Berikut adalah kemungkinan yang boleh berlaku ke atas pesakit yang telah dijangkiti oleh COVID-19. Nasib mereka berbeza-beza bergantung kepada ketahanan badan dan juga risiko yang sedia ada dalam diri masing-masing. Tiga bentuk nasib yang mereka akan hadapi:

1️⃣ Jangkitan positif, samada bergejala/tidak. Badan kita akan cuba bertindak balas dan melawan virus COVID-19 itu dengan sedaya upaya yang ada. Kebanyakannya berjaya melawan dan sembuh. Biasanya pesakit dari golongan ini adalah individu yang berumur muda dan tidak mempunyai faktor risiko seperti penyakit kronik, Kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, sakit buah pinggang dan lain-lain lagi. Walaupun begitu ia tergantung kepada sejauh mana badan kita dapat melawan COVID-19 itu. Nasib berbeza-beza kerana terdapat juga kes yang berumur lebih muda sekali pun boleh berlakunya gejala yang serius. Malah terdapat segelintir mereka yang meninggal dunia.

2️⃣ Badan akan cuba melawan tetapi sudah hampir kalah dengan virus COVID-19. Maka akan timbul beberapa gejala yang menunjukkan badan sudah semakin lemah seperti demam, sakit tekak, susah nafas, batuk dan beberapa tanda yang lain. Gejala itu boleh membawa serius, sehinggalah perlukan bantuan oksigen dan rawatan sokongan. Doktor yang merawat akan memberikan ubat-ubatan untuk meredakan radang dan ubat cair darah serta antibiotik. Sebilangan kecil daripada mereka akan dibantu pernafasan dengan menggunakan alat bantu pernafasan (ventilator). Kesemua mereka ini akan dirawat di wad jagaan rapi dan ICU. Terdapat kajian daripada sekumpulan pengkaji di ICU Hospital Emperial College London menyatakan bahawa pesakit yang masuk ke dalam ICU, harapan untuk sembuh adalah tipis.

3️⃣ Badan sudah tidak dapat melawan virus COVID-19 dan akhirnya mati.

✅ Kumpulan 1/2, jika sembuh antibodi terbentuk. Antibodi semulajadi hasil daripada COVID-19 boleh bertahan sehingga 4-6 bulan.

😫 Risiko dijangkiti semula boleh berlaku. Kajian lanjut diperlukan bagi melihat kembali berapa lama antibodi ini boleh bertahan di dalam badan.

Bagaimana pula dengan keberkesanan pemberian vaksin berapa lama dia boleh bertahan?

.

Kajian masih dijalankan. Pemberian vaksin yang pertama seluruh dunia baru saja bermula 8 Disember 2020, jadi ia memerlukan data-data kajian yang lebih lengkap untuk menentukan berapa lama boleh bertahan. Pun begitu terdapat kajian menyatakan bahawa antibodi yang terbentuk di dalam badan setelah pemberian vaksin dijangka boleh bertahan sehingga 2 hingga 3 tahun.

.

Apa pula kesan jangka panjang daripada pesakit COVID-19 ini jika mereka sembuh?

.

Kajian daripada Southmead Hospital di Bristol mendapati 73.6% daripada pesakit yang telah pulih mengalami komplikasi jangka panjang seperti sesak nafas, selalu letih, dan sakit badan berlanjutan sehingga 12 minggu.

.

Antara kesan jangka panjang yang paling biasa berlaku adalah letih dan juga hilang deria bau (Anosmia). Terdapat juga dapatan yang menyatakan bahawa virus COVID-19 ini memberi kesan kepada kilang telur lelaki. Ianya merencatkan pembentukan air mani (Spermatogenis).

.

Semoga kita semua dijauhkan dari penyakit ini.

Suhazeli Abdullah

25.1.2021

Kuala Berang

.

Rujukan

1. Justine Alford. Largest study on home coronavirus antibody testing publishes first findings. Imperial College London News. 13 August 2020.

2. Neil M Ferguson, Daniel Laydon, et al. Report 9: Impact of non-pharmaceutical interventions (NPIs) to reduce COVID-19 mortality and healthcare demand. Imperial College COVID-19 Response Team. March 2020.

3. Samuel Lovett. Coronavirus patients still suffering from complications three months later, study finds. Independent. Thursday 20 August 2020.

4. Li, Honggang et al. Impaired spermatogenesis in COVID-19 patients. EClinicalMedicine, Volume 28, 100604

5. Caroline Tien. How Long Will COVID-19 Vaccine-Induced Immunity Last? Very Well Health. Jan 8, 2021.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleVaksin COVID-19 bukan Penyebab Bell’s Palsy
Next articleSel Janin dan Babi dalam Vaksin COVID-19. Ini jawapannya
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com