image

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa semua pengundi Islam pada PRU13 ini melaksanakan tanggungjawab mencegah kemungkaran politik yang selama ini menjadi gejala yang serius dalam masyarakat.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ‘mungkar’ atau ‘fasad’ tidak hanya terbatas kepada arak, judi dan zina tetapi juga termasuk merosakkan dan merendahkan maruah dan kehormatan rakyat dalam berpolitik, termasuk mungkar yang serius.

Menurutnya, menipu dalam pilihan raya adalah kejahatan yang besar kerana ia melibatkan kerosakan kepada kedudukan umat Islam dan menggugat masa depan negara.

“Ia melibatkan menyerah kerajaan kepada tangan mereka yang tidak layak dan boleh menyebabkan kemungkaran dan fasad lebih besar akan berleluasa,” ujarnya kepada Harakahdaily .

Katanya, jika kemungkaran politik tidak dibanteras ia akan mengheret negara kepada kemungkaran yang lain termasuk merompak dan mensonglap khazanah negara, memonopoli dan menyeleweng wang rakyat untuk kepentingan diri atau kroni.

“Kami juga menjangka bila mandat diberi kepada mereka yang tidak layak, maka gejala memberi, menerima atau menjadi perantara rasuah juga pasti akan merebak seperti selama ini berlaku,” katanya.

Malah, ujar beliau menipu dalam pilihanraya mengakibatkan salah guna kuasa oleh mereka yang akan bertindak melindung jenayah dan penjenayah kerana mereka yang kononnya menang dan berkuasa sangat mudah mengkhianati amanah rakyat dan memperalat institusi awam untuk kepentingan diri.

Mapim, jelasnya bersandar kepada panduan ayat Al-Quran: “Dan janganlah kamu cenderung menyokong orang-orang yang zalim kelak (kalau kamu berbuat demikian), api neraka akan membakar kamu. Pada hal tiada seorang penolong pun untuk kamu selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat apa-apa pertolongan.” (Surah Hud: ayat 113)

Oleh kerana itu, katanya Mapim berpendiran pengundi Islam tidak boleh mendiamkan diri atau bersikap berkuacli terhadap kemungkaran politik.

Tambahnya, tanggungjawab mengundi dan menolak calon dan parti yang melakukan pelbagai kepincangan dan penyelewengan adalah suatu kewajipan.

Justeru, ujarnya Islam menuntut semua muslimin mempunyai tanggungjawab politik untuk mencegah kemungkaran politik.

Mohd Azmi berkata, tuntutan iman ialah mengambil berat terhadap ehwal dan masalah ummah iaitu membela mereka yang lemah, memerangi penzalim dan penindas.

Menurutnya, dengan mengambil sikap berkecuali, ia akan mengundang kemurkaan dan azab Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleKisah dua ekor katak
Next articleSebarkan Politik Penyelamat dan Duta Kasih Sayang
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com