan id. Superego memberitahu ego apa yang betul, dan apa yang salah melalui pengalaman seseorang itu. Kerana itulah kita takut dan malu untuk meniru dalam peperiksaan, kita malu untuk mengulangkaji pelajaran secara sambil lewa, dan kita lega apabila kita mengulangkaji bersungguh-sungguh, walaupun keputusan peperiksaan belum lagi diketahui. Superego juga membantu mengenalpasti ganjaran dan cara mendapatkannya, serta hukuman dan cara menjauhinya. Sebagai seorang Muslim, kita yakin Allah akan memberi ganjaran apabila kita berusaha.Firman Allah s.w.t:
“…Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri…” Ar-Ra’d (13:11)
Superego kita akan mengenal pasti ganjaran, iaitu memperbaiki nasib diri, serta cara mendapatkannya, iaitu berusaha untuk berubah. Atas kesedaran ini, kita akan berusaha ke arah kejayaan. Dan usaha itu pula bukanlah sebarang usaha, tetapi usaha yang bersungguh-sungguh dan menurut jalannya yang betul. Dari sinilah akan lahirnya kehebatan dari dalam diri kita menghadapi Tekanan
“Maka sesungguhnya bersama kesusahan ada kesenangan. Sesungguhnya bersama kesusahan ada kesenangan. Maka apabila engkau telah selesai (sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain). Dan kepada tuhanmulah engkau berserah.” Al-Insyirah (94:5-8)
Sudah menjadi sunnatullah bahawa kehidupan seorang manusia itu tidak akan lari daripada dugaan dan ujian. Perasaan marah, sedih, kecewa dan tidak bermaya sering membebani diri. Allah menegaskan dalam ayat al-Quran di atas bahawa setiap kesusahan ada kesenangan dan manusia seharusnya meneruskan usaha dan berserah pada Allah sesudah itu. Seseorang yang hebat ialah seseirang yang mampu bersabar dan redha apabila menghadapi kesukaran. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Nabi bertanya sahabat : Apakah kamu fikir berkenaan hal kekuatan dalam gusti (berlawan)? Sahabat menjawab : Lelaki yang tidak mampu ditandingi gustinya Nabi menjawab : tidak sedemikian tetapi kekuatan yang sebenarnya adalah seseorang yang mampu mengawal dirinya ketika marah” ( Riwayat Muslim, no 4722 )
Otak manusia mempunyai “litar ganjaran” (reward circuit) dan “litar hukuman” (punishment cicuit). Rangsangan yang tidak diingini seperti ketakutan, kemarahan dan kesedihan yang mencetuskan respon “lawan atau lari” (fight or flight response) akan mengaktifkan litar hukuman dan membolehkan kita menghadapi situasi yang kurang menyenangkan tersebut. Litar hukuman berfungsi melalui medium acetylcholine, yang mana ia akan merangsang perembesan hormon adrenal cortico-trophic (ACTH). ACTH pula merangsang kelenjar adrenal untuk merembeskan adrenalin bagi menyediakan tubuh untuk respon lawan atau lari. Rangsangan terhadap litar hukuman akan meyekat litar ganjaran dan menerangkan sebab mengapa ketakutan, kerisauan dan kemarahan akan menghilangkan ketenangan. Kerana itulah sesiapa yang mampu menahannya pastinya seorang yang hebat.Dari segi psikologi, ketakutan dan kerisauan merupakan perkara yang berbeza tetapi mempunyai satu persamaan, kedua-duanya terjadi apabila sistem saraf simpatetik (sympathetic nervous system) memberi arahan untuk bertindak, tetapi badan tidak dapat melakukan apa-apa. Kedua-duanya adalah berguna sekiranya masih mampu dikawal. Dari sudut evolusi keberlangsungan hidup, kerisauan mempunyai beberapa faedah, katakan nenek moyang kita dahulu yang tinggal di kawasan hutan yang diketahuinya ada binatang buas. Mindanya secara tidak sedar akan memberitahunya untuk tidak berlegar-legar di kawasan itu lagi. Sedikit kerisauan amat diperlukan untuk mengingatkan kita agar berhati-hati dan berwaspada. Ketakutan dan kerisauan juga membantu apabila kita ditimpa ujian. Kedua-duanya mampu memberikan kesan positif dengan cara menggerakkan seluruh tenaga kita untuk memberikan yang terbaik. Tetapi, ia akan memakan diri apabila ketakutan dan kerisauan itu melumpuhkan kita daripada mengambil sebarang tindakan. Dari segi psikologi, ketakutan melampau dan tidak dikawal akan menjurus kepada beberapa masalah mental seperti “generalizad anxiety” (ketakutan yang muncul tanpa sebab), fobia (ketakutan yang teramat sangat) dan juga serangan panik (panic attacks). Jadi, bagaimana untuk menenangkan hati? Luangkan masa anda untuk diri anda, seperti mana sabda Rasulullah s.a.w kepada Hanzalah r.a apabila dia menyangka dirinya munafik kerana ketika dalam majlis bersama Rasulullah s.a.w, beliau menangis dan apbila di rumah, beliau sempat bergelak ketawa bersama isteri dan anak-anak:
