Orang percaya dengan teori konspirasi akan cuba sedaya upaya mengajak orang lain juga percaya seperti mereka dengan teori itu. Itulah lumrah. Sama juga dengan orang yang percaya bumi ini leper, bermati-matian mereka pertahankan hujah bahawa bumi itu leper. Pelbagai hujah pelik dikemukakan oleh mereka bagi menegakkan benang basah.

1️⃣ Antara kepercayaan yang mereka selalu sebarkan juga adalah vaksin itu mengandungi mikrocip. Gunanya mikrocip tersebut adalah untuk mengawal manusia melalui antena 5G telekomunikasi seluruh dunia. Lantas ditunjukkan bahawa ada burung-burung yang mati akibat daripada melalui kawasan antena 5G di Netherland. Lalu dikaitkan, itulah keburukan 5G boleh membunuh makhluk. Begitulah teknologi ini akan dipergunakan sebegitu rupa bagi membunuh umat manusia.

.

Isu kematian burung yang ditunjukkan di dalam media sosial itu sebenarnya telah pun dijawab oleh Jabatan Veterinar Nerherland. Kematian itu bukan akibat daripada gelombang 5G tetapi akibat daripada keracunan makanan oleh burung-burung tersebut.

.

COVID-19 itu adalah akibat daripada virus SARS-COV-2, bukannya daripada senjata biologi ataupun dari alatan teknologi terkini seperti 5G / mikrocip / nanochip. Semuanya itu adalah unsur-unsur yang bukan hidup dan berbeza dengan virus ataupun bakteria yang kehidupan yang boleh membiak dan mendatangkan mudarat yang besar kepada sel manusia.

.

2️⃣ Karut yang mereka bawa itu dipercayai sehinggalah ada segelintir dikalangan mereka menolak semua kecanggihan teknologi pada masa ini. Hidup secara alami kononnya dengan tanpa mesin basuh, tanpa peti ais, tanpa telefon dan tanpa periuk memasak canggih. Jumud betul kehidupan sebegitu.

Dakwaan karut mereka lagi, Teknologi nano ini jugalah akan mengawal manusia supaya bergerak seperti robot dan akhirnya Dajjal akan menggunakan teknologi ini bagi menyesatkan akidah umat manusia. Dengarlah kembali syarahan yang telah dibuat oleh para alim ulama berkaitan dengan penyesatan yang dilakukan oleh dajjal, bukan menggunakan kaedah teknologi tetapi akidah yang disesatkan oleh Dajjal itu adalah daripada kebolehan Dajjal itu sendiri. Teknologi nano atau 5G atau seumpamanya pada masa itu sudah tidak memberikan apa-apa makna. Manusia sebenarnya sudah sesat kerana kalimah Allah sudah pun tidak disebut pada masa itu. Hanya yang menggenggam dan menggigit Islam dengan seutuhnya tidak akan terpengaruh dengan Dajjal. Bukannya mereka yang tidak terpengaruh dengan teknologi.

.

3️⃣ Terdapat satu sebaran artikel yang sebenarnya telah viral sejak daripada bulan Jun 2020 lagi yang menyatakan bahawa negara Itali adalah negara yang pertama melakukan post-mortem terhadap kes kematian COVID-19. Mereka mendapati bahawa kematian bukan diakibatkan oleh virus COVID-19 tetapi akibat daripada bakteria yang akhirnya menyebabkan radang dan darah tersumbat. Lantas mereka terus menyalahkan kejadian radang dan salur darah tersumbat itu akibat daripada teknologi 5G yang telah di lakukan oleh kuasa besar dunia dan pakar komputer Bill Gates.

.

Sekali baca tulisan itu pun berbelit belit sebab ianya adalah terjemahan daripada artikel bahasa inggeris yang telah dikeluarkan oleh antivaksin dari barat. Tetapi orang kita memang mudah terperdaya dan terpersona dengan artikel yang tidak ada hujung pangkalnya itu.

.

Sebenarnya China lebih awal melakukan post-mortem terhadap kematian kes COVID-19 bukan Itali. WHO tidak marah pun untuk melakukan post-mortem terhadap kes kematian COVID-19 tetapi mesti mengikuti garis panduan yang telah tetapkan. Garis panduan itu dibuat semata-mata ingin mengelakkan daripada orang hidup yang belum dijangkiti supaya tidak dijangkiti oleh orang mati yang telah dijangkiti oleh COVID-19. Sebenarnya kalau sudah tentu sahih mati akibat dari COVID-19 sudah tidak perlu lagi melakukan post-mortem. Sudah jelas dan bersuluh kenapa ingin melakukan pembedahan post mortem?

COVID 19 itu adalah virus bukan bakteria jadi tohmahan daripada penulis berkenaan menyatakan bahawa COVID-19 itu bakteria adalah tidak betul. Apa yang berlaku sebenarnya bagi pesakit yang telah dijangkiti oleh COVID-19 kemungkinan besar ianya telah berlaku serangan sekunder daripada bakteria lain. Oleh yang demikian, doktor pakar akan memberikan antibakteria untuk melawan jangkitan sekunder bukan untuk membunuh COVID-19. COVID-19 adalah virus tidak ada lagi ubat rawatan untuk membunuh virus COVID-19.

.

Ubat untuk antiradang dan anti pembekuan darah sebenarnya memang diberi kepada pesakit yang dimasukkan ke wad rawatan rapi. Tetapi ianya bukan satu rawatan yang definitif untuk merawat COVID-19. Ia adalah satu rawatan untuk membantu mengurangkan radang dan mencairkan darah. Kajian besar-besaran sedang dijalankan di UK untuk menentusahkan bahawa penggunaan antiradang dan juga aspirin itu digunakan untuk membantu mengurangkan kesengsaraan pesakit COVID-19.

Suhazeli Abdullah

4.1.2021

Tengkawang

.

Rujukan:

Bruns A, Harrington S, Hurcombe E. ‘Corona? 5G? or both?’: the dynamics of COVID-19/5G conspiracy theories on Facebook. Media International Australia. 2020;1329878X20946113. Published 2020 Aug 4. doi:10.1177/1329878X20946113

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleMAKANAN SUNNAH atau SUNNAH PEMAKANAN?
Next articleVaksin COVID-19 bukan Penyebab Bell’s Palsy
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com