“Demi nyawaku di tangan Allah, sekiranya kamu terus-menerus sebagaimana kamu seperti di hadapanku (insaf, serius dan teliti), nescaya kamu akan sama tahapnya seperti Malaikat di tempat tidurmu dan di perjalananmu. Namun Hanzalah, ingatlah seketika, seketika (ertinya ada ketikanya kita serius dan ada waktunya kita berehat dan meringankan fikiran)” (Riwayat Muslim, Kitab Taubat, no 69000, 17/69)
Demikian juga sebuah hadis athar lain menyebut:
“Rehatkan hatimu masa ke semasa” ( Riwayat Shihab, no 672, sanad dhoif)
Ketika berehat, sistem saraf parasimpatetik (parasympathetic nervous system) akan mengambil alih tubuh badan, lantas mengurangkan kesan simpatetik. Lalu perasaan takut, risau dan marah dapat dikurangkan. Dan sehebat-hebat penenang jiwa adalah seperti firman Allah s.w.t:
“…Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” Ar-Ra’d (13: 28)
Terdapat sebuah kisah dongeng Aesop yang menceritakan perihal seekor serigala yang tidak pernah berjumpa dengan singa. Kali pertama terserempak dengan singa, serigala itu akan lari ketakutan. Lama-kelamaan, apabila terlalu kerap berjumpa, barulah serigal itu mempunyai keberanian untuk bertegur sapa dengan singa tersebut. Hakikatnya, kita merasakan sesuatu itu susah dan menakutkan kerana kita jarang mengalaminya. Hatta, sistem imun manusia pun perlu didedahkan dahulu kepada antigen untuk menghasilkan antibodi yang sesuai. Jadi, jangan takut untuk membiasakan diri kita mengalami kesusahan, agar kita imun dengannya
Kehebatan pada Jemaah
“Tahukah kamu, aku yakin bahawa bilangan dan kekuatan akan membawa kemenangan dalam peperangan, tetapi mana-mana tentera yang masuk ke medan peperangan dengan kekuatan jiwa, musuh mereka tidak akan mampu bertahan.” Xenophon (430-355 BC)
Sesungguhnya hidup kita di dunia ini bukanlah berseorangan, tetapi kita diciptakan bersama-sama insan lain. Masing-masing diberi kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Tujuannya adalah supaya kita bekerjasama dalam menyatukan kepakaran masing-masing untuk mencapai matlamat yang disasarkan. Namun begitu, adakah cukup bilangan yang ramai? Bilangan yang ramai tidak semestinya menjamin peningkatan kualiti, bahkan mungkin sahaja menjadi sebab kejatuhan sesuatu jemaah. Sesungguhnya bilangan yang ramai itu haruslah bersatu padu, meyakini satu sama lain, mematuhi arahan ketua dan saling menasihati untuk berjaya. Lihatlah sahaja ketika perang Uhud, tewasnya tentera Islam kerana beberapa kumpulan pemanah yang ingkar arahan Rasulullah s.a.w. Napoleon Bonaparte pernah berkata:
“Dalam peperangan, bukanlah lelaki yang ramai yang diambil kira, tetapi seorang lelaki (ketua) sahaja yang diambil kira”
Bersama-samalah kita renungkan sabda Rasulullah s.a.w yang berikut:
“Antara yang terawal diadili di hari qiamat kelak adalah mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka: Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)? Jawabnya: Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid. Dibalas : Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar “SANG BERANI” maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.Ditanyakan kepada (orang kedua) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)? Jawabnya: “Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membaca Al-Quran keranaMu “. Dijawab semula: Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘ALIM, kamu membaca Al-Quran agar digelar “QARI”, maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. Ditanyakan kepada (orang ketiga): Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)? Jawabnya: “Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu”Dijawab semula: “Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar “DERWAMAN”, maka dikatakan kepada Malaikat, lalu telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim, no 3527, Kitab al-Imarah)
Ikhlaskanlah hati kita dalam segala tindakan yang kita lakukan, kerana syaitan akan mencucuk kita bila-bila masa kita terleka. Sentiasalah perbaharui niat kita. Segala puji bagi Allah yang memberikan kita kekuatan untuk melaksanakan segala perkara, hatta tertulisnya artikel ini pun kerana Allah jugalah yang melancarkan segala urusan. Sesungguhnya, kehebatan manusia itu hanya sementara, kehebatan hakiki datangnya daripada Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